Tuesday, October 29, 2013

Adakah ini merupakan punca anak-anak bersikap agresif?


Adakah ini merupakan punca anak-anak bersikap agresif? | Satu kajian penyelidik menyatakan perbuatan memukul punggung kanak-kanak dengan tujuan mengajar mereka berkelakuan baik boleh memberi kesan sebaliknya. Penyelidik mendapati kanak-kanak seawal usia lima tahun yang kerap dipukul pada bahagian punggung berkemungkinan cenderung bertindak agresif dan melanggar peraturan ketika berada di sekolah rendah. Keputusan itu selaras dengan kajian masa lalu, kata penyelidik di Universiti Texas, Austin Elizabeth Gershoff yang mengkaji disiplin keibubapaan dan kesannya.


Pukul bukan cara terbaik 

“Tiada bukti bahawa memukul sesuatu yang baik untuk kanak-kanak. Memukul menunjukkan kekasaran sebagai cara menyelesaikan masalah, anda boleh memukul seseorang dan mendapat apa yang anda mahukan. “Apabila kanak-kanak mahukan mainan budak lain, ibu bapa tidak mengajar mereka bagaimana menggunakan kata-kata atau bagaimana untuk berunding,” kata Gershoff yang tidak terbabit dalam kajian baru itu. Walaupun banyak bukti kemudaratan dikaitkan dengan memukul, ia masih ‘pengalaman tipikal’ buat kanak-kanak Amerika syarikat, kata penulis utama kajian. “Kebanyakan kanak-kanak pernah dipukul sekurang-kurangnya pada suatu tahap kehidupan mereka,” kata Michael MacKenzie, dari Universiti Columbia di sini. - REUTERS





.

Pelakon cantik Indonesia, Asmirandah bakal berkahwin


Pelakon cantik Indonesia, Asmirandah bakal berkahwin | Setahun menyulam kasih, akhirnya pelakon, Asmirandah dikhabarkan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih, Jonas Rivano. Malah, ada sumber memberitahu pelakon filem, Rectoverso, ini bakal berkahwin tidak lama lagi. Enggan membiarkan peminat terus berteka-teki, ibu Asmirandah, Sany Suliwati, tampil mengakui perkara itu. "Ya, Asmirandah akan berkahwin tidak lama lagi. Namun, saya tidak boleh bercakap banyak mengenai pernikahan ini. "Asmirandah dan Jonas akan mengumumkan perkara ini sendiri tidak lama lagi. Doakan sahaja pernikahan ini berjalan dengan lancar," katanya.




.

Kisah sedih pelakon Almy Nadia



Kisah sedih pelakon Almy Nadia | Pelakon Almy Nadia terpaksa menjadi penjual karipap untuk menyara hidup selepas kurang mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu. Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, perniagaan kecil-kecilan itu dilakukan bersama ibunya sepanjang menetap di kampung halamannya di Pulau Pinang. "Tawaran berlakon memang sudah lama tidak ada jadi daripada saya duduk tanpa berbuat apa-apa adalah lebih baik saya lakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang dan mencari duit lebih seperti menjual karipap. "Alhamdulillah karipap yang dihasilkan bersama ibu iaitu inti kentang, ayam, daging dan sardin mendapat sambutan. Ada kalanya kami menerima tempahan dalam jumlah yang besar," katanya. Tambah Almy, hasil penjualan karipap tersebut dapat membantu meringankan beban untuk dia dan ibunya menampung kehidupan di kampung.

"Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa walaupun tidak lagi mendapat tawaran berlakon dan sekurang-kurangnya rezeki menjual karipap itu halal."Malah jika ada yang menjemput menghadiri acara hiburan dengan bayaran RM100 pun saya terima kerana itu adalah rezeki saya," katanya. Dalam pada itu, Almy berkata, kemunculan ramai artis wanita baharu turut menjadi penyebab dia tidak lagi dipilih untuk membintangi drama atau filem daripada pihak produksi. Tambah Almy, sikapnya yang tidak pandai untuk melobi kepada penerbit dan pengarah juga turut menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk.

"Perasaan rindu hendak berlakon itu memang ada tetapi nak buat macam mana tawaran memang tiada. Hendak meminta-minta saya segan kerana saya tidak pandai melobi penerbit. "Tambahan pula pelakon wanita baharu semakin ramai dan lebih menyerlah berbanding diri saya yang tidak seberapa ini," katanya merendah diri. Bagaimanapun kata Almy, dia tidak pernah meminta simpati sebaliknya berharap pihak produksi memandang kepada bakat lakonannya untuk diambil berlakon dalam drama terbitan mereka. Kepada mana-mana produksi yang bersimpati terhadap Almy bolehlah memanggilnya berlakon. -Mstar




.

Kisah pelajar kolej yang nekad bunuh diri kerana facebook



Kisah pelajar kolej yang nekad bunuh diri kerana facebook | Gara-gara ditegah melayari laman Facebook, seorang remaja India nekad membunuh diri. Jurucakap polis berkata, Aiswarya Dahiwal pelajar kolej tahun dua ditemui tergantung dalam biliknya selepas bertengkar dengan ibu bapanya. "Sebelum gantung diri dia meninggalkan nota menyatakan tidak boleh tinggal di rumah yang menyekat kebebasannya bersosial menerusi Facebook," katanya dipetik DailyMail. Difahamkan, sebelum kejadian, Dahiwal meminta kebenaran ibu untuk melayari laman web itu, tetapi ditegah kerana diminta fokus terhadap pelajaran dan mengurangkan perbualan telefon bersama rakan-rakannya. Berdasarkan kaji selidik Wall Street Jurnal, hampir 92 peratus pelajar sekolah di India memilih Facebook untuk berkomunikasi berbanding membuat panggilan telefon. -AP




.

Video 9 pelajar menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan


Video 9 pelajar menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan | Sembilan pelajar sekolah dipanggil polis bagi direkodkan keterangan berhubung sebuah video pendek memaparkan tingkah laku mereka di kawasan tanah perkuburan Cina di sini. Video berdurasi 1 minit 32 saat itu, tersebar dalam Youtube memaparkan pelajar terbabit termasuk ada antaranya beruniform sekolah, menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan itu sehingga menimbul rasa kurang senang masyarakat. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, tujuh daripada mereka merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, sementara dua lagi telah dibuang sekolah sebelum kejadian, atas faktor disiplin. Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 12 dan 14 tahun.

“Siasatan polis mendapati, kumpulan pelajar ini berbuat demikian tanpa niat untuk menghina ataupun cuba menggugat sentimen perkauman dan agama. Kelakuan yang dilakukan sekadar untuk bersukaria, bagaimanapun mereka berada di lokasi salah tanpa mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut. Menurutnya, perbuatan kumpulan pelajar itu dilakukan Khamis lalu, sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari. “Rakaman video itu dirakam menggunakan telefon bimbit salah seorang daripada pelajar terbabit. Polis juga percaya antara mereka juga yang telah memuat naik rakaman tersebut ke internet," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Abd Wahab berkata, berikutan penyebaran video tersebut, satu laporan polis telah dibuat ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut, Jumaat lalu. "Dalam masa terdekat polis akan memanggil pelajar, ibu bapa mereka dan juga ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu untuk menjernihkan kembali keadaan. “Kejadian yang berlaku ini merupakan kes terpencil dan jangan jadikan ia sebagai punca untuk kita saling berbalah sesama kaum,” katanya percaya kes ini akan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan. “Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya. Abd Wahab menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut melalui apa juga medium komunikasi dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -SH




.

Pelajar MRSM Balik Pulau dikatakan dipukul sekumpulan pelajar



Pelajar MRSM Balik Pulau dikatakan dipukul sekumpulan pelajar | Seorang pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini mendakwa dipukul sekumpulan pelajar selain menerima ugutan bunuh awal pagi semalam. Pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Arif, 16, berkata kumpulan pelajar terbabit berdendam dengannya ekoran beliau pernah menyerahkan nama mereka kepada Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) minggu lepas. "Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, kira-kira 20 orang kumpulan pelajar tingkatan empat itu datang ke katil saya serta menarik saya ke satu sudut bilik asrama dan saya ditumbuk di bahagian perut sebanyak dua kali selain ditendang di rahang kanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata dua pelajar tingkatan lima kemudiannya menyuraikan keadaan dan Arif mendakwa dia diserang lagi buat kali kedua dengan lebih teruk pada pukul 2.30 pagi. "Masa itu hanya lima pelajar yang datang ke katil saya dan saya ditumbuk di bahu kiri, perut selain kepala dihentak ke dinding," katanya yang dilantik sebagai anggota LDP Jun lepas. Arif mendakwa seorang daripada pelajar itu kemudian mengeluarkan serpihan cermin tingkap yang pecah dan berkata "kalau orang lain tak dak di sini dah lama aku bunuh hang".

Beliau yang trauma dengan kejadian itu kini berulang alik dari rumah ke sekolah dan belum membuat keputusan untuk bertukar sekolah. Bapa pelajar itu berkata ketika ke MRSM itu awal pagi semalam, beliau mendapati baju anaknya koyak rabak selain kepalanya mempunyai kesan bengkak serta lebam. Arif menerima rawatan di Hospital Balik Pulau sebagai pesakit luar, katanya sambil memberitahu satu laporan telah dibuat di Balai Polis Balik Pulau pagi semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Suptritenden Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. - Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!