Wednesday, September 10, 2014

Ini penjelasan dari pakar kesihatan mengenai isu video viral biskut yang dikatakan mengandungi bahan plastik


Ini penjelasan dari pakar kesihatan mengenai isu video viral biskut yang dikatakan mengandungi bahan plastik | Pakar kesihatan mengingatkan rakyat negara ini agar tidak cepat percaya kepada sesuatu sumber yang belum ditentukan kesahihan, khususnya apabila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan pemakanan dan kesihatan umum. Pelbagai saluran media sosial tempatan baru-baru ini digemparkan dengan sebuah video viral mengenai biskut makanan bayi yang dikatakan mempunyai bahan berunsur plastik. Video bersama gambar dan penerangan itu menunjukkan demonstrasi pembakaran biskut yang kononnya menjadi bukti mengenai kewujudan bahan toksik atau plastik dalam kandungannya.

Hal tersebut telah menimbulkan keresahan orang ramai lebih-lebih lagi golongan ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Walau bagaimanapun, Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad menjelaskan bahawa bahan makanan seumpama biskut tentu sekali mudah terbakar kerana kandungan lemak dan minyak yang terdapat dalam bahan tersebut. “Orang ramai perlu memahami bahan makanan seperti biskut diperbuat daripada tepung, marjerin, gula dan sebagainya yang dipenuhi lemak, karbohidrat dan minyak.


“Apabila seseorang cuba membakar bahan makanan seperti biskut secara langsung akan berlaku proses pembakaran lemak dan ia akan membentuk sejenis cecair tidak berwarna iaitu akrolein yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan,” katanya. Fatimah berkata, kemungkinan besar bau berkenaan telah menimbulkan persepsi negatif memandangkan ia seakan-akan dengan bau plastik terbakar. Tambah beliau, adalah jarang mana-mana pengeluar makanan biskut akan menambah bahan plastik dalam pemprosesan makanan seperti biskut hingga mengundang bahaya kepada kesihatan orang ramai. Fatimah turut meminta orang ramai agar tidak menimbulkan trend berita seumpama itu semata-mata untuk mencari populariti di media sosial. – Kosmo




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!