Friday, September 26, 2014

Awas sendiket mak andam penipu.. Majlis perkahwinan anda mungkin tidak akan berlangsung



Awas sendiket mak andam penipu.. Majlis perkahwinan anda mungkin tidak akan berlangsung | Impian sepasang pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia mereka minggu lalu, bertukar pengalaman ngeri apabila mereka ditipu mak andam. Lebih teruk, pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 42, dan Nina, 32, terpaksa membeli persalinan lain sebagai ganti disebabkan mak andam dinantikan hanya tiba 15 minit sebelum majlis persandingan bermula. Menceritakan kejadian itu, Zack berkata, dia dan isteri membuat keputusan memilih mak andam berkenaan yang ditemui di pameran pengantin di pusat membeli-belah Terminal 2, Februari lalu selepas tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan.

“Pakej ditawarkan meliputi pelamin, jurugambar, solekan dan lapan persalinan baju dengan hanya RM1,500. Selepas berbincang dengan isteri, kami telah pergi ke kedai mak andam itu di Seremban Jaya beberapa hari kemudian untuk membuat tempahan,” katanya. Menurutnya, dia membayar deposit sebanyak RM450 pada 10 Februari lalu selepas membuat pilihan pelamin dan pakaian pengantin serta membuat bayaran tambahan RM700 pada 26 Mac lalu. Namun, kata Zack, dia dan isteri mula berasa tidak sedap hati kerana sukar berurusan dengan wanita terbabit bagi membincangkan persediaan majlis perkahwinan mereka.

“Bila kita telefon mahu tengok baju dan buat fitting, dia beri alasan sibuk dan selalunya gagal untuk dihubungi. Tapi disebabkan kami telah membuat bayaran dan majlis perkahwinan pun tidak lama lagi, saya bersangka baik mungkin dia betul-betul sibuk," katanya. Bagaimanapun, katanya, perasaannya bertambah tertekan kerana sebaik saja hari dinantikan, pelamin dan pakaian diberikan tidak seperti dipesan. “Saya pilih pelamin lain, tapi yang dia pasang pada majlis di rumah isteri saya macam pelamin budak tadika buat. Baju pula dia beri bukan yang kami pilih," katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila pada majlis bertandang di rumahnya pula, dia dan isteri terpaksa memakai pakaian sendiri kerana wanita terbabit gagal dihubungi. Zack berkata, suami kepada mak andam itu hanya tiba kira-kira 15 minit sebelum majlis bermula dan memberi alasan isterinya tidak dapat datang kerana terjatuh di dalam tandas. “Bayangkan, tertekannya kami ketika itu. Tapi mahu buat macam mana, majlis perlu diteruskan kerana tetamu sudah dijemput. “Mereka berjanji mahu memulangkan semula wang yang dibayar sebanyak RM1,150. Tapi tak tahulah macamana," katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini. SH




.

Faizal Tahir dedah punca dia semakin kurus



 Faizal Tahir dedah punca dia semakin kurus  | Penyanyi dan komposer Faizal Tahir mendedahkan punca dia semakin kurus adalah disebabkan sibuk dengan tanggung jawab sebagai bapa kepada lima orang cahaya mata. Faizal berkata, kesemua anaknya sangat aktif sehingga membuatkan dia tidak boleh duduk diam membiarkan mereka bersendirian. "Saya kurus bukan sebab sakit tetapi kerana sibuk dengan anak-anak, maklumlah anak saya sudah masuk enam orang dan semuanya hyper active. "Boleh dikatakan setiap hari saya berlari-lari mengejar mereka, lebih lagi kalau kami keluar ke pusat beli-belah berhampiran sehingga pekerja di situ tahu muka saya akan kejar anak-anak," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran album Faizul AF 2013, di Talent Lounge.

Lima cahaya mata Faizal iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, 9, Siti Raudhah Nur Iman, 7, dan Ahmad Rifa’ie Zidane, 6, Siti Rawdha Nur Jannah, 3, dan Siti Nawar Malaeka, 1, hasil perkahwinannya dengan isteri, Siti Raihanim Noran. Tambah Faizal, dia tidak pernah mengambil tahu tentang berat badan sebenarnya kini, bagaimanapun mengakui tentang kesusutan. Faizal berkata, tekanan kerja bertambah selepas dia menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Faithful Music sejak awal tahun lalu. "Hidup saya hanya tumpu pada kerja dan anak-anak sahaja, selepas wujudnya Faithful Music tekanan kerja lebih bertambah. Namun saya gembira kerana kami sudah ada tiga orang artis iaitu Hanie Soraya, Aziz Harun dan Elizabeth Tan.

"Disebabkan terlalu sibuk juga saya sering lupa untuk makan, seperti semalam seingat saya, saya hanya makan sekeping sandwich sahaja," ujarnya. Sementara itu, ditanya, tentang kerjaya nyanyiannya, Faizal berkata, dia hanya akan menyanyi jika mendapat sebuah karya berbeza daripada yang pernah dibuat sebelum ini. Bagaimanapun, Faizal mengakui rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat-peminatnya. "Buat masa ini memang belum ada rancangan untuk menyanyi, Insya-Allah saya akan menyanyi jika ada lagu yang bagus dan lain daripada yang pernah saya bawakan sebelum ini. "Kalau diikutkan memang ada rasa rindu sangat untuk buat persembahan seperti dahulu, ramai juga peminat saya yang bertanya bila saya buat persembahan seperti dahulu, tapi buat masa ini belum lagi ada perancangan untuk itu," ujarnya. -Mstar




.

Kanak-kanak terpaksa ‘berendam’ dalam mesin basuh selepas tergelincir dan terperangkap didalamnya



Kanak-kanak terpaksa ‘berendam’ dalam mesin basuh selepas tergelincir dan terperangkap didalamnya | Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa ‘berendam’ selama lebih sejam dalam mesin basuh selepas tergelincir dan terperangkap dalam alat itu. Dejannah Price, 10, berkata dia hilang keseimbangan ketika membongkok untuk menarik keluar hamparan kecil dari mesin berkenaan. Sebaik saja kejadian itu disedari ibunya, Diana Brown, wanita terbabit cuba mengeluarkan Dejannah tetapi gagal. “Saya mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan Dejannah tetapi tiada satu pun yang berhasil. Akhirnya saya mengalah dan menghubungi polis,” katanya.

Kata Diana, walaupun anaknya ketawa terbahak-bahak kerana tersangkut dalam mesin basuh, dia tidak menganggap kejadian itu lucu. Sementara itu, jurucakap polis Long Island berkata, sepasukan penyelamat dikejarkan ke rumah Diana tetapi sebelum memulakan tugas mengeluarkan Dejannah, mereka sempat ketawa kehairanan. “Kami tertanya-tanya bagaimana budak berkenaan boleh termasuk ke mesin basuh itu,” katanya. Jurucakap polis itu berkata, pada peringkat awal mereka juga gagal mengeluarkan Dejannah dari mesin itu dan terpaksa memecahkan alat berkenaan. Dejannah pula bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius. -AP




.

Pesawat berpatah balik dan terpaksa mendarat cemas disebabkan kebocoran minyak




Pesawat berpatah balik dan terpaksa mendarat cemas disebabkan kebocoran minyak | Penerbangan WestJet dari Las vegas ke Kanada berpatah balik dan terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran iaitu 13 minit selepas berlepas. Jurucakap lapangan terbang Christine Crews berkata, anak kapal penerbangan 1709 ke Victoria di British Columbia itu bimbang pesawat terbabit mungkin mengalami kebocoran minyak sejurus berlepas pada pukul 3.18 petang. Pesawat Boeing 737 dengan 126 penumpang itu berpatah balik ke lapangan terbang pada pukul 3.31 petang dan mendarat tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Kebocoran minyak itu sudah diperbaiki dan pesawat berkenaan berlepas semula pada pukul 6 petang semalam. - AP




.

Wanita nekad bunuh ibu, tiru plot pembunuhan daripada siri televisyen



Wanita nekad bunuh ibu, tiru plot pembunuhan daripada siri televisyen | SEORANG wanita didakwa cuba membunuh ibunya dengan memasukkan racun ke dalam minuman ringan yang diminum ibunya. Tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh itu dengan mengikut plot pembunuhan daripada siri televisyen Amerika Syarikat (AS) Breaking Bad yang ditontonnya. Kuntal Patel, 37, didakwa memasukkan racun ke dalam minuman Coke Diet milik ibunya, Meena Patel. Tertuduh melihat ibunya minum minuman tersebut. Bagaimanapun ibu tertuduh tidak meninggal dunia.

Kuntal yang juga seorang pereka grafik bertindak sedemikian kerana ibunya melarang dia daripada berkahwin dengan teman lelakinya. "Bukti menunjukkan bahawa Meena bukan wanita yang baik. Namun dia tidak boleh mati dengan cara sebegitu," kata pendakwa Jonathan Polnay di Mahkamah Southwark Crown, London. Kuntal didakwa membeli racun tersebut dari sebuah laman web pasaran gelap dan dia ditahan selepas disiasat oleh FBI. Dia mengaku bersalah atas pertuduhan cuba memperolehi toksin tetapi menafikan cuba membunuh ibunya yang berusia 60 tahun itu. Perbicaraan kes bersambung. -AP




.

#MH17 : Alhamdulillah, satu lagi jenazah dikenal pasti, iaitu jenazah Mohd Afruz Tambi. Lengkaplah sudah..


#MH17 : Alhamdulillah, satu lagi jenazah dikenal pasti, iaitu jenazah Mohd Afruz Tambi. Lengkaplah sudah.. | Pusat bedah siasat mayat mangsa nahas MH17 di Hilversum, Belanda mengenalpasti satu lagi jenazah iaitu Mohd Afruz Tambi, semalam. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata identiti Mohd Afruz, 13, yang dikenal pasti itu menjadikan enam ahli keluarga Tambi yang terkorban dalam nahas berkenaan sudah ditemui.

"Bagaimanapun, pusat bedah siasat Hilversum masih belum dapat mengeluarkan mayat mangsa (Mohd Afruz) dari pusat itu," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Maritim Sedunia 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebentar tadi. Tiong Lai berkata, dua rakyat negara ini masih belum dikenalpasti iaitu nenek tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Siti Amirah Prawira Kusuma, 83, dan Sherliza Zaini, 45. "Kita berharap pusat bedah siasat Hilversum dapat rmempercepatkan proses kenal pasti bagi membawa jenazah mangsa pulang ke negara ini," katanya. -BH



.

Bapa pukul anak hingga mati kerana gagal siapkan kerja sekolah



Bapa pukul anak hingga mati kerana gagal siapkan kerja sekolah | Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dipukul hingga mati oleh bapanya hanya kerana dia gagal menyiapkan kerja rumah diberi gurunya. Jurucakap polis wilayah Phayao berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di daerah Muang pada malam Isnin. Ketika polis tiba di tempat kejadian, katanya, budak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan darah dilihat keluar dari hidung dan mulutnya. “Tangan kirinya juga patah,” katanya.

Budak malang itu sempat dikejarkan ke Hospital Phayao dan menjalani rawatan imbasan pada kepala tetapi disebabkan kecederaannya serius, dia dirujuk kepada Hospital Chiang Rai Prachanukroh. Bagaimanapun, budak itu disahkan meninggal dunia pagi. Sementara itu, bapa mangsa – seorang juruteknik penyaman udara yang berusia 36 tahun mengaku mabuk ketika membelasah anaknya. Kata jurucakap polis, lelaki terbabit berang dan tidak dapat mengawal dirinya apabila mendapati mangsa belum menyiapkan kerja rumah. -AP




.

Kanak-kanak ini berpantang maut sebelum ajal



Kanak-kanak ini berpantang maut sebelum ajal | SEORANG kanak-kanak perempuan berusia satu tahun setengah di Chile berpantang maut sebelum ajal selepas anggota bomba berjaya mengeluarkan cerek yang tersangkut di kepalanya. Kanak-kanak malang itu bermain dengan cerek tersebut sebelum memasukkannya ke dalam kepala ketika ibu mangsa bergegas menjawab panggilan telefon. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital di Santa Cruz di mana pasukan perubatan berusaha mengeluarkan cerek tersebut. Lima anggota bomba dikerahkan ke hospital itu untuk memotong cerek tersebut. Kanak-kanak perempuan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. -AP



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!