Wednesday, January 1, 2014

Datuk Lee Chong Wei dan pencapaian hebat tahun 2013


Datuk Lee Chong Wei dan pencapaian hebat tahun 2013 | Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei bukan sahaja menamatkan musim 2013 dengan kekal di ranking No.1 dunia, malah menjadi pemain badminton yang memperoleh hadiah wang kemenangan terbanyak dalam kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Semalam portal badminton terkenal, badzine mengeluarkan senarai 50 pemain yang berjaya meraih kutipan hadiah wang tunai terbanyak dan Chong Wei menjadi satu-satunya wakil negara yang berada dalam senarai tersebut. Chong Wei yang masih segar dengan kejuaraan Siri Super Akhir 2013 bulan lepas, berada di tangga teratas dengan mengutip hampir AS$300,000 (RM982,000), manakala menduduki tangga kedua pemain wanita China, Zhao Yunlei.

Sejak 27 Disember 2012, Chong Wei berjaya mengekalkan ranking No.1 dunia sehinggalah ia baru dikemaskini pada 26 Disember 2013, namun pemain dari Pulau Pinang itu mungkin sedikit terkilan kerana masih gagal meraih gelaran dunia selepas tewas kepada seteru utama, Lin Dan dalam perlawanan akhir di Guangzhou Ogos lalu. Chong Wei menyertai 13 kejohanan tahun lalu dengan berjaya muncul juara Super Siri Premier Terbuka Korea, Siri Super Terbuka Malaysia, Siri Super Terbuka India, Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Siri Super Terbuka Jepun, Siri Super Hong Kong dan Siri Super Akhir di Kuala Lumpur. Selain Kejohanan Dunia, Chong Wei juga terpaksa akur dengan seorang lagi pemain China, Chen Long apabila tewas kepada pemain tersebut dan muncul naib juara di All England dan Super Siri Premier Denmark.

 Pada Grand Prix Emas Australia, Chong Wei terkandas di separuh akhir apabila tumpas kepada pemain China, Tian Houwei. Dia juga kalah kepada Kenichi Tago dari Jepun, juga di separuh akhir Siri Super Hong Kong. Bagaimanapun, wang tunai yang berjaya diraih Chong Wei sebenarnya lebih daripada yang dikeluarkan badzine kerana dia juga beraksi pada beberapa kejohanan bukan dalam kalendar BWF seperti Liga China, Indonesia dan India. Kesemua liga tersebut menawarkan hadiah yang lumayan, malah dia turut menerima yuran penampilan. Selain menerima bayaran dengan menyertai setiap kejohanan tersebut, Chong Wei juga menjadi duta beberapa syarikat ternama. Kedudukan Chong Wei yang merupakan satu-satunya pemain Malaysia berada dalam kelompok 50 tersebut membuktikan bahawa standard dia dan pemain-pemain Malaysia yang lain terlalu jauh.

Musuh tradisi Chong Wei, Lin Dan memang tidak menyertai beberapa kejohanan tahun ini dan gagal menempatkan diri dalam ranking 100 terbaik dunia, namun dia masih lagi boleh berbangga menjadi pemain badminton meraih pendapatan lumayan kerana menurut sumber dia mendapat kontrak di China yang mencecah enam angka setahun. Yunlei, juara Sukan Olimpik muncul pemain kedua mengutip hadiah kemenangan terbanyak dengan meraih AS$167,195 (RM547,647). Kemampuannya beraksi cemerlang dalam dua acara, beregu wanita dan campuran membolehkannya menikmati habuan besar. Selain Yunlei sembilan lagi pemain China, Li Xuerui, Zhang Nan, Bao Yixin, Wang Shixian, Wang Xiaoli, Yu Yang, Tang Jinhua, Wang Yihan dan Chen Long berada dalam kelompok 15 pemain yang menerima hadiah kemenangan tertinggi.-Utusan




.




1 Penyokong CHELSEA:

kakitravelkhairuddin.blogspot.com on January 1, 2014 at 3:22 PM said...

terbaik...selamat tahun baru 2014

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!