Monday, May 5, 2014

Hasrat untuk berkahwin tidak kesampaian, dia terkorban dalam satu kemalangan


Hasrat untuk berkahwin tidak kesampaian, dia terkorban dalam satu kemalangan  | Hasrat seorang pekerja gedung pakaian untuk menamatkan zaman bujang penghujung tahun ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Bukit Piatu, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Mohd Azhar Hassan, 27, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabit kemalangan itu. Bapa mangsa Hassan Baba, 72, berkata, dia yang dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anaknya bergegas ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi, mayat Mohd Azhar sudah dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat. “Arwah jarang pulang ke rumah saya di Cheng, di sini dan tinggal bersama ibu angkatnya di Kampung Bukit Pulau, Melaka. Kali terakhir dia balik rumah sebulan lalu.

“Malah, Mohd Azhar ada menyatakan hasrat untuk berkahwin penghujung tahun ini, namun semua itu tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam. Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan kejadian itu namun terkilan kerana sudah agak lama tidak menemui anaknya itu. Sementara itu, sumber berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas arwah dikatakan cuba mengelak kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tong gas. “Berikutan kemalangan itu, motosikal Yamaha LC135 ditunggang mangsa terseret dan merempuh pula motosikal ditunggang wanita yang juga rakan sekerjanya.

“Berikutan kemalangan itu, Mohd Azhar maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala wanita berkenaan hanya cedera ringan,” katanya di sini, semalam. Difahamkan, wanita berusia 24 tahun yang turut terbabit kemalangan itu mengandung enam bulan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Beliau berkata, mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Pulau. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman mengesahkan mengenai kemalangan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Metro




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!