Saturday, December 20, 2014

Remaja didapati tidak bersalah bunuh dua budak, 70 tahun selepas dia menjalani hukuman mati



Remaja didapati tidak bersalah bunuh dua budak, 70 tahun selepas dia menjalani hukuman mati | Seorang remaja lelaki Afrika Amerika Syarikat berusia 14 tahun didapati tidak bersalah membunuh dua budak perempuan berkulit putih-70 tahun selepas dia menjalani hukuman mati dengan kerusi elektrik. George Stinney Jr sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi orang paling muda pada kurun ke-20 untuk dihukum bunuh di negara itu.

Bagaimanapun, seorang hakim di Carolina Selatan, Carmen Mullins semalam memutuskan Stinney dianiaya sistem keadilan negara itu. Katanya, Stinney tidak mendapat pembelaan sewajarnya melalui peguam belanya, malah pengakuannya kepada polis juga mungkin diperoleh secara paksa. Dia juga mendapati tiada bukti kukuh mengaitkan Stinney dengan tempat kejadian. -AP




.

Lelaki warga Amerika alami tekanan perasaan dan cuba terjun bunuh diri di Pulau Pinang



Lelaki warga Amerika alami tekanan perasaan dan cuba terjun bunuh diri di Pulau Pinang | Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang dipercayai mengalami tekanan perasaan berjaya diselamatkan ketika cuba terjun dari tingkat empat hotel penginapannya di Jalan Kinta di sini dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi ini. Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 50-an itu pada mulanya bertindak memecahkan lampu hotel berkenaan sebelum cuba terjun dari kawasan tangga kecemasan namun berjaya dipujuk pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan. Lelaki berkenaan difahamkan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. - Utusan




.

Subhanallah... Niat baik lelaki gelandangan ini membuatkan dia mendapat balasan yang tidak dijangka



Subhanallah... Niat baik lelaki gelandangan ini membuatkan dia mendapat balasan yang tidak dijangka | Seorang lelaki gelandangan yang sanggup menawarkan wang dikumpul sepanjang hari kepada seorang wanita yang tidak cukup wang bagi membayar tambang teksi di bandar Preston, di sini, pada malam 4 Disember lalu, menerima ‘pulangan’ sehingga lebih£21,000 (RM114,383) selepas wanita itu membalas budi dengan mencari dana untuk membantunya.

Gelandangan dikenali sebagai Robbie itu menawarkan £3 (RM16) kepada penuntut Universiti Lancashire, Dominique Harrison-Bentzen, 22, selepas wanita terbabit tidak cukup wang untuk membayar tambang teksi kerana beg duitnya hilang. Robbie turut bimbang dengan keselamatan wanita itu sehingga sanggup memberi wang supaya Dominique dapat pulang ke rumah dengan selamat.


Bagaimanapun, Dominique enggan menerima wang berkenaan sebelum dijemput ibunya, tetapi terharu dengan kemurahan hati Robbie menyebabkan dia nekad membantunya. Wanita itu memuat naik status di Facebook dan Twitternya untuk mendapatkan sokongan orang ramai sehingga menjadi viral di seluruh dunia, malah turut tidur semalaman di tepi jalan di Bandar Preston Selasa lalu untuk mencari wang membantu Robbie. Hasilnya, lebih £21,000 (RM114,383) berjaya dikutip dan Dominique turut melancarkan laman web untuk mencari dana bagi membantu Robbie membayar deposit rumah flat. -Telegraph




.

Inilah 12 Barang Kawalan Sempena Krismas



Inilah 12 Barang Kawalan Sempena Krismas  | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Jumaat mengumumkan penetapan harga maksimum bagi 12 jenis barang terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2014 yang akan berkuat kuasa selama lima hari bermula 23 Disember. Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata 12 barang itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan tanpa tulang dengan harga maksimum di Semenanjung sahaja, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, gred B, gred C, tomato dan lada benggala hijau.

Beliau berkata peniaga diwajibkan menjual barang berkenaan mengikut harga terkawal yang ditetapkan, dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barang lain sepanjang tempoh berkenaan. Harga maksimum itu ditetapkan di 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak dan 27 daerah di Sabah. Para peniaga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini.

"Ketetapan harga antara zon mungkin berbeza antara satu sama lain, tapi umumnya semua harga tersebut berdasarkan harga tempatan masing-masing, mungkin jika sesuatu kawasan itu agak jauh sedikit dari kawasan bandar harganya mungkin lebih tinggi sedikit.. tapi inilah dia harga-harganya yang ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar sejurus selepas mengunjungi tapak Pasar Tamu di sini. Hasan berkata secara umumnya harga kawalan kebanyakan barang itu kekal atau lebih rendah berbanding harga semasa, dan menurutnya penentuan harga itu dibuat menerusi pemantauan harga barang di seluruh negara oleh pihak kementerian, pandangan pelbagai agensi berkaitan, dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong.

Sementara itu beliau berkata ayam Belanda tidak termasuk dalam senarai harga terkawal kali ini disebabkan beberapa masalah teknikal, dan pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenainya. "Syarikat yang menguruskan import ayam ini dengan syarikat dari Australia ada masalah teknikal sikit, jadi kami keluarkan ayam belanda ini daripada skim kawalan tahun ini. Namun begitu kami sudah berunding dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, jika ada keperluan untuk import ayam-ayam ini, mereka akan keluarkan AP (permit) import," katanya.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa hasil rundingan dan perjumpaan dengan banyak pihak pemborong, semua barang keperluan dijamin mencukupi, dan tidak ada sebab bagi para peniaga untuk menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Merujuk kepada penentuan harga barang yang dikaitkan dengan perubahan harga minyak dunia, Hasan berkata ia terserah kepada kuasa pengguna. "Harga minyak ini kita tidak boleh buat ramalan, jika masa depan harganya jatuh, mungkin banyak lagi harga barang akan jatuh, maka di pihak pengguna, termasuk NGO, boleh menggunakan kuasa penggunanya nanti untuk menuntut para peniaga supaya menurunkan harga barang jika harga minyak terus jatuh," katanya. -Mstar




.

Harga minyak turun tetapi harga barang tak turun - Persatuan Peniaga



Harga minyak turun tetapi harga barang tak turun - Persatuan Peniaga | Persatuan pengguna tidak menolak kemungkinan bahawa harga barang akan kekal mahal meskipun harga minyak dijangka turun, awal tahun depan. Setiausaha agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj berkata, kebiasaanya peniaga akan mengambil kesempatan ke atas penurunan harga minyak dengan tidak menurunkan harga barang jualan mereka. "Apabila ia (harga minyak) naik, ia akan memberi kesan pada semua... dan saya harap apabila ia turun, ia akan memberi kesan (baik) juga," katanya.

Bagaimanapun beliau berharap penurunan harga minyak itu nanti akan memberi kebaikan kepada pengguna dan berharap agar peniaga tidak mengambil kesempatan. Dalam pada itu, Selvaraj berkata, pengguna juga harus berhati-hati dan mencari alternatif lain bagi mengelakkan diri dari dibebani kos yang tinggi. "Mereka juga harus beri tekanan kepada para peniaga dan harus tunjukkan bahawa mereka tidak gembira dengan tindakan para peniaga tersebut," katanya. Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah turut bersetuju bahawa harga barang tidak mungkin akan turun.

"Dari segi kos akan menurun... sama ada harga barang akan turun, itu tidak pasti. Dari pengalaman, bila naik semua akan naik tetapi bila turun ia tidak menampakkan apa-apa perubahan," katanya. Jelas beliau, keadaan tersebut akan berterusan melainkan kerajaan mengambil tindakan atau menggubal dasar bagi menguatkuasakan perkara ini. Katanya, penurunan harga minyak hanya akan memberi sedikit kelegaan dari segi harga minyak yang lebih murah kepada pengguna. Beliau juga menyeru kepada para peniaga supaya berkongsi kelebihan yang diperolehi dengan menurunkan harga barang apabila harga minyak telah turun.

Kerajaan dijangka mengumumkan harga baharu minyak RON95 dan RON97, pada kadar yang lebih rendah berikutan kejatuhan harga minyak global, pada 31 Disember. Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Ahmad Maslan berkata kadar itu belum dapat diumumkan pada masa ini memandangkan kerajaan masih mengkajinya. Beliau berkata berikutan penurunan harga minyak itu, peniaga diminta menurunkan harga barang keperluan harian memandangkan harga barang masih tinggi dan belum diturunkan walaupun harga bahan api sudah diturunkan sebelum ini.-Awani




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!