Thursday, February 27, 2014

Darurat bencana diisytihar keatas 7 daerah bermula semalam



Darurat bencana diisytihar keatas 7 daerah bermula semalam | Riau mengisytiharkan darurat bencana di seluruh wilayah negeri itu, bermula semalam. Gabenor Riau, Annas Maamun berkata, pihaknya meminta bantuan daripada Jakarta untuk menangani kebakaran hutan terutama ladang kelapa sawit hingga menyebabkan rekod pencemaran udara dilaporkan pada tahap tertinggi bagi awal tahun ini. “Dari tujuh daripada 12 daerah meminta bantuan kecemasan selepas hampir 22,301 penduduk mengalami masalah pernafasan,” katanya dalam laporan Antara News.

Menurutnya, tujuh daerah yang terlibat adalah Bengkalis, Rokan Hilir, Indragiri Hulu, Indragiri Hilir, Siak, Pelalawan, Meranti dan Dumai. “Kami sedang minta bantuan kerajaan pusat untuk membantu mengawal kebakaran melalui semburan air udara,” katanya. Menurutnya, penggunaan helikopter sebelum ini gagal memadamkan kebakaran dan pihaknya meminta kerajaan pusat untuk menyediakan pesawat lebih besar. -AP



.

Penyanyi Hafiz Suip dedah kekasih hati



Penyanyi Hafiz Suip dedah kekasih hati | Penyanyi Hafiz Suip membuat pengakuan sedang berkawan rapat dengan seorang wanita yang dikenalinya sejak empat tahun lalu namun masih belum bersedia mendedahkan identiti individu berkenaan. Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, dia terpaksa merahsiakan individu itu kerana menghormati privasi wanita tersebut selain mengambil kira statusnya yang masih seorang penuntut di sebuah universiti tempatan. "Apa yang boleh saya katakan kami sedang berkawan malah telah mengenali sejak empat tahun lalu tetapi demi menghormatinya dan keluarga saya tidak dapat mendedahkan identiti dia buat masa ini," katanya. Hafiz ditemui pada majlis doa kesyukuran bersempena kejayaannya sepanjang 2013 yang diadakan di Hotel Hilton di sini pada malam Rabu.

Penyanyi lagu Ku Akui itu mengulas gosip yang mengatakan dia dan wanita berkenaan hadir sewaktu pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2013 baru-baru ini. Dalam perkembangan sama, Hafiz berkata, buat masa ini masih terlalu awal untuk dia bercakap mengenai perkembangan hubungan mereka kerana ia masih di peringkat awal.Malah kata Hafiz, dia tidak mahu mengganggu tumpuan temannya itu terhadap pengajian selain ingin memberikan tumpuan kepada kariernya pada tahun ini. "Kami rapat tapi belum serius sebagai pasangan dan rasanya kisah ini tidak perlu diperbesar-besarkan dan Insya-Allah kalau ada jodoh mungkin saya sedia berumah tangga sebelum mencapai usia 30 tahun. Sementara itu, Hafiz berkata, bersempena dengan sambutan hari lahirnya pada 27 Februari, dia berazam untuk mengembangkan karier nyanyiannya seperti mana dilakukan oleh Datuk Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah di luar negara.

Malah kata Hafiz, dia juga berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar pada tahun ini khas buat para peminatnya. "Masih banyak perkara yang saya mahu lakukan dalam mengembangkan lagi karier saya dan harap-harap semua impian itu terlaksana pada tahun ini," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, dia akan diraikan dalam satu acara santai bersama 50 peminatnya pada 2 Mac ini bersempena sambutan hari lahirnya itu. Acara itu bakal diadakan di Bukit Cerakah, Shah Alam dan ibu bapanya iaitu Mohd Suip dan Halizawati Salleh akan turut memeriahkan majlis. "Majlis itu diadakan secara santai sahaja sambil kami menikmati keindahan alam semula jadi di Bukit Cerakah," katanya. -Mstar




.

Guru cipta robot tunjuk cara bersolat di Iran


 Guru cipta robot tunjuk cara bersolat di Iran | Seorang guru mengajar al-Quran di sebuah sekolah rendah di bandar Varamin di Iran, 35 kilometer dari sini mencipta sebuah robot kecil yang menunjukkan cara untuk bersolat kepada kanak-kanak. Guru berkenaan Akbar Rezaie, 27, mendapat idea untuk mencipta robot berkenaan selepas melihat kanak-kanak terlalu asyik bermain dengan patung import yang boleh menyanyi dan menari.


 "Justeru, saya mendapat idea untuk mencipta sebuah robot yang boleh mengajar kanak-kanak tentang agama dan pada masa yang sama menghiburkan mereka," katanya. Menurutnya, dia mencipta robot berkenaan di rumahnya dan memberikan nama Veldan kepada robotnya yang bermaksud kanak-kanak syurga. - AP




.

Gambar baju ‘lucah’ sempena Piala Dunia yang ditarik balik dari pasaran


Gambar baju ‘lucah’ sempena Piala Dunia yang ditarik balik dari pasaran | Brazil memaksa penarikan semula penjualan baju sempena Piala Dunia yang dikatakan mempunyai corak tidak senonoh yang boleh merosakkan imej negara itu. Berikutan aduan badan pelancongan negara itu, penaja rasmi kejohanan, Adidas menarik semula pengeluaran baju berkenaan yang sudah berada di pasaran Amerika Syarikat. Satu daripada reka bentuk baju berkenaan menampilkan corak hati dengan tulisan ‘I love Brazil’, tetapi bentuknya menyerupai bahagian belakang wanita. Satu lagi corak mempunyai gambar poskad dengan pemandangan Gunung Sugarloaf di Rio de Janeiro dan seorang wanita berbikini memegang bola dengan tulisan bertindih ‘Lookin’ to score’. Badan pelancongan negara itu berkata, “Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengiklanan pada produk yang mengaitkan imej Brazil dengan seks.”

Mereka juga menggesa Adidas menghentikan pengeluaran baju berkenaan. Menteri Wanita Brazil, Eleonora Menicucci berkata “Tindakan jenama besar dalam dunia sukan seperti Adidas mengeluarkan kemeja-T dengan imej dan frasa yang mengaitkan Brazil dengan pelancongan seks sangat tidak boleh diterima.” Adidas dalam kenyataan balas memberitahu mereka sudah menghentikan pengeluaran produk itu. “Penting untuk umum mengetahui produk ini adalah edisi khas yang hanya terdapat di Amerika Syarikat,” katanya. - AFP




.

David Moyes bakal meninggalkan Manchester United?



David Moyes bakal meninggalkan Manchester United? | Khabar angin kini bertiup kencang di Bursa Saham New York (NYSE) yang menjangkakan David Moyes (gambar) bakal meninggalkan Manchester United atas persetujuan bersama. Para peniaga di NYSE mendakwa, Moyes bersedia meninggalkan Old Trafford hanya sembilan bulan selepas mengambil alih tugas pengurus daripada Alex Ferguson, namun kedudukannya akan selamat buat sementara waktu. Lebih separuh daripada mereka menjangkakan, pengendali kelahiran Scotland itu akan pergi sebelum hujung musim ini. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Robin van Persie dengan lantang mengkritik taktikal yang digunakan oleh pasukannya ketika United tewas 2-0 kepada kelab Greece, Olympiakos dalam perlawanan pertama, peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah semalam.

Bintang penyerang Belanda itu mendakwa, taktik yang digunakan oleh United dalam perlawanan tersebut menyebabkan dia sukar memberikan aksi terbaik kerana terdapat beberapa rakan sepasukan yang menyekat ruang buatnya untuk beroperasi seperti biasa. Malah Van Persie yang amat kecewa dengan kekalahan tersebut turut menganggap, taktik yang digunakan oleh Moyes telah membuka ruang kepada pasukan lawan untuk meraih kemenangan. "Rakan sepasukan saya turut berada dalam kawasan yang sama iaitu di tempat saya bermain, sekali gus menyukarkan pergerakan saya. Keadaan tersebut menyebabkan saya terpaksa menukar gaya permainan saya untuk disesuaikan dengan rakan sepasukan. "Bermain dengan gaya permainan yang anda tidak biasa membuatkan anda seolah-olah berada di luar zon kebiasaan dan itu sangat menyukarkan buat saya, malah saya juga sukar untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu," ujar Van Persie, yang meluahkan perasaannya kepada stesen televisyen Belanda, NOS sejurus tamat perlawanan.


Pada perlawanan itu, Van Persie hanya dapat melakukan percubaan bagi mendapatkan gol pada separuh masa kedua, terutama ketika 20 minit akhir permainan. Percubaan tepat Van Persie yang hampir menghadiahkan gol buat United hadir pada minit ke-89 melalui rembatan kaki kiri yang berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Roberto Gago. Sementara itu, pemain tengah United, Michael Carrick tidak mahu menyalahkan sesiapa atas kekalahan pasukannya. "Anda tidak boleh menyalahkan Robin (Van Persie) kerana dia juga telah mencipta percubaan selain hampir untuk mendapatkan jaringan," ujar Carrick. - AGENSI

4 Gambar kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur. 4 pelajar UTAR maut



Gambar kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur. 4 pelajar UTAR maut | Empat pelajar maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur kira-kira 500 meter dari Gua Tempurung dekat sini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian jam 5 pagi itu kereta model PERODUA Viva dipercayai dari Ipoh menghala ke Kampar hilang kawalan sebelum merempuh lori membawa muatan tar.


Difahamkan kesemua mangsa ialah penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). -BH





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!