Thursday, January 23, 2014

Sekumpulan remaja kantoi melakukan perbuatan vandalisme



Sekumpulan remaja kantoi melakukan perbuatan vandalisme | Sekumpulan remaja tidak menyangka tindakan mereka menterbalikkan tong sampah ke jalan raya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sehingga mengundang kehadiran seorang anggota polis sebelum mereka diarahkan membersihkan kawasan berkenaan. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan (10.30 pagi waktu Malaysia) pada 7 Januari itu, remaja yang melakukan perbuatan vandalisme tersebut tidak mengetahui bahawa tindak-tanduk mereka dirakam. Operator CCTV tersebut kemudian bertindak menghubungi pihak polis, yang bergegas ke tempat kejadian untuk menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Setibanya di tempat kejadian, polis berkenaan memberikan kata-kata nasihat kepada remaja tersebut dan mengarahkan mereka supaya mengutip sampah-sarap yang bertaburan di jalan raya serta menempatkan semula tong sampah di tempat yang betul.

Namun begitu, tiada tindakan lanjut diambil ke atas mereka berhubung insiden tersebut. Bagi mengelakkan daripada kejadian sama berulang kembali, Majlis Perbandaran York dan Polis North Yorkshire mengambil keputusan untuk memuat naik video berkenaan di laman-laman sosial. Seorang anggota Majlis Perbandaran, Linsay Cunningham-Cross menyifatkan perbuatan tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bersyukur kejadian itu dirakam oleh operator CCTV sebelum berjaya ditangani dengan baik oleh pihak polis.

"Kes ini menunjukkan bagaimana kemudahan teknologi yang ada di bandar ini boleh membantu polis melindungi masyarakat daripada pelbagai jenayah,'' jelas Cunningham-Cross. Sementara itu, menurut Supritendan Phil Cain, insiden berkenaan berjaya dikesan dengan cepat oleh CCTV sehingga membolehkan polis tiba di tempat kejadian dalam masa beberapa minit sebelum berlakunya kejadian yang tidak diingini. "Saya memuji tindakan polis yang menangani masalah dengan begitu baik, mudah-mudahan remaja terbabit belajar daripada kejadian ini dan memperbaiki diri mereka pada masa akan datang,'' ujar Cain. - AGENSI




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!