Wednesday, September 3, 2014

Ngeri!! Akibat Leka Menggunakan Telefon Sambil Memandu, Wanita Ini Kemalangan



Ngeri!! Akibat Leka Menggunakan Telefon Sambil Memandu, Wanita Ini Kemalangan | HANYA kerana sibuk menghantar mesej menerusi telefon bimbitnya ketika memamdu, seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan apabila punggung dan pehanya tertusuk tiang kayu. Kemalangan itu berlaku ketika Christina Jahnz bergegas untuk menghadiri mesyuarat selepas menghantar anak perempuannya ke sekolah di Elizabeth, Colorado, Amerika Syarikat. Sebaik tunduk dan merakam suara menerusi telefon bimbitnya, tiba-tiba Jahnz hilang kawalan dan terlanggar penyangga jalan.

Hentaman yang kuat menyebabkan tiang kayu penyangga jalan merodok keretanya dan tertusuk peha serta punggung wanita malang itu. Pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk memotong tiang kayu itu sebelum Jahnz dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiang itu. Doktor yang merawatnya berkata, Jahnz yang dimasukkan ke wad selama empat hari bernasib baik kerana tusukan kayu itu tidak mencederakan saluran darah utama. Berikutan kejadian itu, Jahnz menasihatkan orang ramai supaya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku padanya. -AP



.

Makam Nabi Muhammad (SAW) di Masjid Nabawi bakal dipindahkan ke sebuah kubur tidak bertanda?


Makam Nabi Muhammad (SAW) di Masjid Nabawi bakal dipindahkan ke sebuah kubur tidak bertanda?  | Cadangan dikemukakan seorang ulama Saudi untuk memindahkan makam Nabi Muhammad (SAW) di Masjid Nabawi dan dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda mencetuskan kontroversi semalam. Rancangan itu, menurut akhbar Independent yang diterbitkan di London, mencadangkan supaya pusara Rasulullah itu dialihkan ke tanah perkuburan al-Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. Bagaimanapun, menurut laporan itu, setakat ini belum ada keputusan rasmi dibuat mengenai cadangan berkenaan. Namun, pendedahan mengenai cadangan itu mencetuskan kemarahan di media sosial.

Seorang pembaca yang menamakan dirinya Yahya Birt berkata, rancangan itu, jika dilaksanakan akan mendapat tentangan habis-habisan daripada masyarakat Islam. Seorang pembaca lain, M Faris menyelar kerajaan Saudi dengan menyifatkannya sebagai satu lagi contoh ketidakpekaan pemimpin dan ulama negara itu terhadap warisan Islam dan mengingatkan, langkah itu, jika dilaksanakan adalah penghinaan terhadap masyarakat Islam. Akhbar Independent semalam melaporkan seorang ulama Arab Saudi mengemukakan pelan kontroversi untuk memindahkan makam Rasulullah itu selepas beberapa ulama negara itu menyuarakan kebimbangan ia semakin menjadi tempat pemujaan.

Menurut laporan itu, dokumen 61 muka berkenaan diedarkan kepada anggota pihak berkuasa Tanah Suci, mencadangkan supaya makam itu dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi, bersebelahan dengan Masjid Nabawi dan dikuburkan tanpa sebarang tanda. Akhbar itu memetik Pengarah Yayasan Kajian Warisan Islam, Dr Irfan Al-Alawi sebagai berkata: “Mereka mahu menghalang orang Islam mengunjungi makam berkenaan kerana menganggap perbuatan itu syirik. “Satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan untuk menyekat orang ramai mengunjungi makam itu ialah memindahkannya ke tanah perkuburan dan tanpa tanda,” kata Irfan.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada Raja Abdullah, penjaga rasmi dua tanah suci, atau jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap Masjid Nabawi, bersetuju dengan cadangan berkenaan. Mereka juga bimbang kemunculan pelan berkenaan, yang berasal dari fahaman Wahabbi akan memecah-belahkan pengikut fahaman Sunni dan Syiah. “Pengikut Sunni amat menghormati makam Rasulullah dan akan menentang rancangan berkenaan. Pengikut Syiah juga menentangnya kerana menghormati anak Rasulullah, Fatimah.Sudah pasti masyarakat Islam terkejut dengan pendedahan ini. Ia akan mencetuskan kemarahan,” kata Irfan. -AP




.

Punca Cahaya Misteri Terangi Langit Di Sabah Didedahkan



Punca Cahaya Misteri Terangi Langit Di Sabah Didedahkan | Orang ramai di sekitar bandar raya ini dan Penampang gempar dengan kemunculan cahaya misteri di langit, dalam kejadian, malam tadi. Fenomena itu mula kelihatan kira-kira jam 7 malam hingga 10 malam sebelum ia hilang daripada pandangan. Berikutan kejadian itu, orang ramai mengambil kesempatan memuat naik gambar ke media sosial Facebook dan WhatsApp sehingga menimbulkan tanda tanya, malah ada yang mengaitkan sebagai tanda-tanda Kiamat.

Bagaimanapun, Pengarah Meteorologi Abdul Malek Tusin memberitahu kejadian ini adalah fenomena Cahaya Pilar yang berlaku akibat daripada pantulan cahaya ke atas hablur ais di awan tinggi. "Fenonema ini memang pernah berlaku tapi mungkin tidak dihebohkan. "Orang ramai di negeri ini tidak perlu bimbang kerana ia tidak berbahaya," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. -Metro




.

Pencabar terkini pelari pecut dunia, Usain Bolt


Pencabar terkini pelari pecut dunia, Usain Bolt | Seorang warga emas berusia 103 tahun yang juga pemegang rekod dunia pelari pecut 100 meter (m) bagi individu berusia lebih 100 telah mencabar pelari pecut dunia, Usain Bolt dalam acara itu, lapor portal Daily News kelmarin. Warga emas itu, Hidekichi Miyazaki yang juga pemegang rekod dunia acara pecut 100m dengan catatan 29.83 saat telah diberikan gelaran 'Golden Bolt' dan merancang sehingga lima tahun lagi untuk berlumba dengan jaguh dunia itu. "Saya begitu teruja untuk berlumba dengan Bolt," kata Mayazaki kepada agensi berita AFP sewaktu ditemui pada pertandingan Japan Masters Athletics di Kyoto, Jepun.


Mayazaki dilahirkan pada tahun 1910 semasa zaman penguasaan Jepun ke atas Korea telah berkongsi tip kesihatan kepada Bolt yang memegang rekod pelari terpantas dunia dengan catatan masa 9.58 saat. "Saya akan mengunyah makanan sebanyak 30 kali dan memakan jem jeruk limau buatan anak saya setiap hari," kata Mayazaki yang hanya memiliki berat badan 41 kilogram (kg) dengan ketinggian 152 sentimeter (sm). - Agensi




.

Akibat ketagih beli-belah di internet, wanita ini..



Akibat ketagih beli-belah di internet, wanita ini.. | Seorang wanita terpaksa menjual rumahnya dan menanggung hutang berjumlah £40,000 (RM210,000) selepas dia gagal mengawal ketagihan untuk membeli-belah melalui internet, lapor MailOnline kelmarin. Wanita tersebut, Emma Sims, 41, berkata, ketagihan membeli-belah mula tidak terkawal selepas dia mengalami kemurungan pada 2011 dan membelanjakan lebih £2,000 (RM10,500) untuk membeli pakaian, beg dan kasut di internet.


Katanya, walaupun cuma bekerja di sebuah pejabat tetapi dia mempunyai banyak kad kredit kerana banyak syarikat menawarkan kemudahan berkenaan. "Saya sangat meminati fesyen dan membelanjakan banyak wang untuk membeli baju serta kasut yang hanya saya pakai sekali sebelum disimpan," katanya. Menurutnya, dia sukar untuk meninggalkan ketagihan tersebut dan kini terpaksa mendapatkan bantuan pakar psikiatri. - Agensi




.

Hasrat bapa saksikan anak konvokesyen tidak kesampaian kerana terbunuh dalam kemalangan


Hasrat bapa saksikan anak konvokesyen tidak kesampaian kerana terbunuh dalam kemalangan | Harapan menggunung seorang bapa menyaksikan hari bersejarah anak gadisnya di majlis Konvokesyen Ke-9 Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Ayer Tawar, dekat sini berakhir tragedi selepas terbunuh dalam kemalangan turut mengorbankan seorang penunggang motosikal, semalam. Mangsa, Mazni Abdul Ghani, 58, yang memandu Perodua Myvi, maut di tempat kejadian, selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori sebelum merempuh motosikal dinaiki seorang lagi mangsa, Rahman Rashid, 46. Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata kejadian berlaku jam 7.30 pagi semalam selepas kereta yang dipandu Mazni dari Kuala Lumpur, bergesel dengan kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kejadian di KM 59, Jalan Klang-Teluk Intan, itu membabitkan lima kenderaan kerana kenderaan dipandu Mazni kemudian melanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan elektrik dari Kedah ke Negeri Sembilan lalu terbabas dan merempuh pula sebuah motosikal.“Sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki dua individu terbabas ke dalam parit berhampiran kerana mahu mengelak Perodua Myvi mangsa,” katanya. Menurutnya, Mazni dan Rahman, seorang pemandu di Pejabat Daerah Kuala Selangor maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

“Polis difahamkan, Mazni yang memandu dari Kuala Lumpur menghala ke Sabak Bernam dalam perjalanan untuk ke Istiadat Konvokesyen anak gadisnya di PSIS, Sungai Ayer Tawar manakala Rahman pula dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Daerah Kuala Selangor, dari rumahnya di Sekinchan. “Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di kepala dan mayat mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk dibedah siasat,” katanya. Mohd Taib berkata, pemandu lori dan pemandu serta penumpang kedua-dua kereta yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!