Penjara lima hari kerana mencuri di Farmasi | Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri pelbagai barangan bernilai RM218.98 di sebuah farmasi. Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Diyana Davin Sidhu Abdullah, 38, mengaku bersalah mencuri barangan antaranya beberapa pek tuala wanita, dua botol vitamin C dan selipar di Farmasi Guardian, Seri Petaling di sini pada 4 Jun lalu. Diyana, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Dalam rayuannya, Diyana memberitahu mahkamah dia kini mendapat bantuan Baitulmal untuk rawatan atas penyakit yang dihidapinya. "Saya memerlukan rawatan berterusan dengan kos perubatan lebih RM1,000 sebulan. Saya mencuri barangan itu kerana tidak mempunyai wang yang cukup bagi persiapan memulakan pekerjaan minggu depan," katanya dalam nada sebak. Menurut Diyana, dia baru menerima panggilan daripada majikan baharu yang meminta dia melapor diri untuk bertugas minggu depan.
Ketika disoal Majistret Nurul'Ain mengapa dia mencuri sedangkan mendapat bantuan Baitulmal, tertuduh berkata dia memerlukan semua barangan itu terutama vitamin C untuk meningkatkan daya imunisasinya. Nurul'Ain memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap iaitu, 4 Jun. Mengikut fakta kes, Diyana cuba menggunakan kad debit untuk membuat bayaran di kaunter farmasi namun transaksi itu gagal sebelum dia dikesan melalui kamera litar tertutup memasukkan barangan berkenaan ke dalam bag yang dibawanya lalu beredar sebelum dikejar pengawal keselamatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan. - Bernama
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment