Panas : Blogger hiburan dikatakan tiada etika? | KEWUJUDAN blog khususnya yang berkait rapat dengan dunia hiburan semakin banyak. Tetapi agak menyedihkan apabila sesetengah blogger hiburan tidak beretika. Mereka bukan sahaja tidak ada asas kewartawanan malah pakai hentam keromo sahaja. Banyak artis menjadi mangsa laporan yang tidak beretika blog hiburan. Sedangkan akhbar atau majalah mempunyai etika tertentu terutama kesahihan laporan yang ditulis. Sekarang ini semacam sudah menjadi kebiasaan blogger juga turut membuat liputan acara hiburan yang melibatkan artis popular. Itu tidak ada masalah. Tetapi yang menjadi isunya laporan mereka bukan sahaja menyimpang dari fakta malah ditulis sesuka hati. Lebih teruk lagi ada blogger hiburan yang menciplak laporan dari akhbar dan majalah kemudian ditampal dalam blog mereka. Sudahlah mencedok berita orang yang disiarkan di media massa mahupun portal tanpa segan silu, langsung tiada diberikan kredit terhadap berita yang ditulis. Seolah-olah mereka yang melaporkan berita itu.
Pada masa yang sama masyarakat khususnya peminat hiburan menganggap laporan blog lebih telus berbanding akhbar atau majalah. Blogger yang tidak beretika boleh menyiarkan laporan yang tidak sahih tetapi akhbar dan majalah ada etikanya. Laporan yang tidak sahih tidak boleh disiarkan kerana ini tidak adil kepada individu yang diperkatakan dalam laporan itu. Ketika ini semua orang boleh menjadi blogger hiburan. Tidak ada pihak yang menyaring laporan mereka kerana di blog tidak ada pasukan editorial yang berwibawa. Kerana mudahnya menjadi blogger, sesetengah individu merasa sudah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan atau menaikkan seseorang artis. Etika merupakan asas untuk mendisiplin diri setiap penulis blog.
Kalau tidak ada etika, blogger terutamanya hiburan akan menulis apa sahaja yang disukai tanpa menghiraukan fakta atau palsu. Blogger hiburan seharusnya memainkan peranan membentuk pemikiran masyarakat melalui hasil penulisan yang tepat dan berkualiti. Oleh itu etika diperlukan sebagai peraturan dalam diri penulis blog itu sendiri supaya menulis berasaskan kepada fakta dan bukannya sekadar sesuka hati ataupun menciplak hasil kerja orang lain tanpa kebenaran. Sebenarnya penulis blog ini mempunyai kuasa untuk menyampaikan pelbagai maklumat kepada masyarakat seterusnya mempengaruhi pemikiran melalui maklumat yang disampaikan itu. Kuasa yang diperoleh itu juga merupakan keperluan untuk seseorang penulis blog menjadi seorang yang bertanggungjawab seterusnya menyumbangkan pengetahuan kepada masyarakat.
Tetapi dengan sikap sebahagian besar blogger hiburan termasuk yang mendakwa blogger hiburan popular yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, golongan artis yang menjadi mangsa. Banyak laporan yang dibuat oleh blogger hiburan ini diketahui juga oleh wartawan media cetak dan elektronik. Tetapi mereka tidak melaporkan kerana ada yang tidak sahih. Bagaimanapun blogger hiburan tidak memikirkan status berita yang mereka terima. Artis perlu berhati-hati dalam berkongsi cerita dengan blogger hiburan agar tidak ditokok tambah sesuka hati cerita yang diberikan kepada mereka. Pada masa yang sama peminat hiburan pula jangan terlalu percaya laporan blogger hiburan. Memanglah ada blogger hiburan yang merasakan mereka lebih berkuasa daripada wartawan. Biarlah mereka perasan kerana yang penting jangan terlalu mempercayai blog hiburan. -Utusan
.
2 Penyokong CHELSEA:
itulah pasal.
blog sebenarnya ramai yang tak tau.. ianya lebih bersifar personal atau emosi berbanding majalah ataupun akhbar yg memang mempunyai etika yg semestinya di patuh dan mempunyai editor utk saringan
Post a Comment