Gadis tidak sangka akan menempuh pengalaman menyayat hati ketika berada di Stesen KTM Alor Setar | Seorang gadis tidak menyangka di saat menunggu rakannya yang menaiki kereta api dari Arau, Perlis ke Alor Setar Kedah, dia melalui satu pengalaman yang menyayat hati. Berkongsi kejadian Ahad lalu di akaun Twitternya, gadis tersebut memberitahu dia ditegur oleh seorang warga emas di Stesen KTM Alor Setar, yang mahu meminjam telefon bimbitnya bagi membuat panggilan. “Adik, makcik nak pinjam telefon sat (sekejap). Telefon makcik tak ada kredit. Ni makcik nak telefon anak makcik, tiga jam dah tunggu," tulisnya di Twitter @fatinuraini_ yang kemudiannya tular sejak Selasa. Dalam posting yang sama dia menulis: "Kami telefon anak lelaki dia tapi saya seakan tak percaya dengan apa yang saya dengar, ‘Mak ni sabaq (sabar) la sat. Cek (saya) tak larat. Satgi (sekejap lagi) cek pi (pergi),” Bercakap kepada mStar Online, gadis berkenaan, Fatin Nuraini Abdul Ghani, 19, berkata, kejadian berlaku tengah hari Ahad, sebaik dia tiba dari Gurun dan berada di tempat menunggu sementara menanti rakannya.
“Di situ, saya ditegur makcik tu. Dah tua, lebih kurang 70-an umurnya. Dia bawa satu beg berisi pakaian, beg tangan dan satu beg plastik besar mengandungi makanan. “Makcik tu kata dia dari Perlis, ambil tren perjalanan paling awal untuk ke Alor Setar. Sebab dia kata anaknya beritahu akan tunggu bila dia sampai. Banyak kali makcik tu telefon anak dia, tapi tak berjawab,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Selepas panggilan dibuat menggunakan telefon bimbitnya, Fatin berkata, anak lelaki makcik tersebut tiba di stesen kira-kira setengah jam kemudian. Jelas anak bongsu daripada lima beradik ini, warga emas itu memberitahu dia datang ke Alor Setar untuk berjumpa dengan anak sulung dan tiga cucunya. “Makcik tu kata dah lama sangat tak jumpa dengan anak dan cucu-cucu dia. Jarang pula berhubung menerusi panggilan telefon. Dia rindu, tu yang datang ke Alor Setar. “Bila anaknya sampai, saya pun beritahu yang makcik dah tunggu tiga jam.
Lepas tu dia pandang mak dia dan kata, ‘Mak ni, kenapa ambil tren awal kalau tak boleh tunggu’,” ujar Fatin, sambil menambah meskipun anak lelaki warga emas itu tidak bercakap dengannya, tetapi dia masih dapat mendengar butiran perbualan mereka.Perkongsian Fatin di Twitter mendapat pelbagai reaksi termasuklah dikecam kerana bersikap ‘judgemental’ atau mudah menghakimi orang lain. Walaupun tidak mengetahui sejauh mana hubungan mereka, Fatin menjelaskan pandangannya itu menyentuh hatinya dan melibatkan perikemanusiaan antara ibu dan anak. “Macam mana saya tak ‘judge’ sebab dia biarkan mak dia tunggu sampai tiga jam... bukan 10 minit ke setengah jam.
“Bayangkan, makcik tu tunggu sampai tengah hari. Dia dah berpeluh-peluh, bila saya tanya pasal teksi, dia cakap bawa duit cukup-cukup. Bila saya tawar untuk tempahkan (perkhidmatan) Grab, makcik tu tak ingat alamat rumah anaknya. “Walaupun di situ tempat awam, tapi masih tak selamat untuk makcik dengan usia sebegitu terpaksa tunggu lama-lama. Saya bukan overreact (bertindak keterlaluan) tetapi lebih kepada common sense (pertimbangan secara waras),” katanya. Fatin yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda tahun pertama di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi kampus Ipoh memberitahu, dia berkesempatan menawarkan air mineral kepada warga emas itu sementara menunggu anaknya.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sedih perasaannya dan rasa sebak berdepan dengan situasi berkenaan, sehingga terbayangkan raut wajah ibu bapanya sendiri. “Saya sebak tengok makcik tu. Ada seorang netizen yang baca luahan saya dan dia kongsi rasa sedih sebab ibunya sudah meninggal dunia. Dia cakap kenapa makcik tu diperlakukan macam tu di saat dia begitu merindui arwah ibunya. “Alhamdulillah, saya bersyukur masih ada kedua ibu bapa. Bagi saya, sayangi dan jagalah orang tua kita selagi mereka ada di duna ini. “Saya sehingga ke hari ini, masih terbayangkan makcik tu. Macam mana keadaan dia. Saya harap dia sihat dan mendoakan segala urusannya dipermudahkan,” ujar Fatin. -Mstar
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment