Saturday, November 15, 2014

Pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke Menumbok di tanah besar Sabah bakal jadi kenyataan


Pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke Menumbok di tanah besar Sabah bakal jadi kenyataan | Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke Menumbok di tanah besar Sabah terus mendapat sokongan dengan dua pemimpin sependapat mengenainya. Isu berkenaan dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu Limus Jury yang berpendapat pembinaan jambatan itu akan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi Menumbok, Kuala Penyu dan kawasan sekitarnya. Kajian kebolehlaksanaan tentang daya maju jambatan itu oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dibiayai Kementerian Wilayah Persekutuan dan telah selesai dijalankan pada 2009. Namun, belum ada sebarang reaksi positif dari kerajaan negeri.

 Limus berkata, kerajaan negeri harus secara serius mempertimbangkan pembinaan jambatan berkenaan kerana ia akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan menyediakan kemudahan lebih baik kepada rakyat dan pelancong. Beliau berkata sektor swasta berminat untuk menjadi sebahagian daripada projek pembinaan jambatan sepanjang 7.8 kilometer itu melalui kerjasama awam-swasta dengan anggaran kos beberapa bilion ringgit. Sementara itu Anggota Parlimen Labuan Datuk Rosman Isli berkata pembinaan jambatan itu akan memberi manfaat dari aspek ekonomi kepada pulau berkenaan untuk jangka masa panjang.

"Isu pembinaan jambatan ini seharusnya terus dibincangkan memandangkan ia berdaya maju dari segi ekonomi bagi kedua-dua Labuan dan tanah besar Sabah," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Isu ini pernah dibangkitkan pada persidangan Parlimen kali ini. Katanya, jambatan itu akan membolehkan penduduk di Beaufort, Menumbok dan Kuala Penyu menikmati kemudahan yang ada di Labuan seperti pelabuhan, lapangan terbang, institutsi latihan perindustrian pengajian tinggi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Matrikulasi Labuan, kolej vokasional dan peluang pekerjaan. "Labuan mempunyai unsur komersial dan industri untuk menawarkan pekerjaan kepada orang yang tinggal di sekitar daerah ini," katanya.

Rosman berkata jambatan itu juga akan membantu menjadikan harga tanah dan harta di dalam Labuan pada tahap yang munasabah. "Dengan adanya jambatan itu, kami percaya bahawa harga tanah dan harta di Labuan akan meningkat meliputi dua daerah Kuala Penyu dan Menumbok," katanya. Katanya, memandangkan Labuan mempunyai tanah yang terhad, maka harga hartanah di Labuan akan melambung tinggi sejak tahun kebelakangan ini dan dianggap antara yang tertinggi di negara ini. - Bernama




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!