Friday, January 4, 2019

Bapa kongsi rahsia selepas ramai terkejut tengok Hana Aishah petah berbahasa Inggeris ketika ditemubual dalam tv


 Bapa kongsi rahsia selepas ramai terkejut tengok Hana Aishah petah berbahasa Inggeris ketika ditemubual dalam tv | SETELAH tahun 2018 melabuhkan tirainya dengan pelbagai kisah menarik, 2019 pula dimulakan dengan video tular seorang murid perempuan yang menjadi bualan hangat di seluruh negara kerana kepetahannya berbahasa Inggeris. Gelagat Hana Aishah Mustafa Kamal, 7, yang lancar berbahasa Inggeris sewaktu ditemubual sebuah saluran televisyen tempatan ternyata menarik perhatian ramai. Bapanya, Mustafa Kamal Mohd Taib ketika dihubungi berkata dia sebenarnya turut hairan dan pelik dengan kebolehan Aishah yang mula bertutur dalam bahasa itu sejak kecil lagi. "Dia boleh berbahasa Inggeris sejak umur tiga tahun, masa umur dua tahun masih pelat lagi. Tapi perkataan pertama dia dulu pun dalam bahasa Inggeris.

"Saya pun rasa pelik, dia memang gifted. Aishah ni suka tengok rancangan bahasa Inggeris. Dia belajar sendiri sahaja sampai orang kampung pun panggil dia Aishah London. "Kalau naik kapal terbang atau jumpa pelancong asing, dia tarik tangan saya nak pergi tegur dan bersembang," kata Mustafa pada Khamis.Jelas peniaga berusia 42 tahun itu, dia tidak mempunyai sebarang tip khusus dalam membesarkan anak-anaknya, apatah lagi mengasah kemahiran mereka dalam bahasa Inggeris. Namun, dia yang juga bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) memberi penekanan terhadap pendidikan agama buat Aishah dan lapan lagi anaknya yang lain sejak mereka kecil. "Tak ada rahsia apa-apa, cuma jaga solat dan tekankan pendidikan agama. Macam Aishah, dari usia tiga tahun saya dah ajar solat. Saya juga tekankan pada pembelajaran al-Quran untuk dia. "Dari segi pemakanan pun tak ada apa-apa tip, cuma selera Aishah lain sikit. Dari kecil dia suka spaghetti, pizza, keju. Kalau nasi, dua atau tiga hari sekali sahaja dia makan," kata Mustafa.

Tambahnya lagi, mereka sekeluarga sering belajar bahasa Inggeris dengan Aishah memandangkan dia mampu berkomunikasi dalam bahasa itu dengan lancar, berbanding adik-beradiknya yang lain. Dalam pada itu, Mustafa berkata, Aishah juga seorang anak yang mudah diurus dan dia langsung tidak gentar untuk menjejakkan kaki pada hari pertama persekolahan, pada Selasa. "Dia teruja nak ke sekolah, kejutkan dia untuk bangun pagi pun senang, sekali panggil sahaja dan bangun. "Soalan pertama dia pada guru kelas adalah mengenai peraturan sekolah, apa boleh buat dan apa yang tak boleh buat di sekolah. "Dia memang suka tanya soalan yang pelik. Pernah dia tanya saya, kenapa kita solat ada kiblat ke Makkah, tapi tak nampak Makkah pun.

Jenuh nak menjawab," katanya lagi.Mengulas mengenai video tular anaknya, Mustafa berkata dia bersyukur dan gembira dengan reaksi orang ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa kagum terhadap kebolehan Aishah. Malah, video murid tahun satu Sekolah Rendah Kebangsaan Kedawang, Langkawi, Kedah itu turut menerima ratusan ribu tontonan menerusi laman Facebook, Twitter dan Instagram. "Bapa mana yang tak suka. Saya bersyukur sangat. Semoga ia menjadi contoh kepada anak-anak lain. "Penguasaan bahasa Inggeris sangat penting, bila kita kuasai bahasa asing, lebih banyak ilmu kita boleh dapat," jelasnya lagi. Tambahnya, Aishah juga pernah menyuarakan hasratnya untuk menjadi seorang doktor atau pereka fesyen apabila dewasa kelak. -Mstar





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!