Anjing peliharaan dibiarkan kebulur yang kemudiannya membaham jiran | DUA wanita di Britain dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas anjing mereka dibiarkan kelaparan selama 45 jam membaham seorang lelaki. Anjing spesies Presa Canario milik Hayley Sulley, 30, dan Della Woods, 29, itu dipercayai menceroboh laman kediaman jiran mereka selepas ia tertarik dengan bau masakan stew daging yang disediakan mangsa dalam kejadian menggemparkan pada Mei tahun lalu. Clifford Clarke, 79, terpaksa bergelut dengan haiwan itu selama 15 minit sebelum ia ditembak mati pihak berkuasa.
Bekas pesara tentera itu meninggal dunia di hospital akibat cedera parah. Seorang jurucakap polis turut menyifatkan kejadian itu adalah paling mengerikan sepanjang kerjayanya. Sementara itu, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati, anjing tersebut sangat lapar kerana ia cuba untuk memakan bekas makanan plastik, puntung rokok, makanan burung dan minum air kotor sebelum menyerang Clarke. Susulan daripada kejadian itu, Liverpool Crown Court turut melarang mereka memelihara anjing pada masa akan datang. Hakim Mark Brown memberitahu Sulley dan Woods amat bernasib baik kerana kedua-dua wanita tersebut tidak didakwa melakukan pembunuhan seperti yang terkandung dalam undang-undang baharu di negara itu.
“Mereka mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara 14 tahun jika disabit kesalahan,’ katanya lagi dipetik Daily Mail. Difahamkan, hukuman lebih tegas telah diperkenalkan di England dan Wales, bulan lalu susulan daripada kematian mengerikan akibat serangan anjing yang meningkat di kedua-dua kawasan terbabit. Hukuman penjara maksimum kerana menyebabkan anjing menyerang individu lain hingga menyebabkan kematian telah dilanjutkan dari 24 bulan kepada dua tahun. -AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment