Friday, December 5, 2014

Ujian vaksin denggi pertama dunia



Ujian vaksin denggi pertama dunia | Kementerian Kesihatan sedang melakukan ujian klinikal terhadap vaksin denggi pertama di dunia, yang dijangka berada di pasaran pertengahan 2015. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap vaksin itu bagi menentukan penggunaannya dalam jangka masa panjang. “Sebelum kita memutuskan sebarang rancangan jangka panjang mengenai penggunaan vaksin ini, kita perlu meneliti kajian asalnya untuk memastikan kita mempunyai data mencukupi mengenainya,” katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian selepas Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Ke-4 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah di sini, hari ini. Seramai 4,697 graduan dari 33 ILKMM menerima diploma lanjutan, diploma dan sijil masing-masing pada konvokesyen itu. Menurutnya, jika Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menggunakan vaksin itu, pihaknya akan melakukan ujian lapangan terlebih dahulu sebelum ujian secara meluas dilakukan di kawasan mencatatkan kes denggi yang tinggi seperti Lembah Klang.

Sehingga ini, katanya, kebanyakan kes denggi yang dilaporkan membabitkan kumpulan umur 25 tahun dan ke atas. Mengenai statistik denggi terkini, beliau berkata, kes itu menurun kepada 2,300 setiap minggu berbanding 3,000 kes pada Ogos dan September lalu. “Kempen perangi denggi yang kita bertujuan mengurangkan kes denggi daripada mencecah 3,000 dan kita telah capai sasaran itu. Saya harap jumlah itu berkurangan kepada 1,500 kes,” katanya. Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kerajaan bercadang menambah tempat latihan perubatan kerana Unit Kecemasan di beberapa hospital kerajaan memerlukan ramai pegawai penolong perubatan. “Kepakaran bagi sesetengah perkhidmatan dalam bidang kesihatan sangat diperlukan khususnya di kawasan luar bandar. Agenda utama kerajaan ialah memberikan perkhidmatan terbaik dan menyediakan sumber manusia yang mencukupi,” katanya. - Bernama



.

1 Penyokong CHELSEA:

Asma Dinie on December 5, 2014 at 3:16 PM said...

Semoga menjumpai penawar penyakit ini..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!