Harga minyak turun tetapi harga barang tak turun - Persatuan Peniaga | Persatuan pengguna tidak menolak kemungkinan bahawa harga barang akan kekal mahal meskipun harga minyak dijangka turun, awal tahun depan. Setiausaha agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj berkata, kebiasaanya peniaga akan mengambil kesempatan ke atas penurunan harga minyak dengan tidak menurunkan harga barang jualan mereka. "Apabila ia (harga minyak) naik, ia akan memberi kesan pada semua... dan saya harap apabila ia turun, ia akan memberi kesan (baik) juga," katanya.
Bagaimanapun beliau berharap penurunan harga minyak itu nanti akan memberi kebaikan kepada pengguna dan berharap agar peniaga tidak mengambil kesempatan. Dalam pada itu, Selvaraj berkata, pengguna juga harus berhati-hati dan mencari alternatif lain bagi mengelakkan diri dari dibebani kos yang tinggi. "Mereka juga harus beri tekanan kepada para peniaga dan harus tunjukkan bahawa mereka tidak gembira dengan tindakan para peniaga tersebut," katanya. Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah turut bersetuju bahawa harga barang tidak mungkin akan turun.
"Dari segi kos akan menurun... sama ada harga barang akan turun, itu tidak pasti. Dari pengalaman, bila naik semua akan naik tetapi bila turun ia tidak menampakkan apa-apa perubahan," katanya. Jelas beliau, keadaan tersebut akan berterusan melainkan kerajaan mengambil tindakan atau menggubal dasar bagi menguatkuasakan perkara ini. Katanya, penurunan harga minyak hanya akan memberi sedikit kelegaan dari segi harga minyak yang lebih murah kepada pengguna. Beliau juga menyeru kepada para peniaga supaya berkongsi kelebihan yang diperolehi dengan menurunkan harga barang apabila harga minyak telah turun.
Kerajaan dijangka mengumumkan harga baharu minyak RON95 dan RON97, pada kadar yang lebih rendah berikutan kejatuhan harga minyak global, pada 31 Disember. Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Ahmad Maslan berkata kadar itu belum dapat diumumkan pada masa ini memandangkan kerajaan masih mengkajinya. Beliau berkata berikutan penurunan harga minyak itu, peniaga diminta menurunkan harga barang keperluan harian memandangkan harga barang masih tinggi dan belum diturunkan walaupun harga bahan api sudah diturunkan sebelum ini.-Awani
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment