Thursday, December 12, 2013

Awas! Kesan kadar gula yang tinggi dalam darah


Awas! Kesan kadar gula yang tinggi dalam darah  | Tahap gula yang tinggi dalam darah boleh mengakibatkan penyakit "dementia". Dalam satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik German, mereka mendapati individu yang memiliki kandungan gula yang tinggi dalam darah tidak dapat mengingati banyak perkara berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap kandungan gula yang rendah dalam darah mereka. Kajian itu dilakukan terhadap 141 individu yang rata-ratanya berusia 63 tahun purata dan tidak menghidap diabetes tahap kedua atau pra-diabetes. Peserta perlu menjalani pemeriksaan kandungan gula dalam darah dan beberapa siri ujian memori.

Saiz hippocampus setiap peserta juga dicatatkan kerana ia merupakan komponen paling penting yang mengawal selia memori. Agnes Flöel, penyelidik di Universiti Perubatan Charité di Berlin berkata, mereka yang mempunyai kadar kandungan gula dalam darah yang tinggi dan berjangka panjang didapati susah untuk mengingati perkataan. Beliau berkata, “Tahap gula dalam darah yang tinggi berkait rapat dengan jumlah perkataan yang boleh mereka ingati dalam ujian tersebut.” “Kami juga mendapati, mereka yang mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi mempunyai saiz hippocampus yang kecil,” beliau berkata.

Hasil kajian itu dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology yang diterbitkan oleh American Academy of Neurology, juga menunjukkan bahawa dengan mengurangkan tahap gula dalam darah boleh mengelakkan masalah ingatan pada masa depan. Walau bagaimanapun, Flöel berkata kajian itu dilakukan dalam skala kecil dan tidak membuktikan kesan dan akibatnya. Keperluan bagi ujian klinikal yang lebih besar untuk menguji sama ada dengan menurunkan glukosa akan dapat membantu mencegah demensia, katanya lagi. Robert Ratner, ketua saintis dan pegawai perubatan di American Diabetes Association, berkata kajian tersebut membuktikan ada sedikit kaitan. Mereka hanya meneliti tahap glukosa pada satu masa dengan ingatan.

Mereka tidak menunjukkan kehilangan ingatan adalah sama ada ia disebabkan oleh tahap glukosa yang tinggi, atau dengan mengurangkan tahap glukosa akan memperbaiki ingatan.” Beliau berkata “ Tidak menghairankan jika tahap glukosa mempunyai kesan negatif. Risiko dementia adalah lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes. Keith Fargo dari Alzheimer’s Association berkata apabila tubuh kehilangan upaya untuk mengawal tahap glukosa dalam darah, otak tidak akan berfungi dengan betul.

Kajian yang dilakukan oleh saintis penyelidik kanan, Rachel Whitmer, menunjukkan bahawa individu yang menghidap diabetes tahap 2 dan mempunyai kawalan gula dalam darah yang lemah berdepan risiko besar untuk mendapat dementia. “Orang tua yang mempunyai diabetes tahap dua, lebih cenderung untuk mendapat dementia. Dengan itu, bagaimanakah untuk menurunkan tahap darah gula dalam darah jika berada dalam sela normal? Menurut Ratner, ini disebabkan oleh genetik, cara pemakanan dan tindak balas hormon.

 Jika anda mahukan tahap gula dalam darah yang sihat, ia bukan bermakna anda tidak boleh mengambil pengambilan gula. Ia berkait dengan cara pemakanan yang sihat, pengambilan kalori, protein, lemak dan karbohidrat yang seimbang, katanya. Senaman juga penting kerana ia boleh meningkatkan keupayaan badan untuk menghasilkan insulin. Tambah Whitmer lagi, “Kami sedar, mereka yang mempunyai gaya hidup yang aktif dan makan makanan sihat berkemungkinan kecil mendapat diabetes jenis dua dan dementia. Gaya hidup yang sihat baik untuk otak.”-AA



.

Upacara peringatan Mandela diaibkan dengan kehadiran individu ini


Upacara peringatan Mandela diaibkan dengan kehadiran individu ini | Masyarakat cacat pendengaran di Afrika Selatan mendakwa bahawa penterjemah bahasa isyarat pada majlis peringatan mendiang Nelson Mandela, adalah palsu. Menurut mereka, individu yang telah melakukan 'bahasa isyarat' tersebut, hanyalah menggerak-gerakkan tangan semasa ucapan berlangsung. "Dia seorang penipu," kata pengarah Pendidikan dan Perkembangan Bahasa Isyarat di Cape Town sambil menyifatkannya sesuatu yang memalukan. "Dia tidak berbuat apa-apa pun, tiada satu pun isyarat. Dia cuma menggerak-gerakkan tangan secara kosong sahaja."

'Penterjemah' tersebut, yang kononnya sedang menterjemahkan ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kelihatan seperti sedang menghalau lalat dari kepala dan mukanya. "Kominiti cacat pendengaran di Afrika Selatan sangat marah dan siapa pun tidak mengetahui gerangan lelaki tersebut," kata Loening. "Kita tidak menemui sebarang nama atau apa jua (fakta). Pihak yang mengakreditasikan para penterjemah pun tidak mengetahui siapakah dia.

" Majlis peringatan Mandela pada Selasa itu dihadiri kira-kira 100 bekas ketua negara itu sepatutnya diterjemahkan ke dalam bentuk bahasa isyarat bagi mereka yang kurang daya pendengaran. Bagaimanapun ramai dari golongan tersebut dari serata dunia tidak memahami apa yang disampaikan oleh 'penterjemah' tersebut. Seorang jurucakap bagi Persekutuan Cacat Pendengaran Afrika Selatan, Delphin Hlungwange berkata lelaki tersebut hanya membuat isyarat kosong. Kerajaan Afrika Selatan juga dipercayai akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut. -AA




.

Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain pertama..


Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain pertama.. | Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain pertama menggunakan khidmat sistem teknologi 'Hawkeye' untuk mempersoalkan keputusan penjaga garisan pada Kejohanan Siri Super Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini. Ketika bertarung pada set kedua menentang pemain China, Wang Zhengming dalam saingan Kumpulan A, Chong Wei mencabar keputusan penjaga garisan. Chong Wei, selaku pilihan utama, mengalahkan pemain China berusia 23 tahun itu dengan 21-10 dan 21-18. "Adalah keputusan bijak melaksanakan sistem ini dan adil kepada semua pemain. Kadang-kadang bulu tangkis terlalu laju dan penjaga garisan tidak boleh melihat dengan jelas. Pemain kemudian menyalahkan penjaga garisan," kata Chong Wei kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedang menggunakan sistem 'Hawkeye', iaitu penggunaan kamera sebagai eksperimen pada kejohanan ini sebelum diperkenalkan pada kejohanan mulai Januari depan. Setiap pemain diberi dua peluang untuk mencabar keputusan penjaga garisan atau pengadil menolak bantahan penjaga garisan dan sekiranya keputusan penjaga garisan itu betul selepas dikaji semula, maka pemain berkenaan akan hilang satu peluang.

Mengulas perlawanan itu, Chong Wei, 31, berkata beliau pernah menentang lawannya itu pada Kejohanan Dunia sebelum ini. "Saya tahu ramai pemain ingin 'belasah' saya di tempat saya...maka saya menjangka perlawanan akan sengit. Saya ingin memberi tumpuan kepada corak permainan saya dan apa yang penting ialah prestasi saya," katanya. Chong Wei, 31, akan menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana esok. Sementara itu dalam acara beregu campuran, gandingan negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menghadapi tentangan sengit sebelum mengalahkan pasangan suami isteri dari England, Chris Adcock/Gabrielle Adcock dengan 16-21, 21-14 dan 21-19. - Bernama




.

Inilah Rahsia Zain Saidin 'Tawan' Hati Cik Ta


Inilah Rahsia Zain Saidin 'Tawan' Hati Cik Ta | Anak sulung aktres Rozita Che Wan iaitu Ammar Effendy, 17, mendedahkan bapa tirinya iaitu pelakon Zain Saidin bijak memujuk ibunya terutama sekali apabila berlakunya perselisihan faham. Ammar berkata, Zain akan bercakap menggunakan dialek Kedah setiap kali mahu memujuk Rozita dan petua itu mampu membuat ibunya tersenyum disebabkan dialek Zain itu berbunyi agak pelik. "Uncle (Zain) memang pandai pujuk mommy (Rozita) guna dialek Kedah. Kelakar bunyinya apabila ‘mat saleh celup’ berbahasa begitu. "Dia bukan sahaja pandai mengambil hati mommy tetapi juga saya dan adik (Aniq Ezzra, 15). Uncle selalu bawa kami main bola dan tengok wayang," katanya. Ammar ditemui selepas majlis pernikahan Rozita atau nama sebenarnya Rozita Che Wan, 40, dan Zain, 29, di Gazebo Setia City Convention Centre, di sini pada malam Rabu.

Pada majlis akad nikah itu, kedua-dua pasangan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.Rozita menerima sembilan peti hantaran termasuk mas kahwin berjumlah RM9,300, sebentuk cincin bernilai RM93,000 dan wang hantaran sebanyak RM23,000. Pihak lelaki juga turut membalas dalam jumlah yang sama. Ammar dan Aniq merupakan anak Rozita hasil perkahwinan terdahulu Rozita dengan Azuar Effendy Zulkafly, 41. Mereka berpisah pada 2003. Dalam pada itu, Aniq pula berkata, ibunya mula memberitahu mengenai perancangan perkahwinan mereka empat bulan lalu dan berita itu membuatkan dia dan abangnya gembira. "Sebelum itu, mommy membawa kami bercuti di Genting Highlands dan memperkenalkan Uncle kepada kami.


"Tetapi masa itu dia tak cakap apa-apa kerana mommy ini kalau nak tahu, seorang perahsia. Dah lama selepas itu barulah mommy terangkan pada kami. "Mula-mula rasa peliklah juga, maklumlah Uncle kan lebih muda dari mommy. Tetapi melihat kesungguhan Uncle terhadap mommy membuatkan kami selesa dan pada masa sama mereka tidak mengabaikan saya dan abang," ujarnya yang masih tidak tahu apakah panggilan paling sesuai buat Zain sekarang ini. Ditanya adakah mereka tidak sabar untuk menerima adik baharu, seloroh Ammar: "Kan saya dah ada adik dah. Tetapi bolehlah juga, dapat adik kacukan." -Mstar




.

Reaksi Michelle Obama dan kemesraan melampau Obama menimbulkan tanda tanya


Reaksi Michelle Obama dan kemesraan melampau Obama menimbulkan tanda tanya | Aksi Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersama Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt, dan Perdana Menteri Britain David Cameron ketika menghadiri upacara memperingati Nelson Mandela menjadi perbualan hangat di media sosial. Ketiga-tiga pemimpin dunia berkenaan sibuk bergambar (selfie) ketika upacara itu berlangsung sementara wanita pertama AS, Michelle Obama dilihat tidak menghiraukan tingkah laku suaminya.


Kebanyakan komen di media sosial menyatakan Michelle cemburu melihat aksi suaminya itu. Obama dan Cameron dilihat sangat mesra dengan Helle yang duduk diapit kedua-duanya.Di samping itu, Helle dilihat sibuk mengambil foto mereka bertiga sambil bergurau senda. Sebagaimana dipetik daripada media AS, National Post semalam, reaksi Michelle sangat berbeza berbanding dengan suaminya yang asyik tersenyum lebar. Malah, Obama sempat ketawa ketika berjenaka dengan Helle.


Di samping itu, wajah Michelle juga kelihatan serius ketika menyaksikan suaminya memegang bahu Helle sewaktu berjenaka dengan Perdana Menteri Denmark berkenaan. Malah, media Australia, news.com.au mengulas yang Michelle dikatakan seolah-olah bersikap dingin terhadap Helle. Ketika ingin berpisah, Obama dan Helle dilihat sempat berbalas ciuman di pipi. Sementara itu, aksi Cameron mendapat kritikan media Britain.


Seorang penganalisis akhbar The Telegraph menyatakan tingkah laku Cameron sebagai pemimpin negara dilihat tidak sopan dalam majlis itu. Aksi ketiga-tiga pemimpin dunia itu turut menjadi perbicaraan hangat di Twitter terutama ketika upacara yang diselubungi kedukaan ekoran pemergian Mandela sedang berlangsung. Kelihatannya ketiga-tiga mereka tidak prihatin dengan upacara sedemikian.- Agensi




.

Tiz Zaqyah ditegur kerana naik berat badan..



Tiz Zaqyah ditegur kerana naik berat badan..  | TERKEJUT seketika apabila melihat perubahan diri pelakon Tiz Zaqyah ketika bertemu dengannya semasa majlis pelancaran program kesedaran mencegah kanser, May Cares For You 2 yang berlangsung di Giant Hypermarket, USJ 1, Subang Jaya baru-baru ini. Manakan tidak, ketika membuat kemunculan dalam majlis berkenaan sebaik sahaja namanya diumumkan oleh pengacara, kelihatan susuk tubuh badannya yang semakin berisi sekarang, tetapi masih kekal jelita. Apabila ditanya mengenai perkara tersebut kepada empunya diri, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak itu lantas tertawa dan tidak menafikan sedang melalui pertambahan berat badan. "Memang ramai menegur perubahan fizikal saya yang kini semakin berisi, malah ada beberapa orang pengarah yang meminta supaya saya menurunkan berat badan supaya tidak menjejaskan kerjaya saya. "Tidak dinafikan ia agak memberi tekanan apabila mendapat banyak teguran, tetapi saya enggan terlalu memikirkan sangat sehingga membuat fikiran saya menjadi bertambah kusut," ujarnya.

 Mengakui tidak pernah mengambil berat tentang pengambilan makanan, Tiz beranggapan bahawa perkara yang lebih penting adalah mempunyai keyakinan yang tinggi apabila berada di depan kamera serta bersyukur dengan keadaannya sekarang. Berkenaan dengan kisah dirinya yang kurang diperkatakan serta jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi sejak kebelakangan ini, pelakon itu merasakan ia merupakan satu petanda yang cukup positif. Tidak kisah apabila cerita mengenai dirinya jarang dipaparkan di dada-dada akhbar atau majalah, dia melihat keadaan tersebut membuatkan dirinya dapat memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonannya. "Saya berasa cukup tenang sekarang kerana tidak perlu menjawab pelbagai persoalan apabila timbul sesuatu cerita mengenai diri saya. "Adakalanya berasa penat juga untuk melayan setiap pertanyaan yang diajukan, terutamanya yang membabitkan kisah peribadi.

"Apabila kisah peribadi saya lebih menjadi tumpuan, seolah-olah orang lupa terhadap pekerjaan saya sebagai pelakon. Saya lebih gemar kalau dikenali ramai kerana produk yang bermutu dan mendapat sambutan penonton," jelasnya. Menurut Tiz, dia juga sangat berpuas hati dengan perjalanan kariernya sepanjang tahun ini memandangkan tawaran yang tidak henti-henti serta setiap drama bersiri lakonannya seperti Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Jodoh Itu Milik Kita begitu diminati ramai. "Secara jujurnya, saya merasakan tahun ini adalah yang terbaik buat diri saya sepanjang bergelar pelakon. Selain karier yang semakin berkembang, saya jarang dikaitkan dengan gosip dan keadaan sedemikian cukup menyenangkan diri saya," ujarnya. Sementara itu, bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, pelakon yang baru pulang dari New York, Amerika Syarikat untuk menjalani penggambaran telemovie Oh! My English bulan lalu berkata, selepas ini dia akan terbabit dengan drama bersiri berjudul Chef. Jelasnya, drama bersiri sepanjang 60 episod itu akan menampilkan dirinya bersama Aaron Aziz dan seorang pelakon terkenal dari Filipina iaitu Jericho Rosales dan akan memulakan penggambaran dalam tempoh terdekat.



Berlakon teater 

Biarpun sudah tampil agak cemerlang di kaca televisyen dan layar perak, Tiz menyatakan dia menanam impian untuk tampil di pentas teater dan berharap ia bakal direalisasikan pada tahun 2014. Menurut pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Nur Kasih itu, sebelum ini dia pernah menerima tawaran berlakon teater, tetapi terpaksa ditolak lantaran jadual kerja yang tidak mengizinkan. "Sebagai seorang pelakon, saya merasakan ia adalah suatu langkah yang paling berkesan untuk mengasah lagi bakat lakonan yang sedia ada serta cabaran yang dilalui juga nyata jauh berbeza. "Tidak kisah sama ada pementasan teater berskala kecil atau besar kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman yang dilalui itu pastinya lebih berharga untuk perkembangan karier saya," ulasnya mengenai impian yang sudah terpendam sejak sekian lama itu.

 Selain berhasrat mahu berlakon teater, pelakon cantik itu juga menyatakan bahawa pada tahun hadapan dia mahu kembali berlakon filem setelah kali terakhir tampil di layar perak pada 2012 menerusi filem Cinta Kura-Kura. "Pada tahun ini saya memang lebih banyak tampil dalam drama bersiri membabitkan episod yang panjang serta penggambaran yang dilakukan pula mengambil masa selama beberapa bulan. "Itu adalah salah satu faktor yang menyebabkan saya tidak terlibat dalam penggambaran filem sekarang. Mungkin saya akan kurangkan berlakon drama bersiri yang panjang dan bersedia menerima sebarang tawaran lakonan untuk filem pula," ujarnya.


Enggan terburu-buru 

Meskipun menyatakan keengganannya untuk bercerita tentang hal-hal yang bersifat peribadi, Tiz tetap terbuka dan sudi bercerita mengenai perkembangan terkini hubungannya dengan kekasih yang dikenali sebagai Daniel Haziq.Menurut Tiz, buat masa ini hubungan mereka berdua masih lagi berjalan seperti biasa, namun masih belum ada lagi sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga. "Dengan pelbagai cerita membabitkan masalah rumah tangga serta penceraian yang dialami banyak pasangan membuatkan saya seperti agak takut pula untuk berkahwin sekarang.

"Lagipun saya enggan terburu-buru melalui fasa alam perkahwinan dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin dalam tempoh tertentu. Kalau sudah ditakdirkan jodoh saya dengan kekasih, pastinya kami akan tetap berumah tangga," ujar pelakon yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 25 Oktober lalu. Jelasnya, dengan kesibukan dirinya dan kekasih ketika ini membuatkan masing-masing mahu lebih fokus terlebih dahulu kepada kerjaya dan akan memberitahu kepada umum sekiranya mereka sudah bersedia untuk berkahwin. -Kosmo





.

Terkini : Tambang LRT, monorel pula naik?


Terkini : Tambang LRT, monorel pula naik? | Tambang bagi pengangkutan awam jenis LRT dan monorel dijangka naik pada tahun depan. Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu. Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan. "Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail. Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.

"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api. "Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan pasaran saham pengangkutan awam," katanya. Selain itu, Syed Hamid berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan memastikan jangka panjang industri rel mampan dan kurang bergantung kepada sokongan kewangan kerajaan.





.

8 Gambar Proton Perdana wajah baharu (kenderaan rasmi kerajaan)


8 Gambar Proton Perdana wajah baharu (kenderaan rasmi kerajaan) | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan. Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.


Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.


Turut hadir Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet. Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Khamil berkata Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, hari ini menyerahkan kumpulan pertama 200 unit Proton Perdana kepada kerajaan.


Beliau berkata 3,000 unit lagi akan diserahkan kepada kerajaan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh dua tahun bagi menggantikan kumpulan Proton Perdana pada masa ini yang digunakan sebagai kenderaan kerajaan. "Buat masa ini, Proton Perdana baharu itu hanya untuk kenderaan rasmi kerajaan, termasuk agensi kerajaan dan ia tidak akan dijual kepada orang awam.


 "Proton juga menerima permintaan daripada kerajaan negeri dan badan berkanun untuk menukarkan Proton Perdana yang sedia namun ia tertakluk kepada kelulusan," katanya. Mohd Khamil berkata Proton Perdana merupakan sebahagian daripada program pembangunan yang dijalankan Proton dengan kerjasama Honda Japan Ltd. Beliau berkata ia merupakan fasa pertama program antara Proton dan Honda, menurut perjanjian kerjasama antara kedua belah pihak akhir tahun lepas.


"Kami menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas kepercayaan mereka kepada Proton dan memberikan kami peluang sekali lagi sebagai penyedia kenderaan rasmi kerajaan,” katanya.


Mohd Khamil berkata penggantian model Perdana yang akan digunakan kerajaan Persekutuan adalah di bawah fasa satu perancangan Proton bagi membangunkan segmen D baharu. Katanya Proton telah memulakan fasa dua program berkenaan yang membabitkan pembangunan seterusnya model segmen D mengikut inisiatif perkongsian platform dengan Honda Japan Ltd, dengan reka bentuk dalaman dan luaran yang baharu.


 "Ia akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. Ia akan dijual kepada orang awam,” katanya. - Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!