Saturday, August 16, 2014

MH17: Ahli keluarga dinasihat tak buka keranda dan lihat keadaan jenazah


Ahli keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dinasihatkan agar tidak membuka keranda dan melihat keadaan jenazah sebaliknya terus disempurnakan sebaik sahaja tiba di tanah air. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, semua 16 mayat yang tiba 22 Ogos ini telah diuruskan sebaik mungkin dan hanya perlu disempurnakan mengikut kepercayaan agama masing-masing. Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak menghalang sekiranya ada ahli keluarga yang tetap berkeras untuk melihat keadaan jenazah buat kali terakhir, namun saranan tersebut dibuat berdasarkan keadaan mayat yang tidak sempurna.

Beliau berkata, apabila 16 jenazah tiba pada 22 Ogos ini, kesemuanya akan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dibawa pulang ke Perak, Johor, Sarawak, Putrajaya dan sekitar Lembah Kelang. "Ahli keluarga mangsa MH17 yang akan menerima jenazah pada 22 Ogos ini dinasihatkan tidak membuka keranda kerana keadaan mayat sudah terlalu lama dan tidak sempurna, lebih elok disegerakan urusan pengebumian. "Kami juga ingin menasihatkan agar ahli keluarga tidak mengambil sebarang gambar jenazah sekiranya tetap mahu keranda dibuka, jika gambar berkenaan tersebar, dikhuatiri akan mengaibkan jenazah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-57 Peringkat Kementerian di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalan beliau, Datin Paduka Chew Mei Fun. Menurut Rohani, jenazah rakyat Malaysia yang dikenal pasti telah diuruskan dengan sempurna mengikut agama masing-masing dan bagi beragama Islam jenazah telah dimandi, dikafan serta disolatkan di Belanda. Selain itu, katanya, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan jumlah jenazah dan abu mayat nahas MH17 warganegara Malaysia yang akan diterima Jumaat depan lebih daripada 15 seperti yang disahkan semalam. Katanya, sebanyak 24 mayat warganegara Malaysia sudah dikenal pasti setakat ini dan ada kemungkinan jumlah mayat yang diluluskan untuk dibawa balik akan bertambah dalam tempoh seminggu ini. "Kerajaan Belanda juga telah mengambil inisiatif untuk memateri keranda bagi mengelak ia dibuka, namun ahli keluarga mempunyai pilihan untuk membukanya atau pun tidak," katanya. -BH




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!