Wednesday, January 15, 2014

Individu Paling Dikagumi di Dunia


Individu Paling Dikagumi di Dunia | Pengasas Microsoft, Bill Gates dinobatkan sebagai Individu Paling Dikagumi di Dunia oleh majalah The Times, menewaskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menduduki tempat kedua dalam satu tinjauan pendapat, kelmarin. Presiden Rusia, Vladimir Putin, pula berada di tempat ketiga, diikuti Pope Francis di tempat keempat; pemain kriket India, Sachin Tendulkar di kedudukan kelima dan Presiden China, Xi Jinping di tempat keenam. Tinjauan pendapat itu dilaksanakan oleh firma penyelidikan, YouGov untuk majalah The Times membabitkan seramai 14,000 individu daripada 13 buah negara termasuk Britain, Perancis, Jerman, Rusia, Amerika Syarikat (AS), Australia, Pakistan, Indonesia, India, China, Mesir dan Brazil.

Hanya enam wanita berada dalam senarai tersebut dengan Ratu Elizabeth II menduduki tangga ke-17, sementara aktres, Angelina Jolie berada di tempat ke-19. Tokoh wanita lain yang paling dikagumi ialah pengacara terkenal, Oprah Winfrey di tempat ke-20, Canselor Jerman, Angela Merkel (26), bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton (27) dan isteri Presiden China, Peng Liyuan (28). Pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi pula berada di tempat ke-15, sementara pemain bola keranjang AS, Michael Jordan (21) dan pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo (22). - AGENSI





.

Gambar Cristiano Ronaldo menangis ketika dinobatkan pemain terbaik dunia 2013



Gambar Cristiano Ronaldo menangis ketika dinobatkan pemain terbaik dunia 2013 | Cristiano Ronaldo tidak mampu mengawal emosinya selepas dipilih semula sebagai pemain terbaik dunia 2013 dalam majlis penganugerahan Ballon d’Or FIFA semalam, sekali gus menamatkan dominasi Lionel Messi yang merangkul anugerah tersebut empat kali berturut-turut sebelum ini. Walaupun gagal memenangi sebarang gelaran utama bersama Real Madrid musim lalu, Ronaldo dianggap layak menerima anugerah itu dengan mengetepikan Messi dan pemain Perancis, Franck Ribery. “Terima kasih kepada semua orang, rakan sepasukan, skuad kebangsaan dan keluarga saya serta semua yang berada di sini. Sukar untuk saya berkata-kata," kata penyerang Portugal dan Real Madrid itu dalam nada sebak selepas menerima trofi tersebut. Ronaldo, 28, mendapat 27.99 peratus undi. Bintang Barcelona dan Argentina, Messi mendapat 24.72 peratus manakala pemain Bayern Munich, Ribery dari Perancis menduduki tempat ketiga dengan 23.39 peratus.

Sementara itu, Presiden Real Madrid, Florentino Perez yang turut menghadiri majlis penganugerahan itu berkata: “Keadilan telah dilaksanakan kerana Ronaldo adalah pemain terbaik di dunia. Ini merupakan satu kebanggaan buat kami kerana dia sebahagian pasukan kami." Perez menggemparkan dunia pada 2009 apabila membeli Ronaldo dari Manchester United dengan harga 96 juta euro (RM428.7 juta) yang merupakan rekod dunia ketika itu. Bintang Portugal itu kali pertama memenangi Ballon d’Or pada 2008 selepas membantu United menjuarai Liga Juara-juara. Selepas itu, dia berada di belakang Messi selama empat tahun berturut-turut, meskipun menjaringkan banyak gol untuk Real.


Sementara itu, sekembalinya ke Madrid, Ronaldo meraikan kejayaannya itu bersama rakan-rakan sepasukan. Jurulatih Real, Carlo Ancelotti menganggap kejayaan Ronaldo “publisiti yang hebat untuk bola sepak," tetapi kemudian meminta pemainnya itu meningkatkan lagi prestasinya. Ancelotti berkata: “bagi saya, memenangi Ballon d’Or bermakna tanggungjawab yang lebih besar. Bukan mudah untuk meminta lebih lagi daripada dia, dengan jumlah (gol) yang telah dijaringkannya, tetapi saya akan minta." - AGENSI




.

Gambar rumah terbalik di Moscow


Gambar rumah terbalik di Moscow | Sebuah rumah terbalik menjadi tarikan utama pada satu pameran di Moscow semalam. Para pengunjung dibenarkan buat kali pertama memasuki rumah yang terbalik.


Menurut penganjur, para pengunjung boleh merasai perspektif baru apabila keseluruhan hiasan dan perabut seperti katil, meja makan, pasu bunga dan peti ais berada dalam keadaan terbalik.


Pengunjung akan merasai pengalaman seolah-olah berjalan di atas siling dan terpaksa melihat ke bawah untuk melihat perabut di dalam rumah berkenaan. - Agensi




.

Gadis cantik bunuh diri kerana ingin disayangi



Gadis cantik bunuh diri kerana ingin disayangi | Seorang penari ballet remaja yang terlalu ketagih kepada Internet mengelar tangannya sendiri dan memuat naik gambar berkenaan sebelum membunuh diri dengan melompat di depan kereta api. Tallulah Wilson, 15, turut mencipta watak fantasi di Internet sebagai seorang penagih kokain. Tujuannya - kerana dia terlalu ingin diterima orang lain dan disayangi. Pelajar Royal Ballet School itu juga kerap melawat laman sesawang yang menggalakkan pembunuhan diri dan menyakiti diri sendiri.

Perkara itu didedahkan ibunya, Sarah ketika inkues mengenai kematiannya semalam. Menurutnya, Tallulah banyak menghabiskan masa di Internet kerana murung akibat dibuli, kematian neneknya dan melihat perceraian ibu bapanya. “Dia tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit atau komputer riba, namun sering menggunakan komputer saya untuk melayari Internet,” katanya. Tallulah membunuh diri pada satu petang pada 12 Oktober 2012 di stesen St Pancras. - Agensi




.

Pakar sakit puan jual tujuh bayi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati



Pakar sakit puan jual tujuh bayi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati | Sebuah mahkamah di wilayah Shaanxi, barat laut China, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pakar sakit puan kerana kesalahan menjual tujuh orang bayi. Zhang Shuxia, yang berkhidmat di sebuah hospital bersalin di Fuping, dikatakan memujuk ibu bapa untuk menyerahkan enam bayi yang baharu lahir dengan menyatakan anak mereka mempunyai masalah kesihatan.

 Shuxia dilapor menjual seorang bayi lelaki dengan harga 21,600 yuan (RM 1,925) pada Julai lalu, sebelum penjual berkenaan menjual semula bayi itu pada harga 59,800 yuan (RM31,800). Bayi ketujuh bagaimanapun, meninggal dunia selepas ditinggalkan ibu bapanya dan dijual oleh Shuxia dengan harga 1,000 yuan (RM534) pada April tahun lalu. - DPA




.

Tahniah, Pelakon Didie Alias hamil 3 bulan


Tahniah, Pelakon Didie Alias hamil 3 bulan | Pelakon dan pelawak terkenal, Didie Alias dikhabarkan sedang hamil tiga bulan hasil perkongsian hidup dengan suami keduanya, Norisham Ismail. Didie, pelakon yang berusia 40 tahun itu mengesahkan berita gembira tersebut. Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali berkata, dia dan suami, Norisham Ismail, berasa begitu gembira apabila mendapat tahu tentang kandungannya itu. "Alhamdulillah, usia kandungan saya sekarang sudah mencecah usia tiga bulan. Orang yang paling gembira adalah suami saya. "Selain itu, keluarga mertua turut berkongsi kegembiraan kerana ini merupakan kandungan sulung saya bersama Norisham," kata Didie yang sudah lima tahun berkahwin dengan Norisham.

Mengulas lanjut, Didie menambah, dia dan suami enggan menaruh sebarang harapan berkenaan jantina bayi yang sedang dikandungnya dan menyerahkan segala-galanya ke pada rezeki yang diberikan Tuhan. "Pada mulanya, saya begitu inginkan anak lelaki, tetapi, apa yang dikurniakan oleh Allah kelak, kami terima dengan hati yang terbuka," katanya lagi. Semoga Didie dan kandungan sihat selalu dan selamat melahirkan bayinya nanti.





.

Maulidur Rasul dicemari.. Janin dijumpai dalam loji kumbahan


Maulidur Rasul dicemari.. Janin dijumpai dalam loji kumbahan | Seorang pekerja teknikal loji kumbahan terkejut menemui janin ketika membuat pemeriksaan dalam loji berkenaan di Jalan Metro 1, Kepong di sini pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, pekerja berkenaan ternampak satu objek melekat pada dinding batu tangki kumbahan sebelum mengangkat objek itu kepada skrin mekanikal untuk melihat dengan lebih jelas.

Difahamkan, setelah pemeriksaan ke atas objek tersebut, pekerja berkenaan mendapati ia adalah janin cukup sifat yang tidak dikenal pasti jantina dipercayai dibuang ke dalam kumbahan itu. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut. - Utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!