Wednesday, October 15, 2014

Cara paling berkesan cegah jenayah babitkan pemandu teksi


Cara paling berkesan cegah jenayah babitkan pemandu teksi | MyTeksi, sistem aplikasi pencegahan jenayah, dilancarkan hari ini bagi membolehkan pembabitan pemandu teksi bertindak sebagai mata dan telinga polis dalam menangani jenayah. Menerusi aplikasi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan latihan dan taklimat kepada 500 pemandu teksi di ibu kota baru-baru ini, dan mereka akan menjadi penghubung antara masyarakat dan PDRM dalam memelihara keselamatan awam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pelancaran aplikasi itu adalah inisiatif dirangka melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS7) bersama-sama dengan pemandu teksi.

Beliau berkata, aplikasi MyTeksi boleh dimuat turun menerusi telefon pintar, selain boleh membantu penumpang mendapatkan perkhidmatan teksi, ia juga memudahkan pemandu teksi menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat di Lembah Klang apabila berlaku sesuatu insiden jenayah atau kemalangan. "Pemandu teksi yang terbabit diberi pendedahan daripada aspek keselamatan melalui sesi taklimat dan penerangan bagi membantu mereka memahami tanggungjawab dan peranan mereka," katanya pada majlis pelancaran Kolaborasi Strategik PDRM bersama MyTeksi di Dewan Theatrette Bukit Aman, di sini, hari ini.

"Saya diberitahu terdapat lebih 10,000 ahli syarikat MyTeksi di Lembah Klang dan berharap semua mereka boleh diberikan latihan berhubung aplikasi ini secara berperingkat," katanya. Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat MyTeksi, Adelene Foo, berkata sistem aplikasi yang diperkenalkan kepada pemandu teksi itu juga boleh membantu orang awam untuk melaporkan apa sahaja kemalangan atau insiden jenayah yang berlaku.

"Selain itu, fungsi butang 'Lapor kepada PDRM' dalam aplikasi MyTeksi itu juga dapat membantu keselamatan pemandu teksi yang mengambil antara 10 hingga 15 tempahan teksi dalam satu hari. "Dengan butang ini, pemandu teksi akan rasa lebih selamat ketika mengambil penumpang-penumpang yang tidak dikenali, pemandu MyTeksi boleh membuat laporan kepada PDRM dengan hanya dua klik di dalam aplikasi tersebut," katanya. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun. - Bernama




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!