Tuesday, March 18, 2014

Chelsea : Didier Droga Kembali Ke Stamford Bridge


 Chelsea : Didier Droga Kembali Ke Stamford Bridge  | PENYERANG Galatasaray Didier Drogba akan kembali ke Stamford Bridge dengan penuh beremosi, namun dia tetap fokus untuk menumpaskan bekas kelabnya itu dalam pusingan kedua 16 pasukan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu. Penyerang antarabangsa Ivory Coast ini mungkin dikenali sebagai pemain legenda Chelsea namun kini keadaan sudah berubah dan dia mungkin antara salah seorang pemain berbahaya kepada skuad Jose Mourinho. Selepas terikat seri 1-1 pada aksi pertama di Turki bulan lalu, Drogba yakin aksi penting ini akan memihak kepada pasukannya. "Sangat sukar berdepan dengan Chelsea, tetapi tidak sukar bagi saya untuk berada dalam situasi persaingan. "Saya adalah milik Galatasaray dan saya perlu profesional.

"Sudah tentu ia bakal menjadi saat beremosi kepada saya, seperti aksi pertama sebelum ini apabila saya melihat bekas rakan sepasukan dan penyokong-penyokong Chelsea di stadium. "Saya pernah menjadi istimewa di sana, tetapi ini adalah dunia persaingan dan ia sangat sukar, sangat hebat dan saya fikir ia akan menjadi situasi yang sama pada aksi esok (Rabu)," jelas Drogba. Drogba juga berkata, dia tidak akan melakukan sebarang aksi sekiranya menjaringkan gol pada perlawanan ini. "Dengan rasa hormat kepada kelab ini, pemain-pemain dan penyokong, saya tidak akan meraikan jaringan itu tetapi saya akan gembira jika kami menang," tambahnya. Drogba menamatkan kariernya bersama Chelsea di tahap tertinggi dengan membantu menyempurnakan sepakan penalti ketika final Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich dua tahun lalu.

"Saya meninggalkan Chelsea dalam keadaan yang terbaik, dan jika boleh saya ingin melakukan perkara yang sama sekali lagi. "Namun saya percaya dengan takdir dan jika ingin kembali ke skuad ini, ia sudah lama berlaku. "Dan sebaliknya berlaku sekarang dan saya tidak ada sebarang masalah kerana gembira berada di Galatasaray. "Saya hanya mahu fokus kepada perlawanan. Ia sangat penting dan saya mahu menjadi salah seorang daripada mereka. "Kami benar-benar mahu menang, tetapi jika keputusan hanya seri, kami sudah layak. "Saya tidak ada apa-apa yang hendak dibuktikan kepada kelab kerana saya sudah melakukan yang terbaik," jelasnya. Dalam pada sama, bekas pengurus manchester City, Roberto Mancini turut kembali ke England bersama skuad Galatasaray. -AP




.

Ini kisah pembuat bulu mata palsu di Jawa Tengah, Indonesia



Ini kisah pembuat bulu mata palsu di Jawa Tengah, Indonesia | HAB industri pembuatan bulu mata palsu antarabangsa terletak di Purbalingga, Jawa Tengah, Indonesia namun upah diterima tidak setimpal dengan tenaga dicurahkan. Proses membuat bulu mata palsu daripada rambut asli dan palsu ini juga rumit kerana kilang di bandar ini tidak menggunakan alat berteknologi tinggi. Bagaimanapun, setiap helaian rambut asli perlu direbus dan diwarnakan terlebih dahulu. Ia kemudiannya dipotong kira-kira 20 hingga 25 sentimeter sebelum dikait pada benang plastik nipis.

Selepas itu, bulu mata palsu akan 'diseterika' dan digulungkan mengikut lentikkan bulu mata dikehendaki sebelum ditempatkan dalam bekas pemanas untuk proses terakhir. Kira-kira 100,000 pekerja syarikat PT Royal Korindah mendakwa, mereka tidak mendapat gaji setimpal walaupun industri itu menghasilkan produk untuk jenama terkenal bagi pasaran antarabangsa. Mereka hanya diberikan upah 180 rupiah (60 sen) bagi setiap pasang bulu mata palsu atau 896,500 rupiah (RM260) sebulan iaitu kurang daripada separuh kadar gaji minimum yang ditetapkan di Jakarta. - The Guardian





.

'Kegiatan' seorang pengasuh yang mengendalikan sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak terbongkar



'Kegiatan' seorang pengasuh yang mengendalikan sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak terbongkar | KEMATIAN seorang bayi perempuan berumur tiga bulan membongkar 'kegiatan' seorang pengasuh yang mengendalikan sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak di South Carolina. Pamela Clark Wood, 49, diberkas pihak berkuasa, selepas satu serbuan dilakukan di rumahnya. Menurut pejabat Timbalan Polis Greenville, mereka menemui anak perempuan suspek bersama 14 kanak-kanak lain disembunyikan di dalam sebuah bilik tingkat bawah kediamannya yang dipenuhi minuman beralkohol. "Kami turut menemui beberapa lagi budak tanpa pengawasan orang dewasa termasuk di bilik tidur utama, di mana sepucuk senapang ditemui pada sebuah rak buku.

"Tujuan asal kami menyiasat kematian bayi tersebut membawa kepada penemuan lebih mengejutkan," kata jurucakap pihak berkuasa. Difahamkan, seramai 23 kanak-kanak ditemui di rumah tersebut walaupun jabatan perkhidmatan sosial hanya membenarkan enam budak ditempatkan di pusat jagaan harian pada satu-satu masa. Susulan daripada itu, Wood didakwa atas kesalahan mengabaikan kanakkanak dan melanggar syarat perlesenan pusat jagaan harian. Siasatan untuk mengetahui punca kematian bayi tersebut masih dijalankan. "Keadaan tempat atau posisi tidurnya ketika itu mungkin antara sebab mangsa mati mengejut," kata koroner, Parks Evans.

Sementara itu, Gary Blackburn yang pernah meletakkan anak lelakinya di bawah jagaan Wood selama empat tahun setengah mendakwa beliau mula mengesyaki sesuatu apabila anaknya berkelakuan pelik secara tiba-tiba. "Bagaimanapun, dia kembali normal selepas kami tidak lagi menghantarnya ke pusat jagaan tersebut sejak Januari lalu," jelasnya. Saluran berita WSPA melaporkan kes melibatkan wanita itu bukan pertama kali dilakukan olehnya kerana dia pernah melanggar peraturan sama kira-kira enam tahun lalu. - DailyMail




.

Mulai 2014, PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) akan menggantikan PMR. Apa itu PT3?



Mulai 2014, PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) akan menggantikan PMR. Apa itu PT3? | Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini. Menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 1 April ini, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah, katanya. "(Akan) Ada bentuk penilaian di peringkat sekolah. PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.

"Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," jelas beliau. Muhyidddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang media khas yang turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini hari ini. Beliau berkata pihak sekolah akan memaklumkan keputusan penilaian prestasi seseorang murid pada akhir tahun hasil pentaksiran yang dibuat dan murid itu boleh mohon slip keputusan untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh. Muhyiddin berkata PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. "Mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.

"Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes," katanya. Beliau berkata melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang ketara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan, jelas beliau. - Bernama




.

Cara mudah nak lulus peperiksaan di Universiti?



Cara mudah nak lulus peperiksaan di Universiti?  | Pihak berkuasa Mesir menahan seorang profesor dan pembantunya kerana didakwa tidur dengan 85 pelajar wanitanya sebagai balasan membantu mereka dalam peperiksaan. Polis menahan mereka selepas kamera pengawasan berjaya merakam dia bersama pelajarnya yang sudah berkahwin di apartmennya di Kaherah. Akbar tempatan semalam melaporkan, polis berjaya memasang CCTV di kediamannya bagi mengesahkan laporan yang dibuat beberapa pelajar mengenai ugutan yang dilakukan profesor itu ke atas pelajar perempuan Universiti Ain Shams. Menurut polis, profesor berkenaan menafikan dakwaan itu tetapi kebanyakan mangsa mengaku diberikan jawapan untuk peperiksaan sebagai balasan mengadakan hubungan seks dengannya. - Agensi




.

MH370 : Pendedahan terbaru cetus spekulasi


MH370 : Pendedahan terbaru cetus spekulasi | Pendedahan terbaharu dakwaan pesawat Malaysia Airlines MH370 dirampas, membuatkan ahli keluarga kepada penumpang pesawat tersebut tertanya-tanya sama ada orang yang disayangi mereka mungkin berdepan saat-saat menakutkan sepanjang hampir lapan jam dalam jet penumpang berkenaan. Walaupun pendedahan tersebut mencetuskan spekulasi melibatkan kegiatan keganasan atau juruterbangnya mungkin membunuh diri, sebahagian ahli keluarga mengakui, mereka sedikit lega kerana pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu mungkin selamat mendarat. Bagi ahli keluarga Bob dan Cathy Lawton, pasangan dari Australia yang hilang bersama-sama pesawat itu, mereka tertanya-tanya tentang apa yang dilalui pasangan suami isteri itu.

"Jika mereka masih hidup, apakah yang telah mreka lalui?," ujar abang kepada Bob, David, kepada akhbar News Limited. Sehingga kini, apa yang berlaku kepada pesawat itu serta penumpangnya masih menjadi misteri. Bagaimanapun satu laporan men­dakwa, perubahan mendadak ketinggian pesawat itu terbang, menimbulkan kebimbangan bahawa penumpangnya dapat merasakan bahawa mereka dalam keadaan bahaya. New York Times melaporkan, pesawat itu terbang setinggi 13,716 meter, melebihi had ketinggian pesawat sebelum turun mendadak ke ketinggian 7,010 meter. - AFP



.

MH370 : Inilah 5 landasan dalam simulator Kapten Zaharie yang sedang dalam siasatan



MH370 : Inilah 5 landasan dalam simulator Kapten Zaharie yang sedang dalam siasatan | Pasukan penyiasat menemui perisian lima landasan sekitar Lautan Hindi dalam program simulator Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya, di Shah Alam pada Sabtu lalu. Menurut sumber, walaupun terlalu awal untuk membuat rumusan, penyiasatan mengambil kira penemuan itu sebagai satu daripada elemen siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dipandu oleh Zaharie. “Antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, sebuah lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter.” -BH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!