Thursday, October 9, 2014

Lelaki dibelasah hanya kerana menjeling



Lelaki dibelasah hanya kerana menjeling | Jelingan membawa padah. Itu nasib malang menimpa dua lelaki yang dibelasah dengan kerusi, meja dan botol kaca di sebuah restoran di Metro Prima Kepong, di sini, oleh sekumpulan lelaki menyebabkan mangsa menerima beberapa jahitan di kepala dan badan. Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Isnin lalu, kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 20 tahun sedang makan di restoran itu sebelum didatangi sekumpulan lelaki tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakan mangsa menjeling mereka.

Menurut sumber, mangsa menafikan ada menjeling mereka dan mendakwa hanya makan, namun tidak dipedulikan sebelum diserang. “Suspek bertindak ganas dengan menghentak kerusi dan meja ke badan mangsa yang tidak mampu melawan kerana dikepung kumpulan itu. “Tidak cukup dengan itu suspek turut mengambil botol kaca dan menghentak ke kepala dan badan kedua-dua mangsa menyebabkan mereka berlumuran darah,” katanya.

Sumber berkata, selepas membelasah mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri dan akibat kejadian itu mangsa cedera di kepala dan badan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Menurutnya, mereka hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar. Bimbang kejadian sama berulang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -Metro




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!