Monday, March 17, 2014

BPL : [Gambar] Manchester United diaibkan di laman sendiri



BPL : Manchester United diaibkan di laman sendiri | Dua sepakan penalti ketua pasukan, Steven Gerrard membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi, Manchester United semalam untuk memboleh­kan mereka te­rus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea. Gerrard menjaringkan gol menerusi sepakan penalti di kedua-dua separuh masa perlawanan untuk membolehkan pasukan pelawat menguasai perlawanan dan jaringan ketiga melalui Luis Suarez melengkapkan kemenangan kedua Liverpool di Old Trafford dalam tempoh sepuluh tahun. Liverpool tidak berasa kekok memulakan perlawanan di gelanggang lawan apabila menguasai perlawanan dan dalam tempoh sepuluh minit pertama mereka telah dua kali membuat percubaan ke arah gol menerusi penyerang, Daniel Sturridge dan pertahanan kiri mereka, Glen Johnson namun kedua-dua­nya tidak menepati sasaran.

 Tersentak dengan percubaan tersebut, United bangkit untuk mencari gol pendahuluan namun percubaan Robin van Persie dari dalam petak penalti juga gagal menerjah gawang gol. Pada minit ke-27 pertahanan United sekali lagi diuji, kali ini menerusi percubaan pemain tengah pasukan pelawat, Joe Allen namun penjaga gol, David De Gea bersedia untuk menyelamatkan rembatan bintang Wales itu. Mimpi buruk mula melanda pasukan tuan rumah pada minit ke-32 apabila Rafael menampan bola de­ngan tangan ketika cuba mengawal Suarez di dalam kawasan gol dan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg tidak teragak-agak memberi sepakan penalti yang mudah di­sempurnakan Gerrard, yang me­rembat ke sebelah kanan tatkala De Gea merebahkan badan ke sebelah kiri.


United cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-43 tetapi rembatan Wayne Rooney dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Rafael berjaya diselamatkan penjaga gol, Simon Mignolet. Tidak sampai seminit perlawanan separuh masa kedua bersambung Liverpool dihadiahkan satu lagi sepakan penalti apabila Phil Jones merempuh Allen dan Gerrard sekali lagi tidak mempersiakan peluang yang terhidang apabila me­rembat leret ke tempat yang sama dan kali ini gagal dijangkau De Gea walaupun dia sudah merebahkan badan ke arah yang tepat. Clattenburg menghadiahkan sepakan penalti ketiga buat Liverpool pada minit ke-76 kerana Nemanja Vidic menerjah Daniel Sturridge sehingga menyebabkan ketua pasukan United itu diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua, namun Gerrard gagal menyempurnakan peluang untuk mencatat hatrik apabila sepakannya terkena tiang kiri gawang.

Kad merah yang diterima Vidic adalah kali keempat buatnya sepanjang bertemu Liverpool iaitu kali pertama pada September 2008 (Liver­pool 2 United 1), Mac 2009 (United 1 Liverpool 4), Oktober 2009 (Liverpool 2 United 0). Bagaimanapun, kegagalan sepakan penalti tersebut berjaya ditebus dengan gol ketiga Liverpool apabila Suarez berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Sturridge dan tidak melepaskan peluang dengan merembat untuk menewaskan De Gea. - REUTERS





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!