Tuesday, November 12, 2013

Negara ini mengamalkan 'hukuman mati' kepada penduduknya hanya kerana menonton tv


Negara ini mengamalkan 'hukuman mati' kepada penduduknya hanya kerana menonton tv | Korea Utara secara terbuka menghukum mati 80 penduduknya awal bulan ini, kebanyakannya kerana menonton rancangan televisyen Korea Selatan yang diseludup, lapor akhbar Korea Selatan semalam. Akhbar JoongAng Ilbo merujuk sumber tunggal yang tidak dikenali, tetapi sekurang-kurangnya satu kumpulan Korea Utara yang berpaling tadah berkata ia mendengar khabar angin yang boleh dipercayai. Sumber, yang dikatakan biasa dengan unit hal ehwal dalaman Korea Utara dan baru-baru ini kembali daripada negara itu, berkata hukuman dijalankan di tujuh bandar raya pada 3 November lalu. “Di Wonsan, yang terletak di timur, pihak berkuasa mengumpulkan 10,000 orang di sebuah stadium untuk menyaksikan hukuman tembak sampai mati ke atas lapan orang,” kata sumber memetik saksi sebagai berkata.

Zon ekonomi khas Kebanyakannya dituduh menonton drama televisyen Korea Selatan yang diseludup, dan sebahagiannya terbabit dengan pelacuran. Beberapa bandar raya, termasuk Wonsan dan Pyongsong di barat, dianggap sebagai zon ekonomi khas yang bertujuan menarik pelaburan asing untuk menaikkan ekonomi republik itu. Laman web berita beribu pejabat di Seoul, Daily NK, dikendalikan penduduk Korea Utara yang berpaling tadah dan mempunyai rangkaian sumber luas, berkata ia tidak mempunyai maklumat mengenai hukuman itu. Namun satu lagi laman web yang juga dikendalikan penduduk yang berpaling tadah, North Korea Intellectual Solidarity, berkata sumber melaporkan beberapa bulan lalu mengenai rancangan melaksanakan hukuman secara terbuka.

“Rejim memang takut dengan kemungkinan perubahan pemikiran penduduk dan cuba menakutkan mereka,” menurut laman web rasmi. Menonton filem atau televisyen luar - terutama dari Korea Selatan - adalah kesalahan serius di Korea Utara. Bagaimanapun, usaha untuk mengawal pengedaran dihalang teknologi, dengan peningkatan bilangan diseludup menerusi cakera digital dan pemain mp3. Selain drama bersiri Korea Selatan, rancangan Amerika Syarikat seperti Desperate Housewives juga dipercayai mempunyai peminat tersendiri. -AFP



.

Ibu mertua mengaku menjadi dalang dalam pembunuhan menantu sendiri


Ibu mertua mengaku menjadi dalang dalam pembunuhan menantu sendiri | Ibu mentua bekas atlet menembak kebangsaan Thailand, Jakkrit X Panichpatikum, yang ditembak mati dalam keretanya bulan lalu, mengaku dalam satu program berita pagi Channel 3 bahawa dia bertindak sendirian mengupah penembak untuk membunuh menantunya itu. Saya satu-satunya individu di sebalik pembunuhan Jakkrit kerana saya hanya ada seorang anak perempuan iaitu isteri Jakkrit, Dr Nitiwadee Pucharoenyos. Suami saya meninggal dunia lama dulu, kata Surang Duangchinda, 70, kepada pembaca berita, pagi semalam. Surang berkata, anak perempuannya amat mencintai Jakkrit dan terpaksa menahan pelbagai penderaan dan pukulan dilakukan suaminya.

Suspek berkata, dia gagal membantu anak perempuannya walaupun merayu kepada menantunya supaya menghentikan perbuatannya, namun sebaliknya mangsa mengancamnya dengan mengacukan sepucuk pistol. Terima layanan buruk Dia dan anak perempuannya menerima layanan buruk daripada Jakkrit secara berterusan dan apa yang mereka mampu lakukan hanya bertenang dan memberi kata-kata semangat antara satu sama lain, katanya. Apabila anak perempuan saya hamil buat kali ketiga, mangsa terus menderanya secara fizikal dan mental sehingga keguguran. Saya memikirkan cara mengeluarkan anak perempuan saya keluar daripada kesengsaraan, namun dia terlalu mencintai suaminya.

Apabila Jakkrit keluar dari penjara dan cuba bersatu semula dengan isterinya, masalah sama berulang dan ia membuatkan saya memikirkan mangsa tidak pernah berubah, kata Surang. Dr Nitiwadee, berkata apabila dia mendapat tahu ibunya menjadi dalang di sebalik pembunuhan penembak Olimpik itu, dia tahu ibunya amat menyayanginya dan mahu ke penjara berbanding dirinya.

Surang dan Dr Nitiwadee bertemu Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, Paveena Hongsakula, semalam untuk mengucapkan terima kasih atas sokongannya dan dijangka membuat laporan polis pada tengah hari. Jakkrit mewakili Thailand pada Sukan Olimpik 2012 dalam acara 10 meter air pistol, 50 meter pistol dan 25 meter rapid fire pistol. Dia ditembak mati seorang lelaki bersenjata di dalam keretanya ketika di dalam perjalanan menuju ke rumah ibunya untuk makan malam 19 Oktober lalu. -AGENSI




.

Batman didapati bersalah dan tidak akan terlepas hukuman penjara


Batman didapati bersalah dan tidak akan terlepas hukuman penjara | Seorang warga Singapura yang namanya seperti watak superhero terkenal hingga menjadi 'selebriti media sosial' dijatuhkan hukuman selama hampir tiga tahun pada Isnin kerana kesalahan mencuri, pecah rumah dan dadah. Batman Suparman, 23, yang dikenali sebagai 'Batman anak kepada Suparman' ditangkap pada 19 Ogos lalu selepas satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia memasuki sebuah kedai pada waktu malam di dua lokasi berasingan. Dia mencuri sejumlah Sg$500 (ASD400), demikian menurut dokumen mahkmah yang ditunjukkan kepada AFP.


Selain itu Batman juga mengaku bersalah atas pelbagai tuduhan lain, termasuk mencuri kad ATM abangnya dan membuat pengeluaran berjumlah Sg$650 dan mengambil dadah jenis heroin. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 33 bulan. Batman menjadi sensasi di media sosial selepas imej kad pengenalan dengan nama yang luar biasanya dimuat naik di Internet. 'Batman bin Suparman Fan Club' di laman sosial Facebook mendapat hampir 11,000 'like' setakat ini. -AFP




.

Seorang artis jalanan paku kemaluan sendiri tanda bantahan


Seorang artis jalanan paku kemaluan sendiri tanda bantahan | Seorang artis jalanan Russia yang berbogel memaku zakarnya di batu buntar Red Square sebagai membantah pembanterasan Kremlin terhadap hak politik. Rakaman video menunjukkan artis itu, Pyotr Pavlensky duduk berbogel di luar bangunan pusara Lenin di Moscow sebelum polis menutupnya dengan selimut. Agensi berita kerajaan RIA Novosti berkata, Pavlensky dibawa ke balai polis selepas dirawat di sebuah klinik dekat tengah Moscow. Artis berpangkalan di Saint Petersburg itu berkata dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada laman web Grani.ru yang dia cuba mendapatkan perhatian mengenai kemajuan masyarakat Russia kepada ‘negara polis’.

Russia meraikan cuti Hari Polis tahunan kelmarin. Ini bukan kali pertama artis berusia 29 tahun itu menggunakan kaedah bantahan yang aneh. Dia sebelum ini menjahit bibirnya sebagai membantah pemenjaraan dua anggota wanita kumpulan pemuzik Pussy Riot yang melancarkan persembahan antiKremlin di dalam gereja utama Moscow pada 2011. Pavlensky pernah ditahan selepas membungkus tubuhnya yang bertelanjang bulat dalam gelungan wayar bercangkuk. - Agensi




.

Isteri pertama dedah perkahwinan suami dengan isteri kedua diragui kerana sudah jatuh 7 talak


Isteri pertama dedah perkahwinan suami dengan isteri kedua diragui kerana sudah jatuh 7 talak  | Seorang wanita mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini untuk memfarakkan (membubarkan perkahwinan) suaminya dengan isteri kedua yang didakwanya telah diceraikan oleh lelaki itu dengan tujuh talak. Harlina Mohamed yang bertugas sebagai eksekutif sebuah syarikat swasta memfailkan permohonan tersebut kerana meragui status perkahwinan antara suaminya, Khairul Anim Modim dan Kamalita Kamaruddin yang didakwanya tidak sah mengikut hukum syarak. Berdasarkan afidavit permohonannya yang difailkan pada 17 Oktober lalu, Harlina, 47, turut mendakwa, perkahwinan pasangan itu telah diperoleh secara pemalsuan status bujang suaminya. Selain itu katanya, perkahwinan itu terbatal kerana telah berlaku talak ketiga secara dua kali antara Khairul Anim, 49, dan Kamalita, 46. '

'Saya percaya Kamalita tidak berkahwin lain atau diceraikan orang lain setelah suami saya menceraikannya (dengan) talak kali pertama,'' katanya. Menurut afidavit itu, Harlina telah membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada Disember tahun lalu mengenai status bujang suaminya yang telah mendapat kebenaran berkahwin kali ketiga dengan Kamalita. Suaminya kemudian telah hadir di pejabat tersebut pada Januari lalu dan mengakui telah bernikah dengan Kamalita pada Oktober 2009 di Songkhla, Thailand. Bekas pengurus itu juga mengaku bercerai talak satu, kali pertama dengan wanita yang bertugas sebagai penolong pengurus itu, Disember 2009 di pejabat peguam Zulkifli Yong Azmi & Co. dan perceraian itu telah didaftarkan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla pada Februari 2010.

Khairul Anim turut mengaku telah melafazkan talak ketiga (kali pertama) terhadap Kamalita pada Oktober 2011 dan sekali lagi melafazkan talak ketiga (kali kedua) terhadap wanita itu pada Julai tahun lalu, kedua-duanya di pejabat peguam yang sama. Lelaki itu juga mengaku telah bernikah kali ketiga dengan wanita itu di Puchong dekat sini pada Oktober tahun lalu dengan mendapat kebenaran berkahwin dari Pejabat Agama Islam Daerah Petaling melalui pemalsuan status bujang. Harlina yang dikurniakan tiga anak berusia dalam lingkungan 13 tahun hingga 22 tahun melalui perkahwinan dengan Khairul Anim mendakwa, suaminya gagal memberi nafkah kepada dia dan anak-anaknya setelah pernikahan tersebut. Malah dakwanya, pada April lalu suaminya telah melanggarnya dengan kereta sehingga mengalami kecederaan dan laporan polis telah dibuat.

Wanita itu juga mendakwa pernikahan itu berlaku tanpa pengetahuannya justeru dia memfailkan permohonan itu demi kemaslahatan keluarganya. Menurut Harlina, suaminya telah mengabaikan kesejahteraan keluarganya antaranya tidak membayar sewa dan bil bulanan sehingga menyebabkan keluarganya mengalami tekanan mental. Sementara itu, peguam syarie, Azmi Tan Sri Dr. Mohd. Rais yang mewakili Harlina, memohon mahkamah mengeluarkan notis amaran terhadap Khairul Anim dan Kamalita yang tidak hadir pada prosiding kes itu hari ini. Hakim Syarie, Mohamed Adib Husain membenarkan permohonan itu dan kemudian menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes itu. -SH




.

Lelaki bertarung nyawa selepas dibelasah dengan 15 orang di Sandakan


Lelaki bertarung nyawa selepas dibelasah dengan 15 orang di Sandakan | Seorang lelaki kini terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess Of Kent (HDOK) selepas dibelasah kira-kira 15 lelaki menggunakan tali pinggang dan botol dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Bandar Indah, di sini, kelmarin. Mangsa Mohammad Ravi Mansor, 20, ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima hadapan sebuah premis makanan di Bandar Indah oleh orang awam kira-kira jam 3.30 pagi sebelum dihantar ke HDOK untuk menerima rawatan. Dalam kejadian itu juga dua rakan mangsa berusia dalam lingkungan 20-an turut cedera di kaki dan kepala dipercayai dipukul kumpulan suspek yang sama. Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa bersama enam rakannya pergi berhibur di sebuah pusat hiburan sehingga jam 3 pagi.

“Selepas itu, mangsa bersama rakannya beredar dari pusat hiburan berkenaan dan ketika dalam perjalanan menuju ke kereta tiba-tiba sekumpulan lelaki mengejar mereka dengan bersenjata tali pinggang dan botol kaca. “Berikutan kejadian itu, mangsa bersama enam rakannya bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya, semalam. Sumber itu berkata, kira-kira 30 minit kemudian mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima di hadapan premis makanan di kawasan berkenaan oleh orang awam. “Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans jam 3.58 pagi untuk menerima rawatan lanjut. “Akibat kejadian itu, mangsa kini dalam keadaan kritikal kerana kecederaan di kiri kepala dipercayai dipukul dengan menggunakan objek keras,” katanya.

Menurut sumber itu, selain mangsa, dua lagi rakannya turut mengalami kecederaan masing-masing di kaki dan kepala dipercayai dipukul suspek sama. Difahamkan, bilangan suspek yang memukul mangsa belum diketahui, namun seorang daripada rakan mangsa mendakwa melihat kira-kira 15 lelaki tidak dikenali di sekitar kawasan kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan masih dijalankan bagi mengesan suspek. “Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta tiada sebarang senjata ditemui,” katanya. -HM




.

Ayuh bantu Polis buru rakan subahat suspek utama kes Ambank


Ayuh bantu Polis buru rakan subahat suspek utama kes Ambank | Penangkapan suspek utama kes rompakan dan pembunuhan seorang pegawai operasi AmBank, di Kota Tinggi, Johor semalam membongkar penglibatan seorang lagi rakyat Indonesia yang dipercayai menjadi perancang utama kejadian pada 23 Oktober lalu itu. Suspek pengawal keselamatan yang ditangkap di Kampung Belungkor semalam tidak bertindak seorang diri sebaliknya mempunyai seorang rakan subahat yang dikenali dengan panggilan Joemar. Joemar dikatakan berasal dari Indonesia yang bekerja di negara ini dan hasil siasatan mendapati, lelaki ini menjadi perancang dalam kejadian itu serta menyimpan sebahagian besar wang tunai yang dirompak suspek.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Joemar merupakan suspek yang sebelum ini tidak dapat dikesan penglibatannya dalam kes itu, namun hasil siasatan terhadap suspek utama, lelaki terbabit memainkan peranan besar dalam rompakan berkenaan. Katanya, sehingga kini Joemar masih bebas dan polis sedang berusaha mengesan identiti dan lokasi sebenarnya. "Kita belum dapat memastikan sama ada rakan subahatnya ini berada di dalam negara atau tidak tetapi polis sedang berusaha untuk mengesan lokasinya. "Malah ketika suspek utama ditahan semalam, polis tidak menemukan sebarang wang tunai yang dirompak dalam kejadian pada 23 Oktober lalu dan kita percaya wang itu ada pada lelaki bernama Joemar ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam.

Semalam, pengawal keselamatan yang bertanggungjawab membunuh pegawai operasi AmBank, Norazita Abu Talib, 37, ditahan polis selepas genap 19 hari bersembunyi. Bagaimanapun ketika ditahan, polis difahamkan tidak menemui wang hasil rompakan bank itu wang rompakan RM450,000 yang dilarikan dalam kejadian itu. Polis sebelum ini merampas wang berjumlah RM20,000 selepas menahan tiga suspek termasuk isterinya. Mengulas tentang siasatan terhadap suspek utama yang baru ditahan semalam, Khalid memberitahu, nama sebenar lelaki itu adalah Loade Ardina Loade Rasila, berusia 35 tahun dan bukannya bernama Ardi Hamza, 37, seperti yang terdapat di dalam kad pengenalannya.

Katanya suspek juga berasal dari sebuah daerah di Sulawesi, Indonesia. "Ketika ini polis sedang menyiasat penjualan kad pengenalan palsu itu dan menerusi maklumat daripada suspek, dia telah membeli kad itu daripada seorang lelaki Indonesia yang sememangnya berniaga kad pengenalan palsu. "Kami juga dapati dia membeli kad itu di negara ini. Malah kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengetahui identiti sebenar suspek," katanya. Tambah Khalid, setakat ini seramai 12 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.-Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!