Wednesday, November 19, 2014

Tiga beranak maut dalam kemalangan Perodua 
Alza bertembung treler



Tiga beranak maut dalam kemalangan Perodua 
Alza bertembung treler | Hasrat tiga beranak untuk melawat ahli keluarga yang kemalangan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas Pero­dua Alza yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 6, Jalan Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS)-Pasir Raja, di sini pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mereka yang maut ialah Ibrahim Salim, 67, dan dua anaknya iaitu Rizal Zhafri, 22, dan Suliana, 28. Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Pasir Raja untuk melawat seorang lagi anak Ibrahim iaitu Mohd. Fikri, 20, yang terlibat dengan kemalangan berasingan di Paka sejam sebelum itu iaitu kira-kira pukul 8 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Ahmad Zai­lani Yaacub, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki keluarga terbabit terbabas ke sebe­lah kanan jalan selepas melalui satu selekoh sebelum bertembung de­ngan treler yang datang dari arah bertentangan. “Semua mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala, dada, tangan dan kaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tersebut pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini. Tujuh anggota bomba dari Ba­lai Bomba dan Penyelamat AMBS bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 pagi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Dalam pada itu, seorang lagi anak mangsa, Rashdan Ibrahim, 27, ketika ditemui berkata, dia menerima pesanan daripada arwah kakaknya yang memaklumkan adik mereka, Mohd. Fikri, 21, terlibat dalam kemalangan di Paka dan bergegas untuk turut sama ke tempat kejadian. “Namun, belum sampai ke tempat kejadian, saya menerima berita ayah bersama dua adik-beradik saya pula terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk melihat adik,” katanya. Dia yang tinggal di Kampung Kuala Abang Dungun memberitahu, kesedihan akibat kehilangan ibu tercinta, Zaharah Yahaya, 58, tiga bulan lalu masih belum berakhir dan kini dia kehilangan ayah serta dua adik beradiknya pula dalam sekelip mata.

“Saya sangat sedih dengan kematian kesemua ahli keluarga saya dan kini saya dan Mohd. Fikri menjadi yatim piatu,” katanya yang memberitahu kali terakhir dia ke Kampung Pasir Raja ialah pada Khamis lalu untuk membawa ayahnya ke Dungun bagi menikmati makan tengah hari di sebuah kedai makan di situ. Sementara itu, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN), Bukit Besi, Ros­lee Daud memberitahu, arwah Ibrahim merupakan seorang yang peramah dengan penduduk kampung. “Arwah suka berseloroh bersama penduduk kampung dan mudah mesra dengan orang ramai dan dia juga sangat disenangi ramai. “Saya juga ada menelefon arwah dua hari lepas bertanyakan khabar selepas dia kehilangan isteri kira-kira tiga bulan lalu,” katanya yang mengakui telah lama mengenali Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Abang Him Pasir Raja itu. -Utusan




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!