Wednesday, December 17, 2014

Berita baik buat peminat novel seram tulisan Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba ke layar perak


Berita baik buat peminat novel seram tulisan Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba ke layar perak | Jika sebelum ini banyak novel popular terbitan Kumpulan Media Karangkraf dijadikan filem atau drama oleh penerbit luar, kali ini mereka mengorak langkah menjadi penerbit bersama menerbitkan sebuah novel popular Tombiruo: Penunggu Rimba ke layar perak. Novel tersebut ditulis oleh novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid, dijangka menemui penonton pada pertengahan tahun hadapan. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Karangkraf, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, percubaan ini adalah sebagai langkah mula untuk menambah satu lagi cabang dalam bidang seni iaitu penerbitan filem.

“Walaupun Karangkraf tidak terlibat secara menyeluruh, namun kerjasama ini dianggap sebagai permulaan untuk kami mengembangkan lagi empayar Karangkraf. Umum mengetahui, Karangkraf terkenal dengan penerbitan majalah, buku, novel dan akhbar sehinggalah beberapa novel seperti Ombak Rindu, Adam & Hawa, Setia Hujung Nyawa dan yang terbaharu Suamiku En Sotong dan Manisnya Cinta di Cappadocia diadaptasi ke layar perak dan drama televisyen. “Jadi, kali ini kami cuba memainkan peranan berbeza. Kami berharap jalinan kerjasama ini akan menjadi satu pelaburan lumayan selain hasil filem ini dapat dimanfaatkan masyarakat,” katanya dalam sidang media pra pelancaran filem itu Auditorium Muhammad V, di sini, semalam.

Katanya, pemilihan karya Ramlee Awang Murshid berdasarkan populariti dan keunikan yang ada pada novel berkenaan. “Kami mencari kelainan dalam penerbitan filem. Kita dapati, karya Ramlee lain daripada kisah cinta selain novelnya antara paling laris. Kita yakin, apabila novelnya mendapat tempat di hati pembaca, mudah-mudahan filem juga begitu,” katanya. Sementara itu, Ramlee ketika ditemui berkata, pemilihan novel Tombiruo: Penunggu Rimba merupakan kejayaan terawalnya.


“Ia begitu dekat dengan jiwa saya. Tombiruo bermaksud hantu dalam bahasa Kadazan Dusun. Sejak dahulu lagi saya mahu karya ini difilemkan dan tidak sangka Karangkraf dan Ideate Media menjadikan ia satu realiti. “Saya memang suka buat novel triller, lain daripada kebiasaan. Ia berkisarkan seorang lelaki yang membesar di hutan setelah dibuang keluarga pada waktu kecilnya kerana dianggap membawa sial. Jadi, saya harap filem ini akan dapat diterima terutama pengikut novel saya,” katanya. Filem ini mendapat kerjasama antara syarikat penerbitan milik Ramlee, Layar Sunan dan Kumpulan Media Karangkraf, diarahkan sutradara, Nasir Jani.

Selaku pengarah, Nasir tidak menjanjikan kehebatan dalam filemnya, namun mengakui bersedia untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam mengadaptasi karya tersebut. “InsyaALLAH, filem ini akan menjadi visual terbaik dalam penceritaan yang ada dalam novel itu sendiri. Sebagai pengarah, saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya. Penyanyi Datuk M Nasir, Ito Blues Gang, Mohd Supyan Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyan Habib dan Ketua Pegawai Operasi Indeate Media, Zainir Aminullah turut hadir pada sidang media tersebut.




.

2 Penyokong CHELSEA:

Nour Adieb on December 18, 2014 at 12:23 AM said...

alhamdulillah :D best owhhh novel ni

nurkaloi on December 18, 2014 at 9:16 AM said...

tertanya2 jugak macam mana dye nak adaptasikan cerita tu dlm filem

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!