Tuesday, April 22, 2014

Apa dah jadi? Anak tikam ibu sendiri lebih 40 kali hingga mati


Apa dah jadi? Anak tikam ibu sendiri lebih 40 kali hingga mati | GARA-gara tertekan dengan penderaan mental dan fizikal, seorang anak menikam ibunya, Tolu Kalejaiye, lebih 40 kali di Wickford, Britain. Selepas melakukan pembunuhan, Emmanuel Kalejaiye, 21, dikatakan menyamar sebagai ibunya untuk memperdaya jiran supaya mereka beranggapan ibunya itu masih hidup. Ketika pendengaran kes, pendakwa mendakwa, suspek merancang melakukan pembunuhan dan menghapuskan bukti dengan sempurna. Sebanyak 12 juri bagaimanapun mendapati pelajar jurusan biokimia di Universiti Essex ini tidak bersalah melakukan pembunuhan tetapi bersalah menyebabkan kematian kerana masalah mental. Ketika serangan itu, ibunya yang juga seorang akauntan berusia 44 tahun sempat meninggalkan pesanan telefon kepada kekasihnya, Leo Shogunle untuk meminta tolong.

Malangnya, pesanan suara mengandungi jeritan mangsa itu hanya diketahui beberapa jam selepas kejadian. Shogunle kemudian bergegas ke rumah mangsa dan mendapati mangsa berlumuran darah di lantai dapur. Suspek memberitahu, ibunya diserang sekumpulan lelaki sebelum dia bertindak melarikan diri. Dalam rakaman kamera litar tertutup di sekitar pejabat pos pada pukul 10.30 pagi, suspek dilihat membeli setin minuman sebelum pergi menyerah diri di balai polis berhampiran. “Saya mengaku membunuh ibu dengan menikamnya kerana saya didera sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika di soal siasat menurut laporan Mail Online.




.

Setia sampai hujung nyawa!! Kisah sedih pasangan suami isteri yang tetap saling menyayangi walau selepas 70 tahun kahwin



Setia sampai hujung nyawa!! Kisah sedih pasangan suami isteri yang tetap saling menyayangi walau selepas 70 tahun kahwin | Mereka masih berpegangan tangan ketika menikmati sarapan walaupun selepas 70 tahun dikahwinkan. Apabila Helen Felumlee menghembus nafas terakhir pada usia 92 tahun, suaminya mengikuti jejak wanita terbabit kurang dari sehari kemudian. Anak pasangan itu, Linda Cody berkata, mereka memang dapat merasakan kematian Helen bakal dituruti bapanya tidak lama selepas itu. “Malah, kami memang mahu mereka kekal bercinta sehingga ke nafas yang terakhir.“Nampaknya memang itulah yang berlaku,” katanya. Pasangan Kenneth Cody dan Helen Felumlee disatukan sebagai suami isteri ketika mereka masih berusia belasan tahun. Sejak itu, mereka tidak berpisah langsung.

Helen meninggal dunia di hospital selepas mengalami masalah kesihatan berlarutan sebelum ‘diikuti’ Cody kira-kira 15 jam kemudian. Media semalam melaporkan, walaupun keadaan kesihatan semakin tidak mengizinkan, pasangan itu tetap bahagia bersama. Ketika Cody mengalami masalah jantung dan kehilangan sebelah kakinya akibat masalah kitaran darah, Helen tetap setia menemaninya di hospital. Lama-kelamaan Helen juga jatuh sakit dan ditempatkan berhampiran katil Cody di hospital. Linda berkata, Cody tidak sanggup melihat penderitaan dialami isterinya dan selalu memegang tangan wanita dicintainya itu. Katanya, ketika dikahwinkan di Kentucky Cody berusia 18 tahun dan Helen 19 tahun.


“Namun, kenyataan itu dirahsiakan kerana mereka takut untuk memberitahu ibu bapa masing-masing,” katanya. Hasil daripada perkongsian hidup, mereka mempunyai lapan orang anak - lima lelaki tiga perempuan - dan Cody terpaksa bekerja keras bagi menyara keluarga. Dia melakukan tiga tugas dalam satu masa, iaitu pemeriksa kereta api, operator garaj dan posmen. Helen pula bekerja dengan pertubuhan gereja, mengajar sekolah gereja dan menghantar kad ucapan kepada hampir semua penduduk di kawasan kediaman mereka ketika perayaan dan hari jadi.- Agensi





.

Pencapaian David Moyes sepanjang kariernya sebagai pengurus Manchester United



Pencapaian David Moyes  sepanjang kariernya sebagai pengurus Manchester United | ADAKAH jawatan ini terlalu besar untuk diisi oleh seorang yang tidak pernah memenangi sebarang trofi dalam sepanjang kerjayanya sebagai seorang pengurus? Itulah persoalan yang kini dilontarkan oleh pelbagai pihak khususnya media massa ke atas David Moyes yang khabarnya hanya menunggu masa untuk menerima surat pemecatannya daripada Manchester United. Akhbar The Daily Mail begitu yakin dengan maklumat yang mereka perolehi sehinggakan berani untuk meletakkan tajuk berita "Moyes Dipecat" semalam.


Media-media massa Britain juga turut mengemukakan beberapa nama yang dijangka sebagai penganti Moyes. Antara yang paling popular ialah Louis van Gaal, pengurus Belanda sekarang. van Gaal memenangi kejuaraan liga di setiap kelab yang beliau urus sepanjang kariernya. Yang terakhir ialah bersama Bayern Munich pada 2010. The Mail Online sebaliknya menyenaraikan segala pencapaian pertama Moyes sebagai pengurus United tetapi semuanya dalam bentuk yang negatif.


  • Di bawah Moyes, Everton buat pertama kalinya menewaskan United di tempat sendiri dan di tempat lawan sejak musim 1969-70; 
  • Di bawah Moyes, Everton dan Liverpool buat pertama kalinya menewaskan United dalam satu musim; 
  • Di bawah Moyes, Man City dan Liverpool buat pertama kalinya menewaskan United di tempat sendiri dan lawan dalam satu musim sejak Liga Perdana diperkenalkan; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya melepaskan gol seawal minit pertama (Edin Dzeko untuk Man City); 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya akan mengakhiri musim dengan mata terkumpul paling rendah dalam sejarah; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah sejak 1995; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sejak 2001; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tersingkir dalam saingan Piala FA di pusingan ketiga; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas di tempat sendiri kepada Swansea; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas di tangan Newcastle sejak 1972; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya tewas kepada West Bromwich di tempat sendiri sejak 1978; 
  • Di bawah Moyes, United buat pertama kalinya ditewaskan oleh Stoke City sejak 1984.





.

Bolehkah seorang Muslim mewarnakan rambut? Ini jawapannya..



Bolehkah seorang Muslim mewarnakan rambut? Hukum itu berdasarkan perbuatan atau bahan pewarna? Pewarna hitam dibolehkan atau tidak? Ini kerana ada pendapat mengatakan pewarna hitam itu tidak boleh langsung kerana Allah telah cipta warna rambut asal. Ini kenyataan sebahagian besar penceramah di televisyen.


Jawapan

Mewarnakan rambut termasuk dalam perhiasan. Dalam hal ini, difahami daripada nas hadis bahawa rambut tidak harus diwarnakan dengan warna hitam. Maka jika rambut telah bertukar warna seperti memutih atau makin banyak uban, maka harus diwarnakan dengan warna selain hitam. Begitu pun, adalah tidak harus jika ia terlalu pelik. Contohnya sebelah kanan berwarna kuning, sebelah kiri berwarna biru, bahagian depan berwarna hijau dan sebagainya. Ini adalah suatu kepelikan dan mempunyai unsur tasyabbuh (peniruan) dengan amalan yang tidak Islam. Oleh itu, antara warna yang elok ialah warna seperti inai. Rambut kelihatan kemerahan dan coklat. Ia tidak jauh berbeza dengan warna asal rambut iaitu hitam. Adapun penggunaan warna hitam, maka ia harus digunakan untuk rambut dalam dua keadaan iaitu:

 1Suasana jihad perang. Ini bagi menunjukkan kepada musuh bahawa anggota tentera masih gagah dan kuat, bukannya orang tua yang uzur.

2 Isteri yang ingin menarik perhatian suaminya dan mengekalkan kasih sayang suami terhadap dirinya. Maka jika rambutnya sudah mula menampakkan memutih, maka adalah harus bagi si isteri mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Selain itu, pengguna Muslim juga hendaklah memastikan bahawa bahan yang digunakan adalah bahan yang telap air. Ini kerana menyapu kepala iaitu sebahagian rambut yang berada di dalam kawasan kepala adalah rukun wuduk. Begitu juga dengan isu mandi junub. Maka jika bahan pewarna tidak telap air, maka dikhuatiri wuduk dan mandi junub adalah tidak sah.




.

Suami bunuh isteri serah diri pada polis kerana dihantui hantu isteri



Suami bunuh isteri serah diri pada polis kerana dihantui hantu isteri | Seorang warga emas Thailand ditahan kerana disyaki membunuh isterinya dan mencampak mayat wanita terbabit ke dalam tasik. Namun, selepas ditangkap, Sombot Samuk mendakwa dia memang mahu menyerah diri kepada polis kerana tidak tahan menanggung gangguan mendiang isterinya melalui mimpi. Kata Sombot, 68, sejak membunuh Orn Donkanha, 67, hidupnya tidak tenteram dan sentiasa dihantui dengan pelbagai ketakutan. Sombot berkata, Orn sering memarahinya, tetapi dia tetap bersabar sehinggalah ketika dalam perjalanan pulang dari menemani wanita terbabit menghadiri satu majlis di kampung mereka.

“Dalam perjalanan pulang Orn menghina keluarga dan saya dan anak kami. Dia juga menghalau saya keluar dari rumah,” katanya. Disebabkan hilang sabar Sombot memukul Orn dua kali menggunakan kayu. Wanita itu rebah dan mati di tempat kejadian sebelum Sombot mencampakkan mayat wanita itu ke dalam tasik. Mayat Orn ditemui di dalam tasik berhampiran Wat Santikaram pada 15 April dengan kesan hentakan di bahagian kiri kepalanya menggunakan objek tumpul.

Polis percaya wanita itu dibunuh tiga hari sebelum ditemui. Pada mulanya polis tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai pembunuhan itu, tetapi kemudiannya menjadikan Sombot sebagai suspek. Pasangan terbabit pernah berkahwin dengan orang lain sebelum ini. Sombot berkata, selepas kejadian itu dia sering bermimpi didatangi Orn yang memaksanya menyerah diri. “Dia mengugut untuk terus mengganggu saya jika saya terus bersembunyi,” katanya. - Agensi




.

Lelaki kecewa ditipu kekasih hati yang dikenali menerusi facebook



Lelaki kecewa ditipu kekasih hati yang dikenali menerusi facebook | “Dia beri saya harapan untuk menjadi pasangan hidupnya. Dia kata dia benar-benar sayang menyebabkan semua kehendaknya saya turuti. “Beberapa bulan berkenalan dengannya, saya tidak mensyaki apa-apa hingga habis wang simpanan ribuan ringgit diberikan kepadanya dengan alasan mahu membuat persediaan perkahwinan nanti,” kata Hanif (bukan nama sebenar) yang impiannya musnah untuk mengahwini seorang wanita yang dikenali menerusi Facebook sejak Jun tahun lalu.

Bukan hanya terperdaya dengan janji-janji manis wanita berusia 23 tahun itu, Hanif, 23, turut mendakwa mengalami kerugian lebih RM10,000 membabitkan wang tunai serta barang kemas. Detik awal perkenalan mereka, semua perkara dilalui begitu indah dan membuatkan dirinya yakin wanita itu benar-benar mahu menjadi suri hidupnya. Menurut Hanif, dia jatuh cinta dengan wanita berkenaan kerana sering mengambil berat mengenai hidupnya selain memiliki sikap penyayang. Ini membuatkannya mahu memperisterikan wanita yang berasal dari selatan tanah air itu.-HM



P/S - Gambar 'WARTAWAN mendengar keluhan Hanif ditipu bakal isteri yang dikenali melalui Facebook'



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!