Monday, March 10, 2014

Suami bunuh Isteri kerana digelar mandul


Suami bunuh Isteri kerana digelar mandul | Seorang lelaki dihukum penjara 15 tahun selepas mahkamah mendapati dia bersalah membunuh isterinya, lapor media semalam. Dalam keterangannya, lelaki terbabit berkata, dia terlalu berang dan terlanjur membunuh wanita terbabit kerana sering dituduh mandul. “Tuduhan itu keterlaluan,” katanya. Bagaimanapun, media tidak menjelaskan bagaimana lelaki terbabit membunuh isterinya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pengantin lelaki secara tidak sengaja membunuh bapanya ketika mereka meraikan detik gembira bersama. Media melaporkan, pengantin lelaki melepaskan tembakan ke udara selepas disahkan menjadi suami. Dia juga memanggil bapanya untuk menari bersama sambil tembakan dilepaskan. Saksi berkata, mangsa tiba-tiba jatuh berlumuran darah. Amalan melepaskan tembakan ke udara dalam upacara keraian adalah budaya di kebanyakan negara Arab. - Agensi





.

Benarkah penyanyi berusia 31 tahun ini adalah anak kandung Micheal Jackson?



Benarkah penyanyi berusia 31 tahun ini adalah anak kandung Micheal Jackson? | DUNIA Hollywood dikejutkan dengan pengakuan seorang penyanyi berusia 31 tahun, Brandon Howard yang mendakwa dirinya sebagai anak rahsia Raja Pop, Micheal Jackson. Bagi Mendapatkan kesahihan mengenai perkara tersebut, Howard menjalani ujian DNA menggunakan sampel gigi mendiang dan hasilnya terbukti 99,9 peratus sahih. Menurut Howard, dia mendapatkan bukti bukan untuk mengejar populariti semata-mata sebaliknya mahu mencari kebenaran mengenai asal-usulnya. "Demi kebenaran, saya bersumpah bahawa ujian DNA tiada kaitan dengan harta atau glamor. "Tetapi ingin mengetahui siapa ibu bapa kandung atas keinginan diri sendiri. Tiada paksaan mana-mana pihak," tegasnya. -AP




.

MH370 misteri yang tidak pernah berlaku - DCA



MH370 misteri yang tidak pernah berlaku - DCA | Pihak berkuasa mengibaratkan kehilangan pesawat MH370 sebagai misteri yang tidak pernah berlaku. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur pengganas. "Siasatan pelbagai sudut dijalankan," katanya. - Utusan


Belum buktikan pesawat dirampas 

Teori pesawat MAS dirampas ketika dalam perjalanan ke Beijing masih belum dapat dibuktikan dan siasatan pihak berkuasa melihat semua aspek termasuk perkara ini, kata Ketua Koordinator Operasi Mencari dan Menyelamat MH370, Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Menurut beliau, pihak berkuasa memerlukan bukti kukuh berhubung perkara itu dan tumpuan utama adalah untuk mengesan semula pesawat. Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata, pihak berkuasa turut menjalankan siasatan terperinci berhubung dua penumpang yang menaiki pesawat penerbangan MH370 menggunakan pasport curi warga Itali dan Austria.

Azharuddin berkata, kes itu dikendalikan pasukan penyiasat khas terdiri pakar bidang berkenaan yang turut menganalisis rakaman video penumpang dikenal pasti. “Selepas mendapat butiran laporan itu, kami akan maklumkan kepada pihak media,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Mengulas lima penumpang yang tidak menaiki pesawat itu, katakanya, MAS menggunakan sistem Annexe 17 di mana beg penumpang akan mereka dikeluarkan dari pesawat. “Beg itu juga sudah diperiksa dan pihak kami mendapati ia tidak membawa sebarang barang terlarang,” katanya. -HM




.

Kisah suami yang kehilangan isteri dalam tragedi tsunami, dan masih setia menanti kepulangan si isteri hingga kini



Kisah suami yang kehilangan isteri dalam tragedi tsunami, dan masih setia menanti kepulangan si isteri hingga kini | Seorang lelaki, Yasuo Takamatsu tidak berputus asa menyelam untuk mencari isterinya yang hilang selepas ombak besar tsunami melanda Jepun tiga tahun lalu. "Isteri saya lemah-lembut dan baik," kata Takamatsu. "Dia sentiasa berada di sisi saya baik secara fizikal atau mental. Saya masih merinduinya," tambah lelaki berusia 57 tahun itu. Bekerja sebagai seorang pemandu bas, Takamatsu tiada pengalaman menyelam sebelum ini tetapi dia mempelajarinya demi mencari mayat isteri yang dikasihi, Yuko. Lelaki tersebut masih tidak dapat melupakan saat Yuko kali terakhir menghubunginya sebelum hilang dibawa tsunami setinggi 20 meter. Dalam mesej pesanan ringkas (SMS) yang dihantar pada pukul 3.21 petang (waktu tempatan) itu Yuko memberitahu: "Saya mahu pulang."

Mesej tersebut dihantar setengah jam selepas gempa bumi kuat bawah laut melanda Jepun pada 11 Mac, 2011 yang diikuti dengan tsunami yang bergerak ke pantai Jepun. "Itulah pesanan terakhir daripada isteri saya," kata Yuko. "Saya sedih mengenangkan dia masih di luar sana (laut). Saya mahu membawanya pulang secepat mungkin," tambahnya. Secara rasmi, lebih 15,800 orang terbunuh dalam bencana tersebut dengan sekitar 2,636 mangsa disenaraikan sebagai masih hilang. Dalam usaha mencari isterinya, Takamatsu dibantu oleh seorang juruselam berpengalaman, Masayoshi Takahashi. yang mengajarnya cara untuk menyelam. Menurut Takahashi, dia gembira dapat membantu pelajarnya itu dan akan mengajar Takamatsu untuk menyelam dengan selamat.

"Menyelam untuk mencari sesuatu tidak sama dengan selaman santai kerana anda berisiko untuk terperangkap dalam serpihan hanyut dan bangkai kapal," katanya. "Saya mahu dia boleh bertenang dan memeriksa dengan teliti di dalam laut. Dia tahu apa yang dicari," tambah juruselam tersebut. Takamatsu juga sedar bahawa peluang untuk menemui Yuko adalah tipis. Selepas tiga tahun isterinya hilang, arus laut telah menghanyutkan apa sahaja ke serata Lautan Pasifik dengan banyak serpihan dan mayat tenggelam di dasar laut. "Namun, saya tidak boleh berputus asa. Saya mesti terus mencari isteri saya" kata Takamatsu. - AFP





.

Ini sebab pesawat penerbangan Jepun mendarat cemas di Lapangan Terbang Honolulu



Ini sebab pesawat penerbangan Jepun mendarat cemas di Lapangan Terbang Honolulu | Sebuah pesawat Boeing 787 milik Syarikat Penerbangan Jepun, melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Honolulu selepas tekanan minyak enjin sebelah kanan pesawat menurun, menurut kenyataan syarikat itu. Pesawat dua enjin itu dalam perjalanan ke San Francisco dari Tokyo terpaksa menuju ke Honolulu dan mendarat pada jam 1.43 tengah hari waktu tempatan kelmarin dengan 160 penumpang dalam penerbangan, menurut jurucakap berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan. Pesawat alami masalah bateri “Kami sedang menyiasat punca penurunan tekanan minyak ini,” katanya.

Pesawat itu masih berada di Hawaii, tambah beliau. Pesawat berkenaan sebelum ini mengalami masalah bateri cair dan mengeluarkan asap di Lapangan Terbang Logan, Boston pada Januari tahun lalu. Siasatan di Jepun juga menumpukan bateri yang terlebih panas dalam pesawat JAL di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada Januari lalu. Pihak berkuasa masih tidak menemui punca bateri cair ini. Mereka membenarkan Boeing 787 kembali beroperasi selepas bateri dibaiki semula. - REUTERS




.

Datuk Lee Chong Wei menang All England 2014 buat kali ke 3



Datuk Lee Chong Wei menang All England 2014 buat kali ke 3 | JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei muncul juara Kejohanan Badminton Seluruh England 2014 selepas menewaskan Chen Long dari China pada perlawanan final di National Indoor Arena, Birmingham, England, awal pagi tadi. Corak permainan Chong Wei yang agresif pada set pertama membawa hasil apabila menang 21-13. Namun, Chen Long memberi saingan yang lebih hebat pada set kedua sebelum tewas 18-21 dalam masa 59 minit. Kemenangan ini merupakan yang ketiga bagi Chong Wei.Beliau juga memenangi Seluruh England pada 2010 dan 2011.

Sebelum itu, beregu lelaki dimenangi pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang menewaskan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun 21-19, 21-19. Perseorangan wanita pula dimenangi Wang Shixian dari China yang menewaskan rakan senegara Li Xuerui manakala beregu wanita dimenangi pasangan China menerusi gandingan Wang Xiaoli-Yu Yang.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!