Wednesday, September 10, 2014

Aktiviti 'ice bucket challenge'.. Tahukah anda ada risiko buruk jika anda melakukannya? Baca pendedahan ini..



Aktiviti 'ice bucket challenge'.. Tahukah anda ada risiko buruk jika anda melakukannya? Baca pendedahan ini.. | Cabaran Baldi Ais yang kini menjadi ikutan ramai boleh mendatangkan risiko kepada mereka yang menghidap tekanan darah tinggi. Pengkaji Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Zaleha Md Isa berkata aktiviti sebegini perlu dielakkan bagi golongan tersebut. "Kajian menunjukkan mereka yang mempunyai darah tinggi boleh mendapat risiko ekoran menyimbah ais ke badan mereka. Perubahan suhu badan secara mendadak akibat perbuatan ini boleh meningkatkan tekanan darah dan menjadi lebih teruk," katanya.

Beliau mencadangkan ujian klinikal dilakukan bagi mengesan kesannya sebelum sebarang acara ini dianjurkan. "Di United Kingdom, dilaporkan seorang remaja meninggal apabila dia melakukan cabaran dengan terjun ke dalam air," tambahnya. Namun Dr Zaleha berkata Cabaran Baldi Ais adalah baik kerana ia mendatangkan kesedaran terhadap penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) dan ia dilakukan bagi memungut derma untuk tujuan tersebut. -MStar




.

Kertas peperiksaan Science 018 bagi UPSR tahun 2014 ditangguh kerana BOCOR



Kertas peperiksaan Science 018 bagi UPSR tahun 2014 ditangguh kerana BOCOR | Kertas peperiksaan Science 018 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 adalah ditangguhkan kerana didapati bocor. Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataan sebentar tadi berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial. "Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya. Katanya, tarikh baharu bagi peperiksaan Science 018 adalah pada 30 September 2014.-BH




.

Tahukah anda, ada penyakit yang boleh tersebar di pejabat?


Tahukah anda, ada penyakit yang boleh tersebar di pejabat?  | Satu kajian terbaharu mendapati jangkitan kuman boleh merebak kepada lebih separuh tenaga kerja di tempat kerja melalui tombol pintu pejabat dalam tempoh dua jam sahaja. Portal berita Mail Online melaporkan, sehubungan itu, kajian yang dijalankan oleh Persatuan Mikrobiologi Amerika turut menyarankan supaya amalan membasuh tangan secara kerap perlu dilakukan bagi menghalang jangkitan kuman akibat memegang tombol pintu yang tercemar. Menurut ketua kajian tersebut, Dr. Charles Gerba, dalam tempoh setiap dua jam, mereka menguji 60 hingga 100 permukaan objek yang boleh menjadi lokasi kuman berjangkit seperti suis lampu, butang lif, sinki dan komputer.

Jelas Gerba, keputusan ujian selepas dua jam seterusnya menunjukkan, 40 hingga 60 peratus objek terbabit dicemari virus. "Kajian kami mendapati penyebaran virus boleh berlaku dengan pantas dan pekerja perlu mengambil langkah mudah untuk mengatasi masalah itu. "Cara terbaik adalah mengelap permukaan yang tercemar dengan pengelap anti bakteria, selain membasuh tangan dengan kerap," katanya. Kajian sebelum ini oleh Gerba pada 2010 menunjukkan pelbagai objek yang sering disentuh oleh orang ramai mengundang risiko penyebaran virus dengan lebih pantas.

Gerba berkata, ramai orang fikir virus tersebar melalui batuk dan bersin, tetapi jumlah objek yang disentuh hampir setiap hari di pejabat juga boleh menjadi faktor penyebaran kuman. "Objek yang melibatkan proses menekan butang seperti yang terdapat pada lif, papan kekunci komputer dan telefon adalah antara objek yang perlu diberikan perhatian. "Namun, tindakan yang paling penting adalah berehat di rumah jika anda tidak sihat bagi mengelakkan penyebaran virus kepada orang lain,'' katanya. -Utusan




.

Seorang wanita yang juga merupakan ibu dikurung dalam tandas kerana lahirkan anak perempuan



Seorang wanita yang juga merupakan ibu dikurung dalam tandas kerana lahirkan anak perempuan | Seorang wanita berusia 25 tahun dikurung dalam bilik air sejak tiga tahun lalu selain dilarang menemui anaknya kerana melahirkan anak perempuan. Wanita itu yang ditemui dengan keadaan kuku kaki serta tangan yang terlalu panjang dan pakaian koyak tidak dapat membuka matanya apabila terkena cahaya matahari. Dia juga menangis teresak-esak apabila anaknya sendiri tidak mengenalinya. Polis merempuh masuk ‘penjara’ wanita itu di Darbhanga selepas ayahnya melaporkan kes itu, lapor International Business Times. Jurucakap polis Seema Kumari berkata, wanita itu diseksa berulang kali sejak berkahwin pada 2010 selepas keluarga mentua tidak berpuas hati dengan wang hantarannya.

Keadaan menjadi lebih teruk selepas dia melahirkan anak perempuan sehingga akhirnya dia dikurung keluarga suami. “Dia terlalu sukar membuka mata bila terkena cahaya matahari kerana tinggal dalam ruang yang kecil, sempit dan gelap sejak tiga tahun lalu. “Mangsa berkata dia diheret masuk ke bilik air sebelum ditinggalkan di situ. “Dia juga dilarang menemui anaknya dan hanya diberi makan sekali-sekala, itupun sisa yang tidak habis dimakan keluarga suami. Mereka seolah-olah membalas dendam kerana hantaran dan jantina anak yang dilahirkan tidak memuaskan,” kata Seema ketika ditemui. Pemberian hantaran sebenarnya diharamkan di India sejak tahun 1981, namun sehingga hari ini masih ramai yang mengamalkannya.

Sementara itu, Seema berkata mangsa juga tidak dibenarkan menemui ibu bapanya. “Setiap kali keluarganya datang melawatnya di Darbhanga, mereka dihalau. “Sebaik dibebaskan dia meminta untuk menemui anak perempuannya yang kini berusia tiga tahun. Malangnya, kanak-kanak itu langsung tidak mengenalinya menyebabkan dia menangis,” kata Seema. Menurut jurucakap itu, suami mangsa Prabhat Kumar Singh kini berada dalam tahanan polis. Ibu bapanya Dhirendra Singh dan Indra Devi juga akan disoal siasat selepas keluarga mangsa menuntut supaya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.- Agensi




.

Pemandu ambulans hospital kerajaan kantoi minta sogokan untuk hantar pesakit yang dalam kecemasan



Pemandu ambulans hospital kerajaan kantoi minta sogokan untuk hantar pesakit yang dalam kecemasan | Bayar RM250 jika mahu hantar pesakit ke hospital. Itu sogokan diminta seorang pemandu ambulans sebuah hospital milik kerajaan kepada seorang keluarga pesakit yang dalam kecemasan. Kejadian yang berlaku pada 31 Ogos lalu itu turut tersebar di laman sosial Facebook hingga menyebabkan ramai pihak terkejut dan marah. Berdasarkan rakaman video yang disebarkan melalui Rednews itu, seorang lelaki tempatan mendakwa dia menghubungi talian 999 selepas ibunya jatuh pengsan. Bagaimanapun, anak mangsa terkejut apabila pemandu ambulans itu yang tiba di rumahnya meminta bayaran RM250.

Berikutan tidak mempunyai wang, mangsa dengan bantuan rakannya menghantar mangsa ke hospital menaiki kereta. Sebaik tiba di hospital, anak mangsa dikatakan terserempak dengan pemandu ambulans itu sebelum meminta penjelasan terhadap bayaran perkhidmatan untuk ambulans hospital kerajaan. Pemandu ambulans itu kemudian menjawab, “awak nak tanya apa, kalau kita tak ambil, kita tak ada income (pendapatan), govt (kerajaan) bagi sikit satu bulan RM800.

Anak nak minum susu. “Kita driver je bukan doktor, saya ambil itu bukan untuk saya, duit saya kena bagi dalam itu ada empat nurse (jururawat) lagi, satu orang RM50 saja ma, empat orang baru RM200, tak mahal sebenarnya,” katanya dalam rakaman itu. Sementara itu jurucakap hospital berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengetahui berhubung rakaman video yang sudah tersebar itu dan pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut. “Kami akan memberi kenyataan rasmi esok (hari ini),” katanya semalam. -Metro




.

Ini penjelasan dari pakar kesihatan mengenai isu video viral biskut yang dikatakan mengandungi bahan plastik


Ini penjelasan dari pakar kesihatan mengenai isu video viral biskut yang dikatakan mengandungi bahan plastik | Pakar kesihatan mengingatkan rakyat negara ini agar tidak cepat percaya kepada sesuatu sumber yang belum ditentukan kesahihan, khususnya apabila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan pemakanan dan kesihatan umum. Pelbagai saluran media sosial tempatan baru-baru ini digemparkan dengan sebuah video viral mengenai biskut makanan bayi yang dikatakan mempunyai bahan berunsur plastik. Video bersama gambar dan penerangan itu menunjukkan demonstrasi pembakaran biskut yang kononnya menjadi bukti mengenai kewujudan bahan toksik atau plastik dalam kandungannya.

Hal tersebut telah menimbulkan keresahan orang ramai lebih-lebih lagi golongan ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Walau bagaimanapun, Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad menjelaskan bahawa bahan makanan seumpama biskut tentu sekali mudah terbakar kerana kandungan lemak dan minyak yang terdapat dalam bahan tersebut. “Orang ramai perlu memahami bahan makanan seperti biskut diperbuat daripada tepung, marjerin, gula dan sebagainya yang dipenuhi lemak, karbohidrat dan minyak.


“Apabila seseorang cuba membakar bahan makanan seperti biskut secara langsung akan berlaku proses pembakaran lemak dan ia akan membentuk sejenis cecair tidak berwarna iaitu akrolein yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan,” katanya. Fatimah berkata, kemungkinan besar bau berkenaan telah menimbulkan persepsi negatif memandangkan ia seakan-akan dengan bau plastik terbakar. Tambah beliau, adalah jarang mana-mana pengeluar makanan biskut akan menambah bahan plastik dalam pemprosesan makanan seperti biskut hingga mengundang bahaya kepada kesihatan orang ramai. Fatimah turut meminta orang ramai agar tidak menimbulkan trend berita seumpama itu semata-mata untuk mencari populariti di media sosial. – Kosmo




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!