Friday, February 13, 2015

Majlis Agama Islam tampil beri penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung isu berkabung


Majlis Agama Islam tampil beri penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung isu berkabung | Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat di negeri ini berhubung isu berkabung semasa kemangkatan anggota keluar­ga diraja. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd. Rozali Salleh berkata, adat yang menjadi amalan sebagai suatu penghormatan itu adalah harus, cuma tidak boleh dilakukan secara berlebihan atau penganjuran upacara yang bercanggah dengan akidah.

 Katanya, penjelasan terpaksa dibuat selepas mendapatkan pandangan Mufti negeri, Dr. Zulkifly Muda, memandangkan masih ramai yang belum memahami perbezaan antara 'ihdad', berkabung dan pengucapan takziah. “Keadaan ini seterusnya menimbulkan pertelingkahan pendapat terutamanya di laman-laman sosial berhubung perkara itu apabila ada sesetengah pihak menyamakan hukum berkabung itu dengan ihdad dan takziah sedangkan dua perbuatan itu berbeza dengan berkabung sempena kemangkatan para pembesar diraja,” katanya di sini. Beliau menyatakan demikian bagi mengulas soal perkabungan atas kemangkatan bekas Raja Permaisuri Agong keempat, Tengku Ampuan Intan Zaharah Tengku Omar Setia Raja yang juga nenda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Januari lalu.

Katanya, ‘Ihdad’ sebenarnya khas untuk wanita yang kematian suami sahaja dan perkataan itu bermaksud meninggalkan perhiasan, keelokan dan sebagainya sedangkan berkabung bukan bermaksud begitu kerana sesiapa sahaja yang berkabung boleh memakai sebarang pakaian termasuk yang cantik-cantik. “Berkabung juga berbeza dengan hukum ucapan takziah. Ramai yang menganggap berkabung sehingga 40 hari itu terlarang kerana ia seolah-olah seperti memberi ucapan takziah melebihi tempoh tiga hari yang disunatkan,” katanya.

Jelas Mohd. Rozali, dalam kes seperti kemangkatan diraja, jumlah hari untuk berkabung biasanya bergantung kepada taraf atau status yang pernah disandang oleh Almarhum semasa hayatnya. “Jadi, memandangkan Almarhum (Tengku Ampuan Intan Zaharah) pernah menjadi Sultanah Terengganu dan ditabalkan sebagai sebagai Raja Permaisuri Agong, maka, waktu berkabung selama 40 hari itu adalah perlu,” ujar beliau. Tambah Mohd. Rozali, walaupun berkabung itu merupakan hukum adat yang harus dilakukan sebagai tanda simpati, menghormati peristiwa kemangkatan, namun keharusan tersebut mestilah tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.-Utusan




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!