Friday, December 27, 2013

Malang si isteri bila bersuamikan seorang penagih dadah..


Malang si isteri bila bersuamikan seorang penagih dadah.. | Seorang wanita di Afghanistan terpaksa menanggung derita selepas hidung dan bibirnya dikerat oleh suaminya yang juga seorang penagih dadah. Setara, 30, ibu kepada empat anak itu dilaporkan dipukul sebelum suaminya memotong hidung dan bibirnya.


"Dia bertindak ganas kerana saya enggan beri barang kemas untuk digadai bagi membeli dadah. Dia rampas telefon dan cincin saya sebelum melarikan diri," katanya pada laporan Daily Mail. Ibu Setara, Nasima berkata, dia mahu pihak berkuasa menahan menantunya itu dan merejam hingga mati bagi memberi pengajaran kepada orang lain. -AP




.




.

Kisah pengislaman peninju terkenal, Mike Tyson atau nama islamnya Malik Abdul Aziz



Kisah pengislaman peninju terkenal, Mike Tyson atau nama islamnya Malik Abdul Aziz | "ANGKAT kotak tu!" jerkah sekumpulan remaja lelaki. Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati. Tiba di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya. Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati itu pada mukanya. Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali. Sejak itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga berpindah.

Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D'Amato tertarik dengan bakat Mike Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan. Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia berat termuda di dunia. Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.


Belajar Islam di penjara 

Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata, 'mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam'. Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: "Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni perlu mencari perlindungan melalui Islam." Bagi Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana. Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz.

Selepas menjadi Muslim, Tayson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan menghormati. Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005. Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh penghayatan.


Doa setiap hari 

Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH. "Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga. "Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang benar," katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir. Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon ampunan ALLAH setiap hari.

Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat tangan. Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati menjadi peliharaannya. Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las Vegas. "Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah," katanya. -SH




.

Justin Bieber Umum Bersara Dari Dunia Nyanyian


Justin Bieber Umum Bersara Dari Dunia Nyanyian | PENYANYI sensasi, Justin Bieber telah mengumumkan persaraannya sebagai penyanyi menerusi laman Twitter miliknya sehari sebelum sambutan Hari Krismas. Menurut laporan Daily Mail, Justin, 19, berkata, keputusan itu dibuat selepas tidak mampu menghadapi media di Amerika Syarikat yang sentiasa mencari kesalahannya selain mereka (media) ingin melihat kerjayanya jatuh. "Kepada semua Biliebers (panggilan Justin kepada peminatnya), saya secara rasmi bersara," katanya menerusi satu entri di Twitter. Bagaimanapun kata Justin dia tidak akan sesekali meninggalkan para peminat setianya. "Media sentiasa ingin menjatuhkan kerjaya saya dan menulis perkara buruk tentang saya namun saya tidak akan tinggalkan anda semua," katanya lagi.

 Sebelum ini Justin telah melahirkan hasratnya untuk bersara selepas pelancaran album terbaharunya berjudul Journey pada minggu hadapan. Namun para peminatnya hanya menganggap Justin cuma berjenaka mengenai perkara itu. Untuk rekod, Single pertama Justin berjudul One Time pernah menduduki carta teratas di 30 buah negara selain album pertamanya mendapat pengiktirafan platinum di Amerika Syarikat. Justin mengecap populariti di seluruh dunia dengan sekelip mata selain menjadi buruan paparazi. -AP




.

Apa Amy Search buat di Sandakan, Sabah?


Apa Amy Search buat di Sandakan, Sabah? | Program Jelajah Borneo Program 1Malaysia For Youth (1M4U) singgah di daerah ini sebagai lokasi kedua dengan melakukan kerja amal di Rumah Warga Tua Sri Harapan di sini. Sejumlah 15 sukarelawan menyertai program itu, termasuk penyanyi rock tanah air Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search. Penolong Pengurus Program 1M4U Nurul Ashikin Ab Aziz berkata program itu bermula di Kota Kinabalu dan meneruskan misi ke Lahad Datu serta Semporna sebelum ke Sarawak pada bulan depan.

Penyanyi terkenal tanah air Suhaimi Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search mengendalikan mesin pemotong rumput dalam program bergotong-royong melalui kerja amal 1M4U Jelajah Borneo di rumah Warga Tua Sri Harapan di Sandakan

Beliau berkata, dua daerah yang dikunjungi di Sabah mendapat sambutan menggalakkan daripada belia seterusnya menyuntik semangat pihak 1M4U mengadakan program seumpamanya pada masa akan datang. "Ini merupakan aktiviti berbentuk kesukarelawan serta melengkapkan diri dengan nilai-nilai murni, jati diri dan kemahiran insaniah yang tinggi dalam kalangan belia," katanya. Program 1M4U dilancar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi 1M4U, pada Julai lepas sebagai wadah bagi menggalak serta memacu aktiviti berbentuk kesukarelawan dalam kalangan belia di negara ini.

Khatija Abdul Talib, 24, berkata beliau gembira menyertai program itu kerana dapat menyumbang tenaga untuk aktiviti berfaedah. Beliau berkata, program sedemikian perlu diteruskan bagi memberi peluang kepada rakan belia yang lain melaksanakan tanggungjawab sosial di samping dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti kesukarelawan serta aktiviti amal. - Bernama




.

Pemilik akaun Facebook, Asmaelz Hadzeny II kini ditahan polis


Pemilik akaun Facebook, Asmaelz Hadzeny II kini ditahan polis | Polis semalam menahan pemilik akaun Facebook yang beroperasi dengan nama Asmaelz Hadzeny II yang diburu sejak minggu lepas kerana menghasut orang ramai menyertai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada 11 pagi di Saratok, Sarawak. "Suspek yang merupakan seorang penganggur kini dalam proses untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi membantu siasatan," katanya dalam catatan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia. Hadi Ho berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. - Bernama




.

INFO : Amaran angin kencang, laut bergelora


INFO : Amaran angin kencang, laut bergelora | Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Selasa depan. Jabatan Meteorologi dalam kenyataan di sini berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur serta ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter. Selain itu, kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga 31 Dis.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj berlaku di perairan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter. Kedua-dua keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak dan perkhidmatan feri. Menurut kenyataan itu, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dijangka berterusan sehingga awal petang ini. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!