Tuesday, September 23, 2014

Kenali latar belakang Menteri Besar Selangor ke15, Mohamed Azmin Ali



Kenali latar belakang Menteri Besar Selangor ke15, Mohamed Azmin Ali | “Zaman kanak-kanak, Azmin ni tak ada ramai kawan, kecuali dengan anak-anak Salleh Ghani yang ada lapan orang lelaki. Kami main baling-baling tin, main getah dan biasanya aku dengan Azmin masuk hutan dekat rumah untuk cari kayu nak dibakar pada malam tujuh likur." Begitulah cerita Adam Salleh, rakan sepermainan yang pernah berjiran dengan keluarga Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali sejak 1970.Adam yang juga Pengarang Rencana Metro Ahad adalah anak kepada pengarah filem, Allahyarham Salleh Ghani.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, disebabkan perbezaan usianya dengan Azmin hanya setahun dan bersekolah di tempat sama (Sekolah Tinggi Setapak), biasanya Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu akan mencarinya untuk bermain bersama pada kebanyakan masa. Pada waktu petang pula, kata Adam, Azmin sering meluangkan masa menjaga kambing bapanya berhampiran kawasan estet di Kampung Klang Gate yang kini sudah dibangunkan menjadi Desa Melawati.


“Biasanya Azmin akan berborak dengan aku dan bercerita tentang niatnya mahu belajar tinggi,” katanya. Adam dan Azmin juga pernah ke Singapura bersama-sama pada 1980. Kata Adam, mereka mendapat restu ibu Azmin, Che Tom Yahaya (lebih mesra dipanggil Mak Munah) untuk melawat saudaranya di Geylang. Katanya, Mak Munah memberikan mereka satu bungkusan untuk diserahkan kepada ibu saudara Adam di Singapura, Raja Badar Raja Saat, tetapi mereka tidak tahu apakah isinya.Apabila tiba di tempat pemeriksaan kastam di Tanjung Pagar, kata Adam, anjing pengesan di situ menyalak ke arah mereka menyebabkan timbul perasaan sedikit cemas.

“Selepas diarahkan buka oleh pegawai kastam, barulah kami tahu isinya cuma karipap!” katanya. Walaupun dikenali sebagai tokoh yang agak serius, Adam tahu Azmin seorang yang kelakar. “Ketika di Singapura, kami menaiki bas untuk berjalan-jalan di Changi. Tiba-tiba ada seorang lelaki Inggeris yang cacat penglihatan naik meraba-raba. “Melihat keadaan itu Azmin ketawa terbahak-bahak.

Apabila ditanya mengapa, Azmin menjawab: Aku tak pernah tengok Mat Salleh buta!” Satu lagi pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang persahabatan mereka ialah setiap Jumaat tentu Azmin dan Adam akan ke masjid lebih awal. “Dia ajar aku membaca surah Yasin. “Dari satu minggu ke minggu lain, dia akan menukar halaman al-Quran itu untuk aku baca,” katanya yang turut berbangga dengan pencapaian Azmin dalam politik.




Angkat Sumpah 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali pada Selasa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, di sini. Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani aku janji di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pukul 10.40 pagi.Memakai baju Melayu hitam lengkap bersongket emas, Azmin tiba di Istana Alam Shah pada pukul 8.30 pagi bersama isteri, Shamsidar Taharin.


Pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Gombak yang kelihatan tenang itu menerima watikah pelantikan daripada Sultan Sharafuddin. Azmin, 50 mendapat perkenan Sultan Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meletak jawatan selepas berhadapan masalah dalaman PKR hingga dipecat. Pelantikan Azmin sekali gus menamatkan kemelut politik bagi perebutan kuasa dalam Pakatan Rakyat untuk mengisi kerusi tersebut. Azmin merupakan antara tiga calon yang disenarai pendek dan menghadap Sultan Selangor secara berasingan pada minggu lalu. Selain Azmin, dua calon lagi adalah Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi. -Mstar




.

1 Penyokong CHELSEA:

Nama pena, Puteri Nur Cahaya @ Cikgu iEta. Suri rumah sepenuh masa. Penulis Lifestyle Blogger berpengalaman Social Media Marketing Coach. on September 23, 2014 at 8:15 PM said...

Suka ngan entri ni. Moga Selangor bertambah maju lagi ^__^

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!