Tuesday, June 17, 2014

Akibat tidak tidur sepanjang malam, pemuda mati ketika menonton Piala Dunia


Akibat tidak tidur sepanjang malam, pemuda mati ketika menonton Piala Dunia | AKSI Piala Dunia 2014 yang kini sedang berlangsung di Brazil menyebabkan seorang pemuda di China meninggal dunia gara-gara tidak tidur menonton perlawanan sepanjang malam. Pemuda berusia 25 tahun dari Wilayah Timur China, Sonzhou ditemui mati di depan TV yang masih terpasang di biliknya pada Sabtu pagi lalu. Dipercayai, perlawanan terakhir yang ditontonnya ketika aksi Sepanyol tewas 5-1 kepada Belanda. Mayat telah dihantar ke hospital di Xiangcheng dan disahkan oleh doktor punca kematian disebabkan kekurangan tidur serta keletihan fizikal. Bagaimanapun pihak hospital tidak menjelaskan lebih lanjut punca kematian yang mungkin juga disebabkan oleh serangan jantung.

Biarpun negara China tidak beraksi pada Piala Dunia ini, penduduk-penduduk tetap bersekang mata untuk menonton perlawanan yang berlangsung. Pihak doktor di China mengeluarkan amaran agar tidak terlalu obses untuk menonton perlawanan sehingga mengabaikan kesihatan. Sebagai rekod, tragedi maut 'gila' bola ini turut berlaku di China pada aksi Euro 2012 selepas seorang lelaki menonton 11 jam perlawanan tanpa henti. Manakala pada Piala Dunia 2006 dan 2010, hospital di China dipenuhi pesakit yang mengalami simptom keletihan melampau. -AP




.

Tindakan keluarga Juara Formula Satu, Michael Schumacher sebaik dia mula sedar dari koma


Tindakan keluarga Juara Formula Satu, Michael Schumacher sebaik dia mula sedar dari koma | Juara Formula Satu, Michael Schumacher dipindahkan daripada hospital di Perancis ke Switzerland, semalam selepas sedar daripada koma akibat kemalangan ketika bermain meluncur salji, Disember lalu. Dalam pengumuman mengejutkan, jurucakap bekas pemandu itu, Sabine Kehm berkata, legenda F1 itu sudah meninggalkan hospital di French Alpine, Grenoble iaitu tempat dia menjalani rawatan sejak kejadian terhantuk batu ketika bermain luncur salji bersama rakan dan anak lelakinya. Bekas pelumba berusia 45 tahun itu dipindahkan ke hospital di bandar Switzerland, Lausanne, bagi menyambung rawatan lanjut, menurut jurucakap hospital, Darcy Christen. #Ucap terima kasih

“Keluarganya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang merawatnya termasuk doktor, jururawat dan pakar terapi di Grenoble, tempat dia mendapatkan rawatan awal berdekatan dengan tempat kemalangan kerana melakukan tugas cemerlang dalam beberapa bulan itu. “Selepas ini, kami mohon supaya semua faham yang dia akan menjalani pemulihan dilakukan jauh daripada tumpuan umum,” katanya. Kehm bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut tentang keadaan Schumacher, yang dirahsiakan sejak berlakunya kemalangan di pusat peranginan French Alpine, Meribel pada 29 Disember lalu itu. Juara dunia tujuh kali itu menjalani dua pembedahan untuk mengeluarkan darah beku yang mengancam nyawanya, selepas dia mengalami kemalangan ngeri sehingga mengejutkan dunia, sebelum disahkan koma. - AFP





.

Murid tahun 1 di Sandakan parah dilanggar kereta depan sekolah ketika melintas jalan


Murid tahun 1 di Sandakan parah dilanggar kereta depan sekolah ketika melintas jalan | Seorang murid Tahun Satu mengalami cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintasi jalan raya di hadapan sekolahnya di Jalan Cecily Utara Batu 4, dekat sini, semalam. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong, berkata mangsa yang dikenali sebagai Mohd Zul Hakeem Hamsah, 7, belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew. Dalam kejadian 5.50 petang itu menyebabkan mangsa mengalami patah kaki kanan dan masih menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan, katanya di sini hari ini. Rowell berkata pemandu kereta berkenaan sudah tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan itu. Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu turut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Zabir Aripin di talian 089212222 (sambungan 254). - Bernama




.

Kewujudan group facebook yang mensasarkan gambar-gambar wanita hamil dan bertudung untuk tujuan lepaskan nafsu


Kewujudan group facebook yang mensasarkan gambar-gambar wanita hamil dan bertudung untuk tujuan lepaskan nafsu | Beberapa rakan di facebook mula memperkatakan mengenai wujudnya group yang sungguh tak masuk akal ni. Bayangkan saja, mereka ambil gambar wanita hamil yang bertudung, memuat naik kedalam group tersebut, dan terus saja menerima komen-komen yang tidak senonoh.

Nampak sangat bernafsu tengok wanita hamil.. Huhu, apa yang lulu rasa, memang mual sangat. Terus terbayangkan, ada juga lelaki yang bernafsu melihat keadaan wanita yang hamil dan bertudung, dan pastilah wanita tersebut bukannya isteri mereka.

Salah satu gambar tu, adalah gambar suami isteri blogger yang memang sangat lulu kenali. Marilah sama-sama report group ini.. Semoga Allah melindungi kita semua... Amin.. :(



 REPORT !! Hamil Bertudung






Akibat menyaksikan penyembelihan biri biri, kanak-kanak 3 tahun cuba sembelih adiknya yang berusia 18 bulan


Akibat menyaksikan penyembelihan biri biri, kanak-kanak 3 tahun cuba sembelih adiknya yang berusia 18 bulan | Seorang bayi berusia 18 bulan nyaris disembelih oleh abangnya. Si abang yang berusia tiga tahun sebelum itu menemani bapanya ke pusat penyembelihan biri-biri di daerah Naseem di Riyadh dan menyaksikan cara haiwan itu disembelih. Menurut akhbar Sabq, apabila pulang, dia mahu melakukan proses sama terhadap adiknya, Shawq. Dia mengambil pisau di dapur dan cuba menyembelih adiknya. Mujur kejadian itu disedari ibu bapa mereka yang membawa mangsa ke hospital.

Menurut si bapa, keluarganya didatangi tetamu dan dia keluar ke pusat penyembelihan untuk membeli daging biri-biri bagi meraikan mereka, membawa bersama anak lelakinya. “Apabila pulang, kami terkejut melihat dia menyerang adiknya, menikamnya di dada dan leher. Dia meniru apa yang dilihatnya di pusat penyembelihan itu. “Darah keluar dengan banyak hingga menyebabkan kami cemas. Mujur saya sempat membawa Shawq ke hospital,” kata bapa kedua-dua kanak-kanak itu. - Agensi




.

[Gambar] Wanita terpaksa berpaut di luar tingkap rumahnya di tingkat 10 sebuah unit kondo kerana terbakar sebelum diselamatkan


Wanita terpaksa berpaut di luar tingkap rumahnya di tingkat 10 sebuah unit kondo kerana terbakar sebelum diselamatkan | Seorang wanita warga China terpaksa berpaut kira-kira setengah jam di luar tingkap rumahnya yang terletak di tingkat 10 sebuah unit kondominium yang terbakar semalam. Dalam kejadian pada pukul 3 petang di Kondominium Bam Villa di Taman Maluri, Cheras di sini, mangsa Zhouo Yan, 29, bernasib baik apabila pasukan penyelamat cepat bertindak untuk menyelamatkannya. Difahamkan, api bermula di ruang tamu rumah yang didiami Zhouo Yan sebelum wanita itu panik lalu terus memanjat tingkap di biliknya menggunakan sebuah kerusi plastik.

Mangsa kemudian berpaut pada bingkai tingkap dan bergayut di situ sehingga dia diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat setengah jam kemudian. Dua rakan mangsa yang turut berada di rumah itu sempat keluar mengikut pintu depan rumah sebaik kebakaran tersebut berlaku. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Azahar Yaacob berkata, semasa diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan takut dan panik. “Badan mangsa juga dipenuhi jelaga akibat asap tebal ekoran kebakaran di dalam rumah itu,” katanya di sini semalam. -Kosmo




.

Kisah tragis.. Suami sebak kutip organ dalaman isteri selepas mangsa maut digilis lori pasir


Kisah tragis.. Suami sebak kutip organ dalaman isteri selepas mangsa maut digilis lori pasir | Seorang suami terpaksa menahan sebak sambil mengutip sendiri beberapa organ dalaman isterinya yang berselerakan di atas jalan selepas mangsa maut digilis sebuah lori pasir dalam kejadian di Taman Segar, Cheras di sini semalam. Sebelum kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Mohd. Hafiz Ab. Rahman yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar isterinya, Noorshah Ahmad, 34, ke tempat kerjanya dari rumah mereka di Taman Seri Budiman, Mahkota Cheras dekat sini. Noorshah bekerja sebagai kerani di sebuah kedai roti di Taman Shamelin. Menurut Hafiz, kemalangan yang meragut nyawa isterinya itu berlaku berhampiran pusat beli-belah Cheras Leisure Mall dan keadaan lalu lintas ketika itu sesak menyebabkan dia menunggang motosikal dengan menyelit antara kenderaan lain yang melalui jalan itu.

“Namun sebaik tiba di tempat kejadian, saya yang menunggang motosikal terpaksa melalui di celah sebuah lori membawa muatan pasir dan sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna perak.“Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an itu tiba-tiba menghimpit motosikal saya dan isteri sehingga menyebabkan kami terjatuh ke bawah lori yang bergerak itu,” kata Hafiz ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur di sini semalam. Hafiz yang tidak bekerja kerana sedang menuntut agama di sebuah madrasah di Seri Petaling dekat sini berkata, dia sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar dari bawah lori tiga tan itu.

Katanya, sebaik terselamat dia menoleh ke belakang untuk melihat nasib isterinya dan tanpa disangka tubuh isterinya cedera teruk kerana digilis salah satu tayar lori tersebut. “Saya tidak dapat berbuat apa-apa selain berlari ke jalan dan mengutip organ dalaman isteri saya seperti jantung, hati dan paru-paru yang berselerakan di atas jalan,” kata Hafiz dengan nada sedih. Cerita Hafiz lagi, pemandu lori berusia 33 tahun berkenaan telah berhenti bagi memberi bantuan manakala kereta Mercedes-Benz itu lari meninggalkan lokasi kejadian. Jelasnya, mereka yang sudah beberapa tahun mendirikan rumah tangga dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd. Adam Mishary berusia enam bulan. Pegawai Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Markandan Subramania mengesahkan kejadian itu dan sehingga petang semalam pemandu kereta tersebut belum membuat laporan polis. -Kosmo




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!