Tuesday, February 10, 2015

Tragedi berdarah ketika tonton bola di stadium



Tragedi berdarah ketika tonton bola di stadium | Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila beribu-ribu peminat bola cuba merempuh masuk ke dalam sebuah stadium di sini tanpa membeli tiket, semalam. Tindakan peminat bola tersebut menyebabkan polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke udara. Akhbar News Nation melaporkan, Kementerian Dalam Negeri berkata, kejadian itu berlaku di luar Stadium Pertahanan Udara tersebut, sebelum perlawanan Liga Perdana Mesir antara kelab Zamalek dan ENPPI berlangsung.

Pihak berkuasa Mesir berkata, semua mangsa terbunuh akibat dipijak kerana mereka berasak-asak memasuki stadium dan bukan dibunuh polis. Katanya, para penyokong kelab bola sepak Zamalek yang dikenali sebagai Ultras White Knights cuba merempuh masuk ke dalam stadium tanpa tiket. “Lebih daripada 10,000 penyokong yang tidak mempunyai tiket perlawanan cuba merempuh masuk ke dalam stadium Mesir. “Sejumlah daripada mereka didapati terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera kerana dipijak,” kata Kementerian Dalam Negeri Mesir dalam satu kenyataan.


Pasukan keselamatan cuba menyuraikan peminat selepas mereka menyekat jalan raya dan membakar kenderaan polis. Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Hani Abdel Latif, berkata, berbelas-belas peminat kelab bola sepak Zamalek ditahan kerana mencetuskan keganasan. Abdel Latif berkata, seramai 22 anggota polis turut cedera dalam pertempuran itu dan 18 penyokong kelab bola sepak Zamalek ditahan.

Kerajaan Mesir mengehadkan bilangan penonton perlawanan bola sepak di stadium di negara ini sejak rusuhan tercetus di sebuah stadium di Port Said, pada tiga tahun lalu yang menyaksikan lebih 70 orang terbunuh. Sementara itu, Kabinet memutuskan untuk menggantung perlawanan Liga Perdana Mesir selama-lamanya ekoran kejadian itu. Keputusan itu dibuat selepas satu sidang tergempar antara Perdana Menteri Mesir, Ibrahim Mahlab dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Menteri Sukan dan Menteri Kesihatan. – AFP/Agensi




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!