Thursday, September 26, 2013

Besarnya impian penyanyi Tegar ini



Besarnya impian penyanyi Tegar ini | SEBELUM ini, dia tidak pernah merasa sambutan ulang tahun, apatah lagi diberi pelbagai bentuk hadiah yang mewah. Duit yang diperoleh daripada hasil titik peluh sebagai pengamen (penyanyi jalanan) di Kota Subang, Indonesia hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan seharian keluarganya. Apatah lagi, sepanjang tempoh 16 jam sehari, dari jam 4 pagi hingga 7 malam, pengemis cilik ini hanya memperoleh RM30 hingga RM40 sahaja. Namun, pada ulang tahun kelahirannya yang ke 12, pada Rabu lalu, penyanyi cilik, Tegar Septian, menerima hadiah di luar jangkaannya.

Ketika menjalani sesi fotografi Isnin lalu, Tegar yang popular dengan lagu, Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, memberitahu, dia turut menghadiahi ibu bapanya sebagai tanda penghargaan. "Saya ada terima beberapa bentuk hadiah termasuk I Pad, alat muzik seperti piano, ukulele, keyboard, dan organ. "Selain itu, saya turut membeli rumah untuk keluarga saya sebagai hadiah. Sebelum ini, memang hasrat saya untuk membeli rumah kepada mereka agar lebih selesa. "Saya juga turut membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi (motorbike), untuk diri sendiri kerana sudah lama saya teringin untuk memilikinya," katanya yang kini telah mengadakan lebih daripada 10 konsert di Indonesia.


Popular sekelip mata 

Bukan sahaja di Indonesia, nama Tegar kini mula meniti di bibir peminat Malaysia. Malah, rata-rata mengagumi bakat dan ketabahannya dalam menjalani kehidupan sebagai pengemis jalanan. Berjaya berkongsi pentas bersama penyanyi terkenal Indonesia seperti Noah dan Wali Band, jauh di sudut hati Tegar untuk berkolaborasi bersama kumpulan terkenal Malaysia, Slam. Menurutnya, hampir kesemua lagu-lagu Slam berjaya dihafal dan sering dinyanyikan ketika mengemis dahulu. "Saya memang minat Slam dan kumpulan itu amat terkenal di Indonesia. Lagunya juga bagus-bagus. Saya teringin nak berduet dengan kumpulan itu jika diberi peluang. "Selain itu, saya juga mahu berduet dengan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Bagi bintang antarabangsa pula, saya meminati, Justin Bieber. "Kalau berpeluang, saya mahu berkongsi pentas dengannya yang merupakan idola saya. Saya mahu berjaya sepertinya," kata Tegar yang tidak putus-putus menunjukkan kebolehannya bermain magik daun terup.

Walaupun hanya berpeluang bersekolah sehingga Darjah 2 sahaja, Tegar kini berusaha 'mengejar' semula pembelajaran yang ditinggalnya hampir lima tahun itu. "Saya menggunakan kaedah pembelajaran di rumah (homeschooling), kerana saya terikat dengan jadual persembahan. Jadi, kaedah ini lebih menyenangkan. "Alhamdulillah, setakat ini, saya boleh mengikuti pembelajaran ini dengan mudah. Malah, saya turut diajar untuk mendalami Bahasa Inggeris," katanya yang bakal mengadakan konsert pertama di Malaysia pada bulan November nanti. Selain itu, Tegar juga kini memiliki album pertamanya, Tegar & Sahabat, yang memuatkan lima lagu termasuk lagu hitnya dan Rindu Ibu.


Merokok, hidu gam 

Walaupun kehidupannya kini jauh berubah, namun akui Tegar, jiwa dan pendiriannya masih seperti dahulu. "Hanya kehidupan sahaja yang berubah. Namun, tegar masih lagi Tegar yang dahulu. Tak akan meninggi diri dan mendabik dada. "Kehidupan saya di jalanan memberi banyak pengajaran kepada saya dalam menempuh hari-hari mendatang. Walaupun saya mempunyai duit dan segalanya, namun saya tidak dimanjakan. "Pengurus saya, Alfas Hermansyah, juga bertindak menguruskan kewangan dan membawa saya di tahap ini," katanya yang dijumpai Alfas di Kota Subang, Julai lalu. Kemerduan suara dan ketabahan Tegar yang mencari nafkah demi keluarganya dengan gesekan ukulele membuatkan Alfas tergerak hati untuk membawa Tegar ke pertandingan pencarian bakat, Telco.

Bercerita mengenai pengalaman lalu, Alfas mengakui Tegar turut terlibat dalam masalah sosial seperti merokok dan menghidu gam. "Masalah ini adalah gejala biasa di kalangan pengamen cilik. Semasa menemui Tegar, saya meminta kebenaran keluarganya untuk membawa Tegar tinggal bersama. "Ketika itu, dia juga tidak mengetahui sebarang perkara mengenai Islam. Saya bertanggungjawab untuk mengajarnya. "Selama tiga bulan, saya berjaya membuang ketagihan Tegar dan kini dia sudah berubah dan berjaya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Tiada lagi rokok dan gam. "Saya kagum dengan Tegar kerana walaupun dia pernah ketinggalan dalam pelajaran, dia cepat belajar. Malah, dia juga mampu menghafal lirik dalam masa yang singkat," katanya -SH




.

Jenazah Tan Sri Azizan selamat dikebumikan


Jenazah Tan Sri Azizan selamat dikebumikan | Jenazah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia hari ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena dekat sini kira-kira 5.30 petang tadi. Jenazah Azizan yang dibawa dari Masjid Nurul Ihsan, Jalan Langgar dekat sini tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 4.50 petang. Antara yang hadir mengiringi jenazah di tanah perkuburan itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

 Azizan, 69, yang menjadi Menteri Besar Kedah sejak Mac 2008 hingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pukul 11.05 pagi ini akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius. Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu meninggalkan dua orang isteri, 14 anak dan enam cucu. Pada PRU13, Azizan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA





.

Disebalik tragedi gempa bumi, mereka dikejutkan dengan penemuan besar ini



Disebalik tragedi gempa bumi, mereka dikejutkan dengan penemuan besar ini | Pasukan mencari dan menyelamat Pakistan bertungkus-lumus menyelamatkan ribuan penduduk yang cedera dan kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka ranap dalam gempa bumi kuat, di barat laut negara itu ketika angka kematian meningkat kepada 327 orang, kata pihak berkuasa. Gempa dengan magnitud 7.7 menggegarkan daerah terpencil Awaran di wilayah Baluchistan, tengah hari kelmarin.. Ia dirasai sejauh New Delhi, ibu kota India yang terletak 1,200 kilometer, namun tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan di sana. Seorang pegawai wilayah, Setiausaha Dalam Negeri Tambahan Baluchistan, Zahid Maqsood meletakkan angka kematian kepada 210 orang dan 375 cedera, sementara seorang jurucakap kerajaan wilayah, Jan Mohammad Bulaidi, meletakkan angka kematian kepada 216 orang.

Pada masa sama pihak berkuasa Pakistan menyiasat sama ada gempa bumi kuat mewujudkan sebuah pulau baru di luar pantai selatan negara itu. Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Pakistan, Arif Mahmood, berkata saksi melaporkan sebuah pulau kecil muncul berhampiran Pelabuhan Gwadar di Laut Arab dan boleh dilihat dari pantai. “Gempa mungkin menyebabkan bumi di bawah laut naik, namun pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu,” katanya.



Penduduk ketakutan 

Bandar di Pakistan seperti Karachi di sepanjang Laut Arab dan Quetta, ibu kota wilayah Baluchistan, menyaksikan penduduk yang ketakutan berlari ke jalan raya dan berdoa untuk keselamatan mereka. Tentera Pakistan berkata, mereka menghantar anggota dan helikopter ke Awaran dan kawasan berhampiran di Khuzdar. Pihak berkuasa tempatan turut menghantar doktor, makanan dan 1,000 khemah untuk mangsa ketika gempa susulan kuat terus menggegarkan rantau itu. Kebanyakan mangsa terbunuh dihempap runtuhan rumah. AP




.

Pasangan berbeza agama, bersekedudukan hampir 10 tahun dan miliki anak 8 tahun


Pasangan berbeza agama, bersekedudukan hampir 10 tahun dan miliki anak 8 tahun | Tindak-tanduk seorang wanita berusia 29 tahun yang sering kali berulang-alik ke rumah kekasihnya yang bukan Islam menimbulkan tanda tanya penduduk sekeliling selama ini akhirnya terbongkar. Kelakuan sumbang pasangan berkenaan terbongkar apabila kediaman lelaki itu yang terletak di Jalan Mustafa, di sini, diserbu kira-kira jam 3 pagi semalam, oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat. Turut menyertai serbuan itu adalah anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pasangan yang didakwa bersekedudukan hampir 10 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, wanita berasal dari Kelantan itu pada mulanya enggan memberikan kerjasama dengan mendiamkan diri. Bagaimanapun, setelah beberapa kali dipujuk, wanita terbabit akhirnya akur dan keluar dari bilik seterusnya menceritakan situasi sebenar. “Wanita itu dipercayai bersekedudukan dengan kekasihnya yang bukan Islam di sebuah rumah sejak 10 tahun lalu. Wanita itu juga mengakui tidak lagi mengamalkan ajaran Islam seperti solat dan sebagainya,” katanya, di sini. Saiful Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik di kediaman pasangan ber- kenaan mendapati seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sedang nyenyak tidur.

Menurutnya, wanita terbabit turut mengakui kanak-kanak itu adalah anak hasil hubungan dengan kekasihnya. Mengikut surat beranak yang disertakan, anak itu tidak berbinkan kepada sesiapa dan pihaknya percaya dia adalah anak tidak sah taraf. Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat agama yang dianuti kanak-kanak berkenaan. “Setakat ini, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 23(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997 dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai berhubung kesalahan yang dilakukan “Kita menasihatkan agar keluarga memainkan peranan penting bagi mengelak anak tersasar jauh daripada ajaran Islam,” katanya. Saiful Ariffin memberitahu, operasi itu bertujuan membendung kegiatan sumbang yang semakin menular dalam kalangan anak muda sejak kebelakangan ini. Tambahnya, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, tertumpu kepada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti itu. -SH




.

13 Gambar pernikahan Adam AF dan isterinya, Fiza Elite



13 Gambar pernikahan Adam AF dan isterinya, Fiza Elite | Pasangan artis, Adam (AF2) dan Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza (Elite), 32, sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz sekitar jam 10.30 pagi tadi.


Akad nikah disempurnakan oleh Pendaftar Nikah Daerah Petaling, Ustaz Suhaimi Ahmad Wakid dan diwakil walikan oleh ayah pengantin perempuan iaitu Abdul Halim, dalam satu acara ijabkabul yang berlangsung di banggunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 30, memberikan mas kahwin sebanyak RM300.


Serta sepesalinan lengkap barangan solat sebagai pengganti wang hantaran. Sejurus selepas akad nikah, diadakan upacara pembatalan air sembahyang. Adam menyerahkan mas kahwin serta menyarungkan cincin kepada isterinya.


Kemudian Fiza pula menyarungkan cincin kepada suaminya. Pasangan mempelai mengenakan busana sedondon berona putih. Adam segak berbaju Melayu dan Fiza anggun mengenakan baju kurung moden-tradisional.


Turut dihadiri seramai kira-kira 50 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai, teman-teman rapat dan para wakil media. Adam dan Fiza mula berkenalan rapat sejak pertengahan Julai lalu.


Kemudian penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini terus melamar Fiza selepas temujanji kali kedua mereka. Ini merupakan perkahwinan kali pertama buat Adam. Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dengan Farriq Zainal Abidin namun berpisah pada 4 November 2010.


Fiza memiliki dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2. Setakat ini, Adam dan isterinya masih belum menetapkan tarikh majlis persandingan mereka. -MD





.

Inilah punca bayi berusia lima bulan yang mati di taska



Inilah punca bayi berusia lima bulan yang mati di taska | Pusat asuhan yang terbabit dalam kes kematian seorang bayi lelaki di Presint 9, di sini semalam, berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan permitnya sah sehingga Jun 2016. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata bagaimanapun siasatan mendapati jumlah pengasuh di pusat asuhan itu tidak mencukupi berbanding jumlah anak jagaan mereka. "Kes ini masih dalam siasatan polis, namun pada masa yang sama taska itu masih dibenar beroperasi seperti biasa," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melawat pasangan Ismail Ramli, 28, dan Zurinawati Ismail, 26, ibu bapa kepada Mohd Danish Rayqal, bayi berusia lima bulan yang ditemui tidak sedarkan diri oleh pengasuh di pusat asuhan itu pukul 3 petang semalam. Bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya. Mengulas lanjut, Azizah berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan seterusnya. - Bernama





.

Tan Sri Azizan dilaporkan sedang kritikal



Tan Sri Azizan dilaporkan sedang kritikal | Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dilaporkan kritikal akibat mengalami masalah jantung sejak awal pagi. Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat 3.30 petang ini, Azizan belum sedarkan diri dan berada dalam pemantauan rapi. "Denyutan jantung beliau terhenti sekitar pukul 3 pagi tadi dan diberi bantuan kecemasan sebelum jantungnya kembali stabil. Namun, sekitar pukul 12 tengah hari, beliau sekali lagi diserang masalah jantung," katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau belum membuka mata sejak kejadian itu dan tekanan darahnya juga dilaporkan rendah. Katanya, tahap keadaan kesihatan Azizan berbeza jika dibandingkan minggu lalu apabila beliau kelihatan gembira dan dapat berbual-bual dengan orang yang melawatnya. "Saya harap semua pihak berdoa untuk kesejahteraan beliau," katanya. Azizan, 69, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri, dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!