Tuesday, September 9, 2014

MH17: Laporan penuh nahas penerbangan


MH17: Laporan penuh nahas penerbangan | Laporan awal nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 pada Julai lepas menunjukkan bahawa pesawat itu berkecai di udara akibat kerosakan struktur selepas terkena sebilangan besar objek bertenaga tinggi yang menembusi pesawat daripada luar. Laporan 34 muka surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda hari ini menyatakan bahawa tiada petunjuk bahawa nahas MH17 di timur Ukraine itu, yang mengorbankan kesemua 298 orang dalam pesawat, disebabkan kesilapan teknikal atau tindakan anak kapal. Ia berkata corak kerosakan yang dikesan pada fiuslaj depan dan bahagian kokpit pesawat tidak konsisten dengan kerosakan yang dijangkakan apabila mode, enjin atau sistem pesawat gagal berfungsi.

"Hakikat bahawa banyak kepingan struktur pesawat bertaburan di kawasan yang luas menunjukkan bahawa pesawat berkecai di udara," kata lembaga itu dalam laporan itu. Laporan itu mengandungi maklumat awal siasatan terhadap nahas membabitkan pesawat Boeing B777-200 yang didaftarkan sebagai 9M-MRD yang melakukan Penerbangan MH17 dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Julai. Menurut laporan itu, semasa kejadian, Penerbangan MH17 sedang terbang di Paras Penerbangan (FL) 330 di ruang udara tanpa sekatan wilayah maklumat penerbangan Dnipropetrovs (FIR) di timur Ukraine.

"Ukrainian State Air Traffic Service Enterprise (UkSATSE) telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang membataskan akses ke ruang udara di bawah FL320 di bahagian selatan FIR," kata laporan itu. Ini disebabkan permusuhan di antara kumpulan-kumpulan bersenjata dan pasukan tentera Ukraine. Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Mereka terdiri daripada 193 warga Belanda dan 43 warga Malaysia, 27 rakyat Australia, 12 warga Indonesia, 10 warga United Kingdom, empat rakyat Jerman, empat warga Belgium, tiga rakyat Filipina, seorang warga Kanada dan seorang warga New Zealand.

Laporan itu menyatakan bahawa pesawat Boeing 777-200 itu terbang mengikut arah, kelajuan dan ketinggian yang tetap apabila rakaman data penerbangan berhenti. Kedua-dua rakaman perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) terhenti pada jam 13.20:03 (dalam waktu seragam sejagat). Transmisi terakhir melalui radio yang dibuat oleh anak kapal MH17 bermula pada jam 13.19:56 dan berakhir pada jam 13.19:59. Transmisi terakhir melalui radio oleh pusat kawalan menara trafik Dnipropetrov (ATC) kepada Penerbangan MH17 bermula pada jam 13.20:00 dan berakhir pada jam 13.22:02. "Anak kapal tidak memberi respons kepada transmisi ini," kata Lembaga Keselamatan Belanda dan menambah tiada isyarat kecemasan diterima oleh ATC.


Laporan penuh nahas dalam tempoh setahun 

Siasatan penuh berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, dijangka mengambil masa setahun bagi mendapatkan bukti tambahan dan punca sebenar kejadian, kata Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dalam laporan awalnya, hari ini. Jelas DSB, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar yang menyebabkan pesawat MH17 itu terhempas dan berkecai selepas ditembusi sejumlah objek berkelajuan tinggi semasa penerbangan. Tambahnya, berdasarkan laporan awal insiden itu, pasukan penyiasat akan memulakan siasatan bagi menyiapkan laporan secara muktamad dalam tempoh setahun.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!