Ibu bapa marah dibebani hutang permainan video | Golongan ibu bapa di Britain menyuarakan rasa marah kerana dibebani hutang gara-gara taktik syarikat teknologi Apple Inc memperdaya anak-anak mereka dengan menyediakan aplikasi permainan video dalam komputer tablet, iPad atau telefon pintar i-Phone yang sepatutnya percuma. DailyMail Online melaporkan sejumlah kes telah dicatatkan di negara ini apabila ibu bapa terpaksa menanggung hutang beribu-ribu pound selepas anak mereka secara tidak sengaja membuat pembelian melalui dalam talian, walaupun mereka bermain permainan video percuma. Kira-kira 90 peratus aplikasi permainan video disediakan secara percuma dalam iTunes tetapi perlu membuat pembayaran jika pengguna mahu membuka kunci tertentu, membeli barangan tambahan atau maju ke peringkat seterusnya. Sepasang suami isteri, Simon, 45, dan Nicky Hayes, 39, berkata, mereka kerugian sebanyak 1,200 pound (RM6,535) pada dua tahun lalu apabila anak lelaki mereka, Will, 7, membuat berpuluh-puluh pembelian melalui akaun iTunes yang disediakan Apple.
Menurut Hayes, anaknya itu bermain permainan virtual zombie brains dalam iPad, yang rupa-rupanya melibatkan penggunaan wang sebenar selepas dimuat turun secara percuma. Satu kes lagi dialami oleh seorang suri rumah, Louise Worth, 50, yang membenarkan anak lelakinya, Alex, 10, bermain permainan percuma yang dikenali sebagai Six Guns pada tahun lalu. Katanya, Alex membelanjakan sebanyak 250 pound (RM1,361) dengan membuat 28 pembelian daripada iTunes. "Alex hanya menekan butang ya yang tertera pada skrin untuk meneruskan permainan tersebut tanpa menyedari perbuatannya itu dikenakan bayaran.
Tahun lalu, kseorang anak-kanak perempuan, Lilly Neale, 8, dari Somerset menghabiskan wang ibu bapanya sebanyak 4,000 pound (RM 21,786) ketika bermain permainan video, manakala Theo Rowland-Fry, 8, dari Bristol berbelanja sebanyak 1,000 pound (RM 5,446) untuk tujuan sama. Satu kajian yang dijalankan pada tahun lalu juga menunjukkan ibu bapa di Britain kerugian sebanyak 30 juta pound (RM163 juta) akibat tindakan anak mereka membuat pembelian tanpa kebenaran melalui dalam talian. Baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS), Apple bersetuju memulangkan semula sekurang-kurangnya 66 juta pound (RM359 juta) kepada ibu bapa yang menghadapi masalah tersebut. -AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment