Wednesday, November 12, 2014

Punca gangguan elektrik di Sabah dikenal pasti


Punca gangguan elektrik di Sabah dikenal pasti | Kadar jidar simpanan yang tipis bagi memenuhi keperluan semasa waktu puncak dan kecurian elektrik dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah gangguan bekalan yang kerap berlaku di Sabah, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, jaringan penghantaran dan pengagihan elektrik yang masih belum kukuh juga menyebabkan lucutan beban terpaksa dilakukan pada masa-masa tertentu. "Selain itu, kementerian mendapati bahawa pada separuh tahun 2014, komponen penjanaan merupakan penyumbang terbesar kepada gangguan bekalan elektrik di Sabah.

"Kekurangan kapasiti penjanaan dan henti tugas tidak berjadual yang terpaksa dilakukan oleh stesen-stesen jana kuasa sama ada milik persendirian atau SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) terpaksa dilakukan dan seterusnya menyebabkan gangguan bekalan," katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu punca masalah gangguan elektrik di Sabah serta pelan jangka panjang dan pendek kerajaan untuk mengatasinya.

Ongkili berkata, antara langkah yang telah diambil ialah pembinaan Stesen Janakuasa Kimanis Power melibatkan tiga unit jana kuasa serta stesen Janakuasa Cash Horse, yang menyumbang kepada peningkatan bekalan. Selain itu, kerajaan juga sedang merancang beberapa projek penjanaan kuasa lain termasuk di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu pada 2016 hingga 2018. Dalam pada itu, Ongkili berkata, kementerian juga telah menambah sistem perlindungan kilat bagi memperkukuh sistem penghantaran dan pengagihan elektrik yang terdedah kepada gangguan cuaca. - Bernama




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!