Friday, February 13, 2015

Kementerian Pendidikan gubal garis panduan baru - Guru Sarawak, Sabah akan mengajar di negeri masing-masing


 Kementerian Pendidikan gubal garis panduan baru - Guru Sarawak, Sabah akan mengajar di negeri masing-masing | Kementerian Pendidikan akan menggubal garis panduan dasar baharu berhubung pengambilan guru untuk menjalani latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan penempatan guru dari Sabah dan Sarawak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, lebih ramai calon dari Sarawak dan Sabah yang layak akan diterima untuk mengikuti latihan perguruan di IPG sementara lebih ramai guru yang berasal dari kedua-dua negeri itu akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah-sekolah di negeri masing-masing.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian sebagai respons kepada rintihan rakyat dari Sarawak yang mengadu terlalu ramai guru dari Semenanjung dihantar untuk berkhidmat di negeri ini sedangkan ramai calon yang layak dari Sabah dan Sarawak sepatutnya diberi peluang untuk mengikuti latihan perguruan di IPG serta universiti. “Kita akan memberi perhatian kepada isu ini yang dibangkitkan semasa pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Sarawak hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional Negeri di sini semalam.

Beliau berkata dasar baharu itu akan dilaksanakan untuk memberi peluang lebih ramai calon yang layak dari Sabah dan Sarawak untuk mengikuti latihan perguruan mengikut syarat-syarat minimum yang sudah ditetapkan. Muhyiddin bersetuju jika lebih ramai guru dari Sabah dan Sarawak mengajar di sekolah-sekolah di negeri masing-masing kerana ia akan mengurangkan kos selain lebih memahami budaya masyarakat tempatan. “Bagi memastikan jumlah tenaga pengajar dari Sarawak dan Sabah meningkat, saya sudah buat keputusan di peringkat kementerian supaya kita naikkan peratusan pengambilan guru terlatih dari Sabah dan Sarawak secara berperingkat-peringkat,” katanya. Katanya, setiap tahun sebanyak 60,000 hingga 70,000 permohonan diterima tetapi hanya antara 3,000 hingga 5,000 jawatan yang ditawarkan. – Bernama




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!