Thursday, November 7, 2013

Takziah - Bapa Pelawak Lan Pet Pet Meninggal Dunia


Takziah - Bapa Pelawak Lan Pet Pet Meninggal Dunia | Bapa kepada pelakon dan pelawak, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, Ahmad Mahmood, 87, meninggal dunia di rumahnya di Lorong Panglima di sini petang ini. Abang kepada Mazlan, Mahadzir, 61, berkata, Allahyarham yang merupakan pesara Telekom Malaysia Berhad tidak menghadapi sebarang penyakit dan meninggal dunia akibat sakit tua pukul 2.25 petang. "Arwah hanya sakit tua dan tidak mengalami sebarang demam cuma tidak lalu makan sejak beberapa hari lalu.

"Selasa lalu kami adik-beradik termasuklah Mazlan sempat berkumpul dan bersembang dengan arwah," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Asma Abdullah, 86, dan sembilan orang anak serta 36 cucu. Menurut Mahadzir, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Derga, Langgar di sini kira-kira pukul 11 pagi esok. -Utusan




.

Heliza Helmi dedah perangai 'nakal'



Heliza Helmi dedah perangai 'nakal' | Disebalik imejnya yang sopan dan sangat dengan hijab labuh dan jubah, mungkin ramai yang tidak menyangka terselit perangai nakal dalam diri penyanyi dan pelakon Heliza Helmi, yang hanya diketahui mereka yang rapat dengannya sahaja. Dalam laporan akhbar Kosmo! hari ini, tuan empunya badan mengakui dia sama seperti kebanyakan remaja lain yang mempunyai perangai gila-gila, gemar berlawak, mendengar muzik dan aktiviti lasak seperti Go Kart.

"Jika orang yang kenal saya, pasti mesti mereka tertawa jika orang kata saya seorang yang terlalu baik. Saya seperti orang lain juga, agak nakal, suka kacau orang, merepek dan tidak suka duduk diam. Itulah diri saya yang sebenarnya. "Sejujurnya, saya tidak pernah menyembunyikan perangai saya yang sebenar. Seiring dengan peningkatan usia, saya berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam," katanya. Dalam pada itu kongsi gadis yang juga bergelar pengacara program televisyen, penceramah bebas dan ahli perniagaan ini, dia menyimpan cita-cita untuk meluaskan perniagaan dengan menubuhkan agensi pelancongan untuk membawa orang menunaikan umrah.

"Itu juga antara yang sedang saya usahakan sekarang ini. Selain bawa orang pergi menunaikan umrah, agensi pelancongan itu nanti juga menyediakan pakej pelancongan seperti biasa untuk Muslim. Malah kata Heliza impian terbesarnya adalah mahu membina sebuah masjid, surau atau rumah anak-anak yatim satu hari nanti. -MD




.

Cara baru seludup dadah melalui lapangan terbang didedahkan


Cara baru seludup dadah melalui lapangan terbang didedahkan | Polis menggagalkan cubaan menyeludup dadah menggunakan buah labu dilumur darah ayam apabila menahan seorang lelaki rakyat Benin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini semalam. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata lelaki berusia 38 tahun dari benua Afrika Utara yang disyaki 'keldai dadah' itu ditahan dalam pemeriksaan di KLIA pada pukul 5.15 petang. Lelaki terbabit menaiki penerbangan Air France dari Paris ke Kuala Lumpur. Polis menemui empat kilogram dadah jenis syabu di dalam labu di dalam beg lelaki terbabit. "Pada mula, kami menyangka ia (labu) digunakan untuk upacara pemujaan kerana terdapat kesan darah ayam dan bulu ayam, namun apabila diperiksa lanjut ada syabu di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, semalam.

Noor Rashid berkata selain tangkapan itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita Aceh di Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor serta merampas serbuk dadah syabu seberat 36.5 kilogram dan 275,314 pil ecstasy daripada mereka, Ahad lepas. Beliau berkata dua lelaki itu ditahan dalam sebuah rumah di Sekinchan pada 3 petang dan susulan maklumat daripada mereka, polis menahan wanita terbabit di sebuah rumah di Sabak Bernam kira-kira 3 jam kemudian. Mereka yang berumur antara 21 dan 38 tahun itu dipercayai anggota sindiket yang beroperasi sejak setahun lepas dan memperoleh dadah dari luar negara sebelum menyeludupnya semula ke bandar-bandar besar di Indonesia termasuk Jakarta. Noor Rashid berkata kesemua rampasan dadah dalam pemeriksaan di KLIA dan serbuan di Selangor itu bernilai RM18.5 juta. - Bernama





.

Kemana hilangnya pemilik Taska yang mendera kanak-kanak asuhannya?


Kemana hilangnya pemilik Taska yang mendera kanak-kanak asuhannya? | Polis hari ini meminta pemilik Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Permata Harapan di Taman Melati dekat sini, yang didakwa mendera kanak-kanak yang diasuhnya, supaya menyerah diri secepat mungkin bagi membantu siasatan. Wanita itu yang dikenali sebagai Rozita Awang, 35, telah menghilangkan diri selepas seorang bapa membuat pendedahan itu kepada media pada 1 Nov lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata siasatan awal mendapati wanita itu mempunyai enam anak dan suaminya, pemandu teksi. "Wanita itu diminta tampil memberikan kerjasama di mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Beliau berkata polis telah menahan dua pengasuh wanita tempatan yang bekerja di taska itu, masing-masing berumur 22 dan 31 tahun, pada Isnin lepas dan mereka direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera kanak-kanak. Ku berkata setakat ini, polis menerima lima laporan berhubung insiden itu di Balai Polis Sentul dan Balai Polis Wangsa Maju antara 29 Okt dan 4 Nov lepas. "Berdasarkan laporan itu, dua kanak-kanak telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kerana adanya kesan lebam pada tubuh mereka manakala tiga lagi mendakwa anak mereka ketakutan ketika berada di taska itu," katanya.

Kes berkenaan dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk tindakan lanjut. Pada Ahad lepas, menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat dakwaan penderaan seorang kanak-kanak oleh pengasuh di taska berkenaan, setelah aduan dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Menurut laporan media, penderaan itu dikesan apabila seorang bapa merakam perbuatan wanita itu menerusi kamera yang disembunyikan di dalam beg anaknya. - Bernama




.

Penyamun cedera akibat jatuh longkang selepas bergelut dengan penduduk kampung


Penyamun cedera akibat jatuh longkang selepas bergelut dengan penduduk kampung  | Seorang penyamun cedera di muka dan kepala akibat tersungkur ke dalam longkang semasa bergelut dengan sekumpulan penduduk kampung dalam kejadian samun di sebuah rumah dekat Padang Tengku, di sini, awal pagi Rabu. Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, penyamun warga Indonesia itu dikatakan terjatuh ke dalam longkang sebelum diberkas manakala dua lagi rakannya sempat memboloskan diri bersama hasil samun iaitu seutas rantai bernilai RM1,800. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Lipis DSP Zakaria Kassim, sebelum kejadian, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng dikatakan memotong besi tingkap dapur rumah mangsa sebelum masuk secara bergilir-gilir.

Menurutnya, ketika berada di dalam rumah itu, mangsa seorang penoreh getah berusia 41 tahun dikatakan tersedar daripada tidur selepas mukanya ditekup oleh tangan seorang daripada suspek. Katanya, mangsa kemudian menjerit dan melaungkan 'Allahuakbar!' sebanyak tiga kali menyebabkan suspek terkejut lalu berlaku pergelutan dengan mangsa. "Akibat pergelutan itu, mangsa mengalami kecederaan di dahi akibat dipercayai terkena libasan parang yang dipegang salah seorang daripada suspek. "Siasatan awal mendapati, ketika suspek hendak melarikan diri, abang ipar mangsa berusia 45 tahun yang tinggal berhampiran terdengar jeritan sebelum bergegas keluar untuk membuat pemeriksaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Menurutnya, ketika berdepan dengan ketiga-tiga suspek, abang ipar mangsa cuba diserang oleh seorang daripada suspek yang bersenjatakan sebilah parang namun berjaya mengelak mengakibatkan suspek terbabit tersungkur ke dalam longkang. Katanya, selepas berjaya mengelak serangan itu, suspek kemudian tidak sedarkan diri akibat terhantuk pada batu longkang sebelum diberkas oleh abang ipar mangsa bersama penduduk kampung kira-kira pukul 4 pagi. Zakaria berkata, pada masa sama, dua lagi rakannya yang panik melihat suspek pengsan bertindak melarikan diri. Mangsa segara membuat laporan polis kira-kira pukul 4.30 pagi. Katanya, suspek yang pengsan itu kemudiannya dihantar ke sebuah hospital di Temerloh untuk rawatan. Polis akan mengambil keterangan daripada suspek. - BERNAMA




P/S - Gambar sekadar hiasan



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!