Wanita Britain lakukan aksi lagak ngeri | Dua orang wanita Britain melakukan aksi lagak ngeri dengan berjalan dan mengimbangi badan mereka di atas sayap dua pesawat ringan di sekitar kawasan pantai paling popular di sini, minggu ini. Aksi Britons Danielle Hughes dan Emily Guilding dari pasukan Breitling Wingwalkers dilakukan bersempena penganjuran UIM Skydive Dubai XCAT World Powerboating Series ketika kelajuan angin mencecah 160 kilometer sejam. Antara aksi ngeri yang dilakukan wanita di atas pesawat Boeing Stearman keluaran tahun 1930-an itu adalah membuat rutin gimnastik meskipun berada dalam kedudukan kuasa graviti yang tinggi di udara, lapor Mail Online.
Persembahan itu sekali gus mencuri tumpuan penduduk Dubai yang ketika ini tertumpu kepada perlumbaan bot laju tersebut. Pesawat Boeing Stearman yang dinaik taraf dengan enjin 450 kuasa kuda, berlepas dari landasan Skydive Dubai dan membuat formasi aerobatik serta pemanduan silang.
Pasukan Breitling Wingwalkers yang berasal dari United Kingdom amat dikenali kerana sering membuat pertunjukan di seluruh dunia antaranya di China, Australia, Kuwait dan tanah air mereka. “Kami amat teruja kerana dapat mempersembahkan pertunjukan daripada pasukan Breitling Wingwalkers semasa acara minggu ini yang merupakan pusingan akhir UIM Skydive Dubai XCAT World Series 2014,’’ kata penganjur program itu yang juga Presiden WPPA, Dr Saif Al Ketbi.-AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment