Friday, October 31, 2014

Inilah dia pengasuh yang didakwa mendera kanak-kanak dengan mengikat tangan dan kaki



Inilah dia pengasuh yang didakwa mendera kanak-kanak dengan mengikat tangan dan kaki | Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada Selasa lepas. Noor Faezah Rahman, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Blok A-8-19, Flat Seri Pinang di sini pada kira-kira 10 pagi, 28 Oktober lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Mengikut kertas pendakwaan, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tangannya diiikat di belakang badannya manakala kakinya diikat dengan tali.


Tiada pengakuan dicatatkan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab, yang menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam. Terdahulu, semasa merayu jaminan yang lebih rendah, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai lapan anak untuk disara. Muhammad Firdaus kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairuz Rahman. -Mstar




.

Lihat tindakan seorang bapa apabila anak perempuannya suka menipu



Lihat tindakan seorang bapa apabila anak perempuannya suka menipu | Kerana berang dengan sikap anak perempuannya yang menipu berkenaan umur sebenarnya di dalam akaun laman sosial rahsia untuk mengadakan temu janji dengan orang yang lebih dewasa daripadanya, seorang bapa memaksa anaknya itu memaksa anaknya itu memakai beg kanak-kanak dan baju T yang memaparkan umurnya yang sebenar. Portal Mail Online melaporkan, Kevin Jones dari Louisville, Kentucky terkejut mendapati anaknya berusia 10 tahun itu cuba menipu tentang umurnya dan mendakwa mempunyai teman lelaki serta pernah bercinta. Kanak-kanak itu yang mempunyai ketinggian 1.5 meter kelihatan lebih matang daripada umurnya yang sebenar.

Kesempatan itu digunakannya untuk menyamar sebagai seorang yang berusia 15 tahun. Menyedari perbuatan anaknya itu, Jones memutuskan untuk menghukum anak perempuannya itu supaya perbuatannya itu diketahui umum. “Dia mendakwa sedang bercinta dan keluar bersama seorang teman lelaki yang menyalahi peraturan yang saya tetapkan. “Saya mendapati dia telah melakukan perbuatan ini untuk tempoh yang lama. Maka hukuman ini adalah setimpal dengan perbuatannya itu,” kata Jones di laman Facebooknya.


Jones telah menempah sehelai baju T yang comel yang tertera umur sebenar anaknya itu, meletakkan penyepit rambut dan menyediakan sebuah beg bercorak puteri untuk anak kesayangannya itu. Anaknya didapati tidak gembira dengan hukuman berkenaan. Sementara itu, ibu bapa dari seluruh dunia menyokong tindakan Jones itu, sambil menyifatkan Jones melakukan tindakan yang betul dan menganggap dia seorang bapa yang baik. Gambar anaknya itu dimuat naik di Internet pada 21 Oktober lalu dan seramai 250,000, pengguna menekan butang likes dan dikongsi hampir 77,000 kali.-AP



.

PBT kuatkuasa peraturan baru, wanita tidak bertudung tidak boleh berniaga di Kelantan



PBT kuatkuasa peraturan baru, wanita tidak bertudung tidak boleh berniaga di Kelantan | Jika tidak bertudung, anda tidak boleh terlibat dengan aktiviti perniagaan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan mencetuskan satu lagi kontroversi dengan memberi amaran bahawa mereka akan menguatkuasakan kod pakaian Islam kepada kumpulan yang terlibat dalam perniagaan. PBT Kelantan memulakan Operasi Gempur Aurat iaitu mengenakan denda maksimum RM500 terhadap peniaga dan pekerja wanita yang tidak menutup rambut mereka dan memakai pakaian ketat. Keputusan itu berlaku untuk wanita yang bekerja di pasar basah, pasar raya, pasar raya besar, kedai makanan dan pusat-pusat komersial lain yang memerlukan lesen operasi daripada PBT.

Pengusaha bukan Islam juga berisiko didenda jika pekerja mereka yang beragama Islam tidak mematuhi peraturan pemakaian seperti jika majikan mengarahkan pekerjanya untuk memakai pakaian seragam ketat dan berlengan pendek. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB), Nor Azariza Mohd Alawi berkata tindakan keras itu adalah tindak balas kepada aduan orang ramai. "Peraturan pakaian ini adalah salah satu syarat untuk mendapatkan permit perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya. Tambah Nor Azariza, peraturan itu hanya dikenakan ke atas orang-orang 'berinteraksi' dengan orang ramai.

Sejak Ops Gempur Aurat dimulakan pada September lalu, 34 pesalah telah didenda. Beliau berkata tindakan keras di Kota Baru itu akan berakhir pada Disember depan. Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB, Ropein Hassan berkata, permohonan untuk melonggarkan syarat itu tidak akan dilayan kerana kod pakaian itu ditetapkan dengan jelas dalam permit perniagaan. Beliau berkata pihaknya juga telah mewajibkan peniaga, termasuk bukan Islam untuk menghadiri kursus tentang cara-cara untuk menjalankan perniagaan dari perspektif Islam.

"Kami telah mengambil inisiatif untuk mendidik mereka terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan undang-undang kecil ini (pada pakaian)," katanya. Beliau berkata seramai 3,000 peniaga telah mengambil bahagian dalam kursus itu dengan masih terdapat lebih 10,000 senarai menunggu. Pada November 2012, PBT Kelantan mengejutkan banyak pihak apabila menguatkuasakan sekatan ke atas tukang gunting rambut untuk memberi khidmat kepada pelanggan berlainan jantina. -Mstar



.

Bekas peserta Mentor dikecam kerana menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World 2014



Bekas peserta Mentor dikecam kerana menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World 2014 | Bekas peserta Mentor, Dewi Liana Seriesta kesal apabila segelintir pihak masih mempertikaikan penyertaannya dalam pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World 2014 kerana dia disangka wanita beragama Islam. Dewi, 25, yang merupakan protege kepada penyanyi Liza Hanim dalam program realiti Mentor musim pertama itu berkata, dia sudah menjelaskan tentang status agama itu sejak memasuki pertandingan realiti terbitan TV3 empat tahun lalu. "Ketika memenangi pertandingan Miss Malaysia World 2014 pada Jun lalu, ramai yang mempertikaikan penglibatan saya dalam pertandingan itu.

 "Saya faham wanita beragama Islam tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu dan saya juga sudah jelaskan kepada mereka bahawa saya beragama Kristian sejak kecil lagi," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Dewi, perkara tersebut menjadi kekeliruan apabila nama yang diberikan oleh ibu bapanya itu seperti nama yang digunakan oleh kebanyakan orang Melayu. Bagaimanapun dia tidak mempunyai sebarang masalah dan menganggap ia sebagai sesuatu yang unik. "Bapa saya berasal dari Indonesia dan berketurunan Cina, manakala ibu saya dari Sarawak sebab itu nama saya tiada binti seperti nama orang Islam.

"Saya memang tiada sebarang masalah dengan nama ini dan saya anggap ia sebagai unik, cuma ramai yang keliru tentang agama sahaja," katanya. Dalam pada itu, Dewi berkata, dia layak ke pertandingan Miss World 2014 yang akan dipertandingan di London penghujung tahun ini. Dewi merupakan antara 130 peserta di serata dunia yang bakal merebut gelaran ratu cantik itu. "Selepas memenangi Miss Malaysia World 2014, saya layak untuk bertanding bagi mewakili Malaysia di Miss World 2014 di London Disember depan. Saya akan bertolak November ini dan kami akan dinilai selama sebulan untuk diangkat sebagai Miss World 2014," katanya.

Sementara itu dalam bidang nyanyian Dewi masih aktif memenuhi undangan selepas tamatnya program Mentor musim pertama lalu. Malah, dia baharu sahaja berjaya memenangi lima kategori utama pada pertandingan ‘World Championships of Performing Arts’ (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat, Julai lepas. "Saya tidak tinggalkan bidang nyanyian, selepas Mentor saya banyak tawaran persembahan untuk majlis korporat dan Julai lalu saya mengikuti pertandingan WCOPA di Los Angeles. "Saya memenangi juara keseluruhan dengan meraih lima pingat dalam beberapa kategori dipertandingakan," ujarnya. -Mstar



.

Inilah harga iPhone 6, 6 Plus mengikut pasaran Malaysia



Inilah harga iPhone 6, 6 Plus mengikut pasaran Malaysia | Dua syarikat telekomunikasi, Maxis Berhad dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd mendedahkan pelan iPhone baru buatan Apple di laman web masing-masing yang kini dibuka untuk tempahan. Manakala satu lagi syarikat yang turut menjadi pengedar rasmi iPhone di Malaysia, Celcom Axiata Berhad masih belum memperkenalkan pelannya.

iPhone 6 dan 6 Plus akan mula dipasarkan di Malaysia pada 7 November ini pada harga seperti berikut: 
iPhone 6 16 GB 2,399.00 
iPhone 6 64 GB 2,749.00 
iPhone 6 128GB 3,149.00 
 iPhone 6 Plus 16 GB 2,749.00 
iPhone 6Plus 64 GB 3,149.00 
iPhone 6 Plus 128 GB 3,549.00 

Apple melancarkan bukan satu, tetapi dua versi iPhone baru iaitu iPhone 6 dan 6 plus yang dilengkapi skrin 4.7 inci serta 5.5 inci. Kedua-dua iPhone 6 baru ini dilengkapi paparan Retina HD yang baru dengan iPhone 6 memiliki resolusi 1334 x 750 piksel manakala resolusi untuk iPhone 6 Plus pula ialah 1920 x 1080. Lebih 10 juta telefon pintar terbaru itu habis dijual dalam tempoh tiga hari selepas ia dipasarkan di negara terpilih. Maxis menawarkannya pada harga semurah RM659 manakala DiGi semurah RM557. Metro



.

CEO Apple, Tim Cook bangga mengaku gay



CEO Apple, Tim Cook bangga mengaku gay | Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook bangga mengakui dirinya merupakan seorang homoseksual atau gay. Cook yang membuat pengakuan itu pada Khamis berkata, dirinya sering memperjuangkan persamaan hak antara gender sama ada secara peribadi atau dalam perniagaannya. Ketua rangkaian teknologi gergasi itu turut menyebut bahawa seksualitinya tidak pernah menjadi rahsia di syarikat itu dan mengakui mengenai perkara berkenaan adalah lebih penting daripada privasinya. "Biar saya jelaskan saya bangga menjadi gay dan saya anggap menjadi gay adalah antara anugerah terhebat dari tuhan kepada saya" kata Cook dalam satu kenyataan di Bloomberg BusinessWeek.

"Saya bernasib baik kerana bekerja di sebuah syarikat yang mementingkan kreativiti dan inovasi serta menerima perbezaan antara setiap orang. Tidak semua orang bernasib baik" katanya. Ketua Pegawai Eksekutif Apple itu mengatakan yang pengakuan ini adalah sebahagian daripada perjuangan peribadinya untuk membela golongan minoriti. "Sebahagian daripada kemajuan sosial adalah dengan memahami bahawa seseorang itu tidak dihakimi berdasarkan hanya dengan seksualiti, bangsa atau jantina seseorang” katanya.

"Menjadi gay telah memberi saya pemahaman yang lebih mendalam bagaimana rasanya berada dalam cabaran yang dihadapi setiap hari. Kami akan terus memperjuangkan nilai-nilai etika dan saya percaya bahawa mana-mana Ketua Pegawai Eksekutif syarikat ini turut menerima sesiapa tanpa mengira bangsa, jantina atau orientasi seksual seseorang itu. Dan saya sendiri akan terus melakukan advokasi untuk kesaksamaan untuk semua kaum sehingga akhir hayat” katanya lagi yang mengagumi ikon pejuang hak asasi manusia Martin Luther King dan Robert Kennedy.

 Cook mengambil alih sebagai ketua Apple pada tahun 2011 selepas kematian Steve Jobs. Beliau telah dikritik kerana tidak mempertahankan kemegahan Apple selepas kematian Jobs yang disebut peminat sebagai seorang yang berpandangan jauh. Namun, sejak perlancaran iPhone 6 populariti Apple kembali melonjak. Cook berkata menjadi gay hanya sebahagian daripada identitinya selain turut menggambarkan dirinya sebagai "seorang jurutera, seorang ‘pakcik’, pecinta alam dan ahli sukan.” -AP



.

Wanita sering jadi bahan jenaka ekoran dia menghidap sejenis penyakit misteri yang jarang ditemui



Wanita sering jadi bahan jenaka ekoran dia menghidap sejenis penyakit misteri yang jarang ditemui | Seorang wanita di sini, sering kali dijadikan bahan jenaka, ekoran dia menghidap sejenis penyakit misteri yang jarang ditemui yang mengakibatkan kulitnya bertukar warna menjadi kemerah-merahan serta berminyak. Portal Mail Online melaporkan, Carly Findlay menghidap penyakit yang dikenali sebagai Ichthyosis yang sehingga kini, pakar perubatan belum dapat mencari penawarnya. Findlay berkata. penyakit yang dialaminya itu berlaku kepada setiap 10 atau 20 individu dalam satu juta penduduk dunia.

Katanya, Ichthyosis bukan sahaja menyebabkan kulitnya bertukar menjadi merah, tetapi turut mengakibatkan kulitnya mengelupas dan bersisik. “Penyakit ini telah menyebabkan ramai orang takut kepada saya, ada sesetengah kanak-kanak menyorok apabila nampak saya. Perkara ini begitu menyedihkan saya. “Saya tidak tahu kenapa mereka perlu takut, saya berharap persepsi sebegini akan berubah,” jelas Findlay. Findlay bagaimanapun tidak menyatakan bilakah dia mula mengidap penyakit berkenaan. Findlay berharap orang ramai akan dapat menerimanya seperti manusia normal, bagi membolehkan dia menikmati kehidupan dengan lebih sempurna.-AP




.

Polis percaya 2 lelaki yang ditembak mati adalah anggota tentera Sulu



Polis percaya 2 lelaki yang ditembak mati adalah anggota tentera Sulu | Polis menembak mati dua lelaki, yang dipercayai anggota pemberontak tentera Sulu dan menjadi antara penggerak utama merekrut anggota baharu, di kawasan rumah kedai, Penampang Baru, Sabah, hari ini. Dalam kejadian pukul 5 petang itu, sepasukan anggota polis telah mengepung kenderaan dinaiki kedua-dua lelaki tersebut sebelum kedua-dua mereka cuba melepaskan tembakan dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Menurut sumber polis, pihaknya telah membuat intipan beberapa minggu lalu mengenai aktiviti kedua-dua pemberontak terbabit dan mendapati mereka cuba merekrut anggota baharu dan menyebarkan ideologi kesultanan Sulu di seluruh Sabah serta mengajar elemen keganasan. “Suspek berusia 30-an dan 50-an berasal dari Kota Kinabalu. Mereka juga sedang cuba melakukan samun bersenjata di kawasan kedai itu.

Polis kini sedang mengesan saki baki kumpulan ini dan mereka juga dipercayai mula aktif di luar kawasan pantai timur Sabah,” katanya ketika dihubungi. Pada Feb 2013, negara dikejutkan dengan pencerobohan pemberontak bersenjata tentera Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu dan Semporna di perairan Pantai Timur Sabah yang menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan negara terkorban. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!