Sunday, August 17, 2014

Alahai cantiknya Melly Goeslaw selepas berhijab


Alahai cantiknya Melly Goeslaw selepas berhijab | MULA dikenali melalui lagu Jika dan Ada Apa Dengan Cinta, ­Melly Goeslaw, 40, layak digelar Ratu Soundtrack. Terbaru, Melly atau nama sebenar, Mellyana Goeslaw Hoed kini tampil dengan imej berhijab, bakal mencuri hati pengikut setianya menerusi lagu Cinta Dan Ibadah yang cukup membuai perasaan. Lagu itu dihasilkan Melly khusus untuk drama Cinta Ibadah yang akan disiarkan menerusi Astro Prima. Karya terbarunya itu istimewa berbanding lagu-lagu soundtrack sebelum ini kerana berkarya untuk drama tempatan dan turut mendapat liputan meluas di negara kelahirannya. Sebelum ini Melly pernah berkolaborasi dengan Yusry Abd Halim menerusi lagu Di Bius Cinta untuk filem Cicak Man 2.

Ketika kunjungannya ke ­Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mempromosikan lagu itu, Melly turut mencuri perhatian dengan imej barunya.Ketika menjayakan fotografi yang diatur Warner Music Malaysia untuk SELEBRITI, penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit itu mendedahkan, peluang menghasilkan lagu tema Cinta Dan Ibadah cukup bermakna buat dirinya kerana pertama kali menghasilkannya untuk produksi drama di Malaysia. Katanya, dia terima tawaran Astro kerana jatuh cinta dengan jalan cerita drama itu. “Saya terima tawaran ini empat bulan lepas. Kebetulan ketika itu saya lapang. Selepas membaca skrip yang dikirimkan penerbit dan Astro, saya sangat teruja dan terus bersetuju. Saya suka ­dengan jalan ceritanya dan membaca berkali-kali supaya dapat menjiwainya. “Ia mengisahkan pengorbanan isteri yang sakit tenat. Dia sangat cintakan suaminya hingga mencari wanita lain sebagai pengganti dirinya.

“Cerita sebegini jarang disajikan bahkan di negara saya belum ada sinetron seperti ini. ­Kelainan itu yang menarik minat saya untuk terbabit dalam projek ini. “Ketika menghasilkan lagu untuk runut bunyi, saya letakkan diri pada kedudukan watak supaya dapat merasai apa yang dilaluinya. Memang sedih apabila berbagi kasih. Walaupun tidak melalui dalam kehidupan sebenar, sebagai wanita kita dapat merasainya,” katanya. Sejak pulang dari umrah tiga tahun lalu, Melly akui banyak menghasilkan lagu tema filem serta drama kerohanian. Antaranya, Ayat-ayat Cinta, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Bila Cinta Bertasbih. Lebih bermakna bagi Melly apabila Cinta Dan Ibadah yang pertama dihasilkan selepas berhijab. Dia juga kali pertama tampil bertudung dalam klip videonya. Mengenai penampilan barunya itu, kata Melly hasrat itu sudah dipendam sejak dua tahun lalu dan melaksanakannya apabila pulang dari umrah pada Mei lalu.

Perubahan itu mendapat sokongan suami dan anak-anak bahkan hari-hari yang dilalui kini lebih tenang dan menyenangkan. Katanya, suami berhijrah dulu dan dua tahun lalu, dia suka melihat wanita berhijab. Nampak sangat cantik dan timbul keinginan untuk bertudung. Namun pada masa itu masih ada ragu-ragu di hati, adakah orang akan pang­gil dia menyanyi kalau berhijab. “Ketika mengerjakan umrah Mei lalu, saya jadi malu sendiri apabila tidak melaksanakan kewajiban itu. Saya nekad menutup aurat dan tawakal. Kalau ada rezeki dalam bidang ini, adalah. “Saya sangat menghargai perubahan ini dan tidak akan menyanyi di kelab lagi. Suami pun bangga ­dengan saya malah anak-anak sangat gembira. Abe akan tegur jika saya tidak bertudung dengan sempurna. Sehelai rambut nampak pun dia akan bising. Padahal mereka bukan dibesarkan dalam persekitaran yang alim. Saya bangga dengan mereka.

“Walaupun sudah berhijab, saya masih tampil bergaya dan masih tercari-cari fesyen sesuai. Bagi saya tidak salah berfesyen selagi ia tidak menyalahi syariat,” katanya yang suka melihat penampilan Yuna. Berkahwin dengan Anto Hoed pada 2005, sepanjang 19 tahun melayari bahtera bersama suami tercinta, pasangan ini cukup bahagia bersama kehadiran dua putera, Anakku Lelaki Hoed (Ale), 14 dan Pria Bernama Hoed (Abe), 11. Mengenai rahsia kebahagiaan mereka, Melly berkata dia dan Anto menghormati ruang peribadi masing-masing. Katanya, perkahwinan tidak membataskan pergaulan, cita-cita dan impian mereka. Dengan keterbukaan itu, tidak wujud istilah rimas atau kurang senang antara mereka. “Seperkara lagi, dari dulu kami saling menyokong dan melakukan kerja bersama-sama. Kami melengkapi antara satu sama lain bahkan Anto tulang belakang saya. Dalam soal karier, tidak timbul siapa yang lebih hebat kerana kami sentiasa bersama-sama,” katanya.

Kata Melly, anak-anak mereka juga mewarisi bakat mereka. Ale cenderung memetik gitar manakala Abe gemar mengetuk dram. “Nama Abe diinspirasikan dari filem Anakku Sazali. Ketika hamilkan dia, saya gemar mendengar dan melihat karya Tan Sri P Ramlee. Alhamdulillah, saya dikurniakan anak yang baik dan mereka juga minat muzik,” kata­nya. Melly juga tiada program besar tahun ini kerana mahu tumpukan perhatian terhadap pembikinan album solo. Katanya, menghasilkan lagu runut bunyi lebih mudah daripada buat album kerana tidak perlu fikir formula dan gaya baru.

Lagu tema diinspirasikan dari senario cerita kerana ia didedikasikan untuk filem atau siri yang dibuat. Bercerita lanjut mengenai album terbaru, Melly akui baru sedar sudah lama tidak muncul dengan album solo. Sepanjang kembara seninya, album solo boleh dibilang dengan jari selebihnya kompilasi serta album runut bunyi. “Azam saya mahu buat album solo tahun ini tapi sebelum itu saya akan keluarkan single dulu. Album solo ini akan memuatkan 10 lagu dan pastinya apa yang saya ketengahkan kali ini berbeza daripada karya terdahulu. “Untuk album ini, saya mahu bunyinya lebih asli. Kalau dulu, gaya penulisan saya lebih bebas, kali ini saya perlu lebih berhati-hati menyusun kata-kata agar selari dengan penghijrahan yang saya lakukan,” katanya.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!