Thursday, October 9, 2014

Kecederaan pemandu F1 akibat kemalangan tragis di Grand Prix Jepun, kini didedahkan


Kecederaan pemandu F1 akibat kemalangan tragis di Grand Prix Jepun, kini didedahkan | Pemandu Formula 1 Jules Bianchi mengalami kecederaan otak yang serius akibat kemalangan teruk sewaktu Grand Prix Jepun, menurut keluarganya. Pakar-pakar pula memaklumkan bahawa peluang untuk pulih daripada kecederaan sebegitu sangat tipis. Semalam adalah hari ketiga pemandu pasukan Marussia dari Perancis itu berada di bawah pemerhatian intensif selepas kemalangan pada hujung minggu lalu dan keluarganya sering berada di sisinya. "Jules masih di dalam Unit Rawa­tan Rapi Pusat Perubatan Am Mie di Yokkaichi.

Dia telah mengalami kecederaan diffuse axonal dan keada­annya kritikal tetapi stabil. "Pakar-pakar perubatan di hospital ini memberikan rawatan dan penjagaan terbaik dan kami berterima kasih atas semua yang telah dilakukan untuk Jules sejak kemalangan itu," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarganya dan pihak hospital. Bianchi, 25, tidak sedarkan diri selepas kemalangan pada kelajuan tinggi apabila dia me­rempuh sebuah kendera­an penyelamat sewaktu Grand Prix Jepun yang berlangsung dalam hujan Ahad lalu. Dia segera menjalani pembedahan otak, dengan para doktor berkata dia mengalami kecederaan parah.


Kecederaan diffuse axonal adalah trauma yang menyebar ke seluruh otak, dan disebabkan oleh gegaran mengejut ke atas otak. Ini menyebabkan lebam dan kematian sel-sel. Tubuh akan membengkak kerana bertindak balas tubuh terhadap kecederaan itu, yang memburukkan lagi keadaan kerana menghalang pengaliran darah ke otak dan menyebabkan lebih banyak kerosakan. Para pakar berkata, kadar pemulihan akibat kecederaan sebegitu, yang sering kali akibat kemalangan kenderaan, tidak menggalakkan.

Ichiro Miyao, yang menge­tuai kumpulan sokongan terhadap mang­sa-mangsa kemalangan trafik di Jepun berkata, mereka yang pulih sering kali mengalami kerosakan kekal. Ibu bapa Bianchi, Christine dan Philippe, yang ke Jepun selepas perlumbaan itu menghabiskan masa sebelah pagi semalam melawat anak lelaki mereka itu. Para doktor di hospital berkenaan telah melonggarkan had waktu melawat untuk membenarkan mereka melihatnya pada bila-bila masa, menurut sumber hospital kepada AFP. - AFP




.

1 Penyokong CHELSEA:

Izwa Kamaruddin on October 9, 2014 at 10:17 AM said...

alahaiii

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!