Wednesday, June 4, 2014

Populariti isteri Putera William, Kate Middleton bakal tergugat?



Populariti isteri Putera William, Kate Middleton bakal tergugat apabila Puteri Sepanyol, Letizia Ortiz yang tidak kurang jelita akan ditabalkan menjadi permaisuri negara ini. Ini berikutan penurunan takhta Raja Sepanyol, Juan Carlos semalam yang akan digantikan oleh anak lelakinya, Putera Felipe de Borbon, 46, yang juga merupakan suami kepada Ortiz, lapor laman web, Mail Online. Ortiz yang merupakan antara kerabat diraja paling terkenal di Eropah, berkahwin dengan Borbon pada November 2003 selepas menjalin hubungan cinta selama setahun. Perkahwinan itu merupakan yang kedua buat Ortiz selepas bercerai dengan bekas suaminya, Alonso Guerrero Pérez yang merupakan seorang guru sekolah tinggi pada 1999.

 Puteri berkenaan yang berasal dari wilayah Asturias merupakan anak sulung kepada wartawan, Jesus Jose Ortiz Álvarez dan jururawat, Maria de la Paloma Roca­solano Rodriguez. Beliau mendapat pendidikan di sebuah sekolah tinggi awam dan merupakan graduan ijazah sarjana muda di Universiti Complutense Madrid, sebelum mendapatkan ijazah sarjana di Institut Penyelidikan Kewartawanan Audiovisual. Tidak seperti Middleton, Ortiz cemerlang dalam kariernya sebagai wartawan dan pemberita televisyen yang membuat liputan tentang pe­ristiwa bersejarah seperti peperangan di Iraq serta pernah membuat liputan secara langsung di Ground Zero, Amerika Syarikat (AS) dalam kejadian serangan pada 11 September 2001.

Namun, beliau meletak jawatan untuk berkahwin dengan Borbon dan pasangan diraja itu dikurniakan dua orang puteri. Ortiz dilihat sebagai satu nafas baharu dalam monarki diraja Sepanyol disebabkan pendekatan mo­den beliau sebagai seorang puteri. Malah, Ortiz bakal menjadi permaisuri Sepanyol pertama yang pernah bercerai dalam sejarah keluarga diraja negara ini. Jelitawan itu turut mendapat kiritikan daripada media apabila beliau dilihat sebagai seorang yang dingin dalam beberapa perkara. -AP




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!