Showing posts with label Aneh/Seram. Show all posts
Showing posts with label Aneh/Seram. Show all posts

Tuesday, April 9, 2019

Gadis dakwa bunuh dan makan alat sulit adik kandung dalam satu upacara pelik



Gadis dakwa bunuh dan makan alat sulit adik kandung dalam satu upacara pelik  | SEORANG gadis di Brazil didakwa menyeksa adik lelakinya yang berusia lima tahun sehingga mati. Lebih teruk, dia juga mengaku telah memotong dan makan kemaluan adiknya itu. Polis sedang menyiasat kemungkinan jenayah itu berkait dengan upacara sihir memandangkan mayat ditemui di lantai dalam keadaan dikelilingi beberapa lilin. Mayat Maycon ditemui oleh ibunya pada Khamis malam selepas seorang saudara mereka memecah masuk ke kediaman itu yang terletak di di Sao Roque, Brazil selatan. Suspek, Karina, 18, turut ditemui sedang berdiri di samping mayat kanak-kanak itu. Ujar detektif terlibat, mayat mangsa ditemui dengan kecederaan yang mengerikan.

Selain kepalanya dipenggal, matanya juga dicederakan manakalah bahagian kaki telah dibakar. Selain itu, alat sulit mangsa turut dipotong sebelum dimakan oleh suspek. Menurut polis, kejadian berlaku sewaktu ibu mereka keluar membeli-belah. Wanita itu terpaksa dipapah jiran selepas menemui anaknya dalam keadaan ngeri. Suspek dikatakan cuba meloloskan diri namun sempat dihalang oleh saudara-maranya.

Menurut polis lagi, Karina dikatakan memperdaya adiknya sebelum dia dilemaskan dengan bantal. Pihak forensik turut menemui telefon bimbit yang telah dibakar, berkemungkinan untuk memadam bukti. "Kami percaya telefon itu milik suspek, dia sengaja rosakkan untuk padam bukti kenalan dalam taliannya. "Kami sedang menyiasat jika dia terlibat dengan upcara pemujaan syaitan. Kami ingin tahu jika dia ada kaitan dengan kumpulan sdedemikian di laman sosialnya. "Dia juga akan melalui pemeriksaan untuk melihat jika dia berada di bawah pengaruh dadah atau sebagainya," ujar Detektif Goes. Karina kini ditempatkan di sel berasingan di Penjara Wanita Votorantim di Sao Paulo - Daily Star.





.

Thursday, February 21, 2019

Wanita ini mahu beg tangan diperbuat daripada kulit kaki sendiri



Wanita ini mahu beg tangan diperbuat daripada kulit kaki sendiri  | SEORANG wanita berusia 55 tahun dari Manchester, England yang mengalami penyakit arteri periferal bakal kehilangan kaki selepas menjalani pembedahan. Dia kini mencari seorang pengilang yang sedia untuk membuat beg tangan kulit menggunakan kulit daripada kakinya yang dipotong itu. Sewport , platform dalam talian yang menghubungkan jenama dan pengilang, menerima permintaan pelik itu daripada seorang wanita yang mencari pengeluar barangan kulit. Dia mahu menggunakan kulit daripada kakinya yang akan dipotong atas tujuan perubatan, untuk dijadikan sebagai beg tangan. Permintaan wanita itu dianggap munasabah kerana sebab-sebab yang diberikannya adalah relevan, dan pencarian pengilang dilakukan. Pesakit tersebut tidak boleh menerima hakikat mengenai kakinya yang akan dipotong akan dibiarkan sia-sia selepas pembedahan.

Sehubungan itu, dia perlu merancang sesuatu bagi memastikan bahagian kaki itu dapat disimpan. "Saya tahu ia mungkin pelik dan jijik, dan ada yang mungkin fikir saya gila. Tetapi ia adalah kaki saya dan saya tidak boleh terima keadaan ia dibiarkan begitu sahaja," tulis wanita yang bernama Joan menerusi mesejnya kepada Sewport. "Ia merupakan sebahagian daripada saya dan saya mahu menyimpannya," katanya. Joan kemudian mengirimkan lakaran beg tangan dengan idea menggunakan kulit kakinya kepada Sewport, bagi menunjukkan betapa serius berhubung permintaannya yang luar biasa itu. - odditycentral




.

Wednesday, January 30, 2019

Pengusung terjatuh atas keranda semasa pengebumian dan menyebabkan mayat terkeluar



Pengusung terjatuh atas keranda semasa pengebumian dan menyebabkan mayat terkeluar | BANYAK kejadian boleh berlaku semasa upacara pengebumian, dan kejadian ini mungkin antara yang paling teruk. Seorang pengusung keranda tersadung dan terjatuh di atas keranda yang sedang dimasukkan ke dalam lubang kubur ketika orang ramai di sekelilingnya sedang sedih, dalam kejadian di daerah Pampas, Peru. Pembawa keranda tersebut tergelincir, jatuh di atas keranda sebelum ‘mendarat’ di dalam lubang.

Keranda tersebut turut terhempas dan terbalik.Ketika lelaki itu bergelut untuk naik ke atas, mereka yang lain cuba menghalang penutup keranda daripada terbuka bagi mengelakkan mayat terjatuh, tetapi penutupnya kelihatan rosak.Bagaimanapun lelaki itu berjaya keluar dari lubang kubur dan mayat tersebut berjaya dibawa naik walaupun tanpa penutup dan orang ramai dapat melihatnya. Mayat kemudian dikebumikan semula seperti yang dirancang. -MetroUK




.

Friday, January 11, 2019

Selepas 10 malam orang dah tak lalu kawasan ni disebabkan ada pelbagai kisah aneh dan seram akan berlaku



Selepas 10 malam orang dah tak lalu kawasan ni disebabkan ada pelbagai kisah aneh dan seram akan berlaku | PAGI itu Prebet Azam yang bertugas di sebuah kem di Sungai Buloh, Selangor mendapat kiriman mesej menerusi telefon bimbit daripada kakaknya. Mesej itu berbunyi: “Zam… ayah tenat di kampung. Kau minta la cuti, balik segera!” Azam yang kebetulan berada di tempat kerjanya terus memohon cuti kecemasan dan ia diluluskan bosnya. Dalam hatinya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bimbangnya Azam akan keadaan bapa yang sudah lama menghidap komplikasi buah pinggang.Dia bertolak pulang menaiki bas dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang dan tiba di Hentian Bas stesen Kamunting, Taiping kira-kira pukul 9.30 malam. Malangnya bas dari Kamunting untuk ke kampung Azam di Kubu Gajah, Selama Perak sudah tiada. Bas terakhir untuk ke bandar itu ialah pukul 7.30 malam.

Hati Azam resah, jarak antara Kamunting ke Kubu Gajah bukannya dekat, memakan masa sejam, jarak kira-kira 40 kilometer. “Ayah semakin tenat, takkan aku nak duduk di stesen bas ni sampai pagi esok? Macam mana sekali pun aku kena balik malam ni juga,” bisik hati Azam.Lantas Azam tiada pilihan lain, melainkan dia perlu menaiki teksi walaupun dia tahu, caj yang akan dikenakan berlipat kali ganda kerana jarak dan masa. Ketika bergerak ke hentian teksi yang tidak jauh dari situ… Azam mendekati seorang lelaki berusia lewat 40-an dengan memberitahu dia mahu pulang ke Kubu Gajah. “Apa… Kubu Gajah? Hisshh.. Kalau saya ambik pun tambang mahal ni dik. Dah tengah malam. Tempat tu jauh. Pergi ada orang, balik… takdak orang. Lagipun… takut juga dari sana nak balik nanti,” terang pemandu teksi tu. Jam dah hampir 10 malam… Dia perlu sampai ke kampung untuk segera bertemu ayah. Malang sekali, tiada pemandu teksi yang sudi mengambil Azam sebagai penumpang.

Dalam keadaan fikiran yang agak serabut, Azam kembali ke hentian bas dan dia mundar-mandir di situ. Tiba-tiba seorang lelaki pertengahan usia menghampirinya. “Adik nak ke mana? Dari tadi pakcik tengok macam susah hati,” tanya pakcik yang seolah-olah faham akan wajah cemas Azam ketika itu. Akhirnya Azam menceritakan sehinggalah menimbulkan rasa simpati pakcik berkenaan. “Pakcik nak balik Batu Kurau, ni baru lepas hantar anak, dia balik KL, naik bas jam 10 (malam) tadi. Kalau adik nak pakcik hantar boleh… tapi separuh jalan sajalah, sebelum hutan Pondok Tanjung. Sebab pakcik nak kena patah balik, nak ke Batu Kurau. “Terus terang, pakcik memang tak berani lalu hutan Pondok Tanjung tu, nak pulak tengah malam gini,” ujar pakcik itu. Azam tiada pilihan, disebabkan pengalamannya sebagai anggota tentera yang sudah biasa dengan aktiviti lasak, dia bersetuju dengan cadangan pakcik tadi.Maka kenderaan jenis Proton Wira dipandu pakcik tersebut bergeraklah menuju ke destinasi seperti dijanjikan. Setiba di Pondok Tanjung, akhirnya pakcik tadi memberhentikan keretanya.

“Sampai di sini sajalah Azam pakcik hantar seperti kita janjikan tadi ya. Harap-harap Azam selamat sampai di kampung. Kalau kebetulan ada kereta lalu, cuba la tahan… Boleh tumpang,” kata si pakcik. Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam. Jarak antara lokasi Azam turun dari kenderaan ditumpang menuju ke kampungnya kira-kira 15 kilometer. Masih jauh lagi. Dalam keadaan pekat malam yang hanya ditemani sinaran cahaya bulan, Azam terus mengatur langkah berjalan membelah hutan simpan Pondok Tanjung yang selama ini dikaitkan dengan pelbagai kisah-kisah seram pada waktu malam. Antaranya ada orang pernah melihat gajah sebesar treler melintas, harimau berjalan bersama anak dan orang mengusung keranda seperti membawa jenazah untuk pengebumian.Selain itu kerap juga berlaku kemalangan di satu selekoh apabila pemandu tidak sempat membelok kenderaan lalu terbabas dan kereta terjunam dalam denai hutan itu. Pada malam itu kisah-kisah seram yang masih tersimpan dalam memorinya subur kembali. Selepas kira-kira setengah jam berjalan bersama beg pakaian yang digalas, tiba-tiba terdengar desiran angin seolah-olah menceritakan sesuatu kepada Azam. Tanpa menoleh ke belakang, Azam hanya berdoa agar dijauhilah daripada musibah termasuk jika ada haiwan-haiwan buas di hutan itu.

Di depannya kira-kira 15 meter, kelihatan kelibat seorang ibu berjalan berpimpin tangan anaknya. Semakin dekat Azam menghampiri, semakin perlahan mereka mengatur langkah. Dalam hati, Azam berkata mustahil pada malam sebegitu ada ibu berjalan dengan anak seorang diri. Ia tentunya bukan manusia. Azam terus berjalan melintasi ‘ibu dan anak’ tanpa mempedulikan mereka dan tidak lama kemudian ketika menoleh ke belakang, tidak kelihatan lagi kelibat mereka itu. Dalam keadaan hati semakin berdebar, pegangan Azam hayalah dua iaitu memohon bantuan Allah selain agar cepat sampai di kampung. Tatkala mahu melintasi kawasan anak sungai pula, Azam terdengar bunyi beberapa wanita ketawa seolah-olah ada pesta di bawah jambatan. Tiba di kawasan itu, Azam melihat tiga wanita sedang mandi-manda dengan hanya kepala mereka sahaja kelihatan pada permukaan air. Namun itu pun hanya samar-samar bawah pancaran bulan purnama.

 Dia melihat wanita-wanita itu melambai dan kali ini hanya tangan sahaja muncul dari dalam sungai seperti mahu memanggilnya untuk mengajak mandi bersama. Ia mungkin satu godaan dan jika dia menurut permintaan itu, mungkin dia akan menjadi mangsa lemas sungai berkenaan. Justeru, kaki Azam semakin laju melangkah dan dalam masa sama hatinya terus berbisik, apa lagi ujian yang akan dia tempuh? Ketika hatinya berkata-kata, tiba-tiba dia terdengar suara mendayu-dayu dari hutan rimba dengan keadaan pohon-pohon turut bergoyang. “Huu… huuu… huuuuuu,” seperti orang meniup angin. Kali ini kaki Azam menjadi lemah dia rasa bagaikan mahu rebah. Jantungnya terus laju berdegup namun dia tetap kuatkan semangatnya sehinggalah dia tiba di penghujung hutan simpan itu. Tidak jauh, terdapat perkampungan tanah rancangan dan dia berhenti bawah pondok menunggu bas untuk berehat selepas letih berjalan.

 Jam pada waktu itu sudah pukul 3 pagi dan Azam tidak dapat meneruskan perjalanan sebaliknya tertidur di pondok bas itu sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi motosikal seorang pemuda yang mahu pergi menoreh getah. “Hang nak pi mana ni? Awat… tidoq (tidur) sini,” tanya pemuda itu. “Saya nak balik kampung, bas habis… penat berjalan kaki, terlena bawah pondok ni,” ujar Azam lalu dia menceritakan apa yang berlaku. Ketika itu jam sudah pukul 6.30 pagi dan Azam bernasib baik kerana pemuda itu sanggup menghantarnya pulang ke rumah. Setiba di kampung, Azam bersyukur kerana sempat bertemu ayahnya yang sedang tenat sebelum meninggal dunia tengah hari kemudian. Kisah Azam itu membuatkan dia menjadi serik untuk melalui kawasan itu lagi pada waktu malam. Benarlah kata penduduk setempat, tiada siapa berani melalui kawasan hutan Pondok Tanjung selepas pukul 10 malam kerana ada kisah menakutkan tersembunyi di sebalik kelam hutan itu. -Mstar





.

Wednesday, January 9, 2019

Keluarga percaya mayat anak remaja mereka dicuri untuk upacara 'perkahwinan hantu'



Keluarga percaya mayat anak remaja mereka dicuri untuk upacara 'perkahwinan hantu' | MAYAT seorang remaja dicuri dari kuburnya di China dan disyaki ia dilakukan untuk menjalankan 'perkahwinan hantu'. Dikenali sebagai 'minghun' atau 'perkahwinan roh', perkahwinan hantu Cina melihat mayat-mayat berkahwin dengan orang yang hidup dalam upacara yang dianggap membawa damai kepada orang mati dalam kehidupan akhirat. Ia dilakukan terutamanya jika pengantin perempuan atau lelaki meninggal dunia secara tiba-tiba sebelum melangsungkan perkahwinan atau individu itu menghembuskan nafas terakhir ketika masih bujang. Pada 2015, 14 mayat wanita dicuri di satu kampung di wilayah Shanxi, menurut BBC. Sebuah keluarga dari kampung di China Utara percaya bahawa mayat saudara perempuan mereka yang meninggal dunia pada usia 18 tahun telah dicuri untuk majlis tersebut.

Gadis itu telah dikebumikan dalam satu upacara sederhana hampir dua dekad lalu. Memetik laporan Mirror UK, mereka berkata, keranda mayat remaja perempuan itu tidak mengandungi apa-apa barangan berharga. Di tapak kubur remaja itu, terdapat sepasang sarung tangan yang disyaki milik salah seorang penggali kubur telah ditemui dan kini menjadi sebahagian daripada bukti polis. Keluarga mendedahkan orang yang tidak dikenali pernah melawat rumah mereka untuk membeli mayat remaja tersebut untuk dijadikan 'pengantin mayat' bagi mengadakan perkahwinan hantu. Mereka bagaimanapun telah menolak tawaran itu. -AP




.

Friday, January 4, 2019

Wanita dedah dia pernah meninggal dunia sebelum kembali hidup setelah terlibat dalam kemalangan ski



Wanita dedah dia pernah meninggal dunia sebelum kembali hidup setelah terlibat dalam kemalangan ski | SATU perkara yang mustahil, namun seorang wanita mendakwa dia pernah meninggal dunia sebelum kembali hidup setelah terlibat dalam kemalangan ski, beberapa tahun lalu. Rhianna Shaw, 29, berkata, dia sudahpun meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu bermain ski pada 2012. Menerusi kejadian itu, Rhianna sedang bermain ski bersama beberapa kawannya di resort ski St Anton, Austria.Ujar Rhianna, kejadian itu bermula apabila dia berlanggar dengan seorang peluncur ski sebelum terjatuh 200 meter dari gunung itu. "Perlanggaran itu sangat kuat. Ia menyebabkan keretakan pada kawasan itu dan saya jatuh 200 meter.

"Tiba-tiba saya berhenti bergerak, tak boleh melihat. Apa yang saya rasa, saya tak boleh bernafas. "Saya cuba menjerit tetapi tiada siapa yang dengar. Selepas itu saya rasa tenang. Saya mula berjalan dengan tenang dalam hutan besar. Semua pokok hijau dan besar," katanya sewaktu menggambarkan kehidupan selepas mati. Tambahnya lagi, dia menggambarkan situasi selama 20 minit itu sangat terang, berangin dan menenangkan. Namun kata Rhianna, tubuhnya yang diliputi salji akhirnya ditemui rakan-rakannya sebelum dia berjaya bangkit dan kembali hidup semula, dakwanya. "Mujurlah saya ditemui mereka. Mula-mula mereka lihat alat ski saya sebelum nampak bahagian kaki. "Muka saya masa tu memang putih dan tiada denyutan nadi. Sewaktu sedar, saya lihat kawan saya sedang cium saya, sangat pelik," katanya. - Daily Star.





.

Monday, December 17, 2018

Pemburu hantu selesaikan misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang sejak 57 tahun



Pemburu hantu selesaikan misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang sejak 57 tahun | SEORANG lelaki yang mengupah pemburu hantu untuk membantunya menyelesaikan misteri kehilangan bapanya mendapati ada rangka mayat dikebumikan di ruangan bawah tanah kediamannya. Mike Carroll, 57, selalu tertanya-tanya apa yang berlaku kepada bapanya, George Carroll, selepas keluar membeli sekotak rokok pada 1961 dan tidak pernah pulang selepas itu. Pemburu hantu diupah untuk membantunya menyelesaikan misteri tersebut dan berkata mereka sekeluarga berasa ada 'semangat' yang datang daripada ruang bawah tanah. Pada Halloween lalu, rangka itu ditemui oleh Mike dan dua orang anaknya di bawah tanah mereka di Long Island, New York di Amerika Syarikat. Pihak berkuasa mengesahkan bahawa rangka itu milik waris keluarga terbabit pada Rabu.

Beliau berkata: "Saya gembira ia sudah berakhir dan tidak perlu memecahkan rumah saya lagi."Ketika kami mengetahui tentangnya, saya berasa kagum kerana itulah yang saya fikir selama ini. Rangka mayat George ditemui di bawah konkrit yang dipercayai telah dituangkan ke atasnya. Mike, yang baru berusia lapan bulan ketika bapanya hilang juga diberitahu oleh pemburu hantu tersebut tentang bagaimana ayahnya meninggal dunia. Dia memberitahu New York Post: "Saya diberitahu oleh psikik (pemburu hantu) bahawa ia adalah serangan trauma menggunakan kekerasan. "Dia kata kepada saya bahawa dia dipukul dengan paip dan dikebumikan hidup-hidup." Pasukan penyiasat memutuskan bulan lalu bahawa tengkorak mangsa dicederakan secara serangan trauma menggunakan kekerasan.

Bagaimanapun, pihak polis mengatakan bahawa tidak mungkin mereka dapat mengetahui siapa yang membunuh George. Ibu Mike, Dorothy, dikatakan telah memberikan sedikit maklumat tentang kehilangan suaminya dan tidak pernah memfailkan laporan orang hilang. Dorothy meninggal dunia pada 1998, maka dia tidak lagi boleh disoal siasat. Seorang lagi yang boleh memberi penjelasan mengenai kes itu ialah Richard Darress, suami kedua Dorothy, yang berpindah tidak lama selepas George meninggal dunia. Namun, media tempatan melaporkan bahawa Darres meninggal dunia pada Jun tahun ini. Bagi Mike, penemuan rangka mayat bapanya sudah cukup untuk memberikannya penjelasan tentang kehilangan lelaki itu. - Daily Record





.

Saturday, December 8, 2018

Gambar corak aneh dikesan terbentuk di sebuah ladang barli



Gambar corak aneh dikesan terbentuk di sebuah ladang barli  | Penduduk di bandar Texcoco dekat sini gempar selepas beberapa corak aneh dikesan terbentuk di sebuah ladang barli baru-baru ini. Ramai penduduk percaya bentuk aneh yang disedari seorang penduduk pada awal pagi Krismas lalu itu adalah kesan sebuah kapal makhluk asing yang mendarat di ladang tersebut. Sehari sebelum penemuan itu, beberapa penduduk tempatan mendakwa melihat satu objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar berhampiran kawasan berkenaan. Sebuah akhbar tempatan melaporkan, seorang daripada penduduk itu mendakwa melihat UFO bercahaya terbang di kawasan berkenaan pada waktu malam sebelum bentuk aneh itu dikesan di ladang barli tersebut.

 “Saya terkejut apabila melihat corak aneh di ladang barli itu dan terus membuat laporan polis kerana bimbang ia mungkin kesan daripada pendaratan kapal makhluk asing,” katanya. Bagaimanapun, beberapa pakar beranggapan corak itu mungkin perbuatan manusia atau kesan daripada cuaca buruk yang melanda kawasan berkenaan. – Agensi




.

Thursday, November 29, 2018

Kejadian ribut pasir gergasi lenyapkan sebuah bandar di China



Kejadian ribut pasir gergasi lenyapkan sebuah bandar di China | SATU kejadian ribut pasir di wilayah Gansu, China berjaya dirakam baru-baru ini. Rakaman tersebut ternyata mengejutkan ramai pihak kerana ribut berkenaan membawa kabus pasir yang banyak, seolah-olah melenyapkan bandar berkenaan. Sewaktu kejadian, pemandu diarahkan berhenti di tepi jalan manakala orang awam dinasihatkan berada di dalam bangunan atau rumah sahaja tanpa membuka pintu dan tingkap.Ribut pasir gergasi itu melanda pada Ahad lalu, lapor Meteorologi China. Ribut berkenaan bergerak pada kelajuan 17 meter sesaat, melewati bangunan dan rumah dengan debu pasir yang tebal.


Menurut pihak metereologi, ribut pasir itu dibawa dari Gurun Gobi. Jabatan bomba dan pihak polis turut melakukan rondaan sewaktu kejadian berlaku. Malah, tahap penglihatan pada waktu itu juga terhad kepada 10 meter sahaja. Satu lagi ribut pasir dijangka melanda Beijing tidak lama lagi, lapor agensi Xinhua.- Mirror.UK.




.

Monday, November 26, 2018

Adik beradik terkejut jumpa mayat budak lelaki yang telah dimumiakan di rumah ibu mereka



Adik beradik terkejut jumpa mayat budak lelaki yang telah dimumiakan di rumah ibu mereka | SEORANG lelaki dan dua adik beradik perempuannya sedang membersihkan rumah ibu mereka yang sudah meninggal dunia ketika menjumpai mayat seorang budak lelaki yang sudah dimumiakan. Mereka bertiga sendiri tidak menyedari kewujudan mayat budak lelaki yang dipercayai adalah adik mereka itu. Adik-beradik tersebut menemui mayat berkenaan ketika mengosongkan rumah ibunya di Northallerton, Teesside di England pada 3 Februari lalu. Ketika mengemas rumah ibu mereka, Carol Thompson, ketiga-tiga beradik itu menemui kotak kecil di sebuah almari di bawah tangga. Apabila mereka membuka kotak itu, mereka menemui sampul surat dan mayat budak yang dimumiakan serta dibalut dengan pakaian. Selepas penemuan itu, adik-beradik tersebut membawa kotak itu ke balai polis terdekat, lapor Teesside Live.

Inkues dijalankan di Solberge Hall, Northallerton, pada Rabu, mendengar bahawa mayat itu adalah anak kepada Carol Thompson dan bekas suaminya Melvin iaitu ibu bapa kandung mereka bertiga. Mayat bayi itu kelihatan cukup sifat. Ahli keluarga, termasuk bapa mereka bertiga, Melvin Thompson telah bercakap semasa siasatan dijalankan, tetapi tiada siapa mempunyai idea tentang kewujudan anak lain atau kehamilan tersebut. Laporan bedah siasat dan ujian DNA mendapati bayi itu milik Carol dan Melvin Thompson. Pakaian yang membalut tubuh mayat bayi itu dipercayai bertarikh lewat tahun 1950-an hingga awal 1960-an. - Mirror UK




.

Friday, October 26, 2018

Pemilik terkejut pokok pisang yang ditanam berbuah lebat hingga hampir mencecah tanah



Pemilik terkejut pokok pisang yang ditanam berbuah lebat hingga hampir mencecah tanah | PELIK tapi benar… Begitulah ceritanya apabila pokok pisang di belakang rumah berbuah lebat sehingga hampir mencecah ke tanah. Dipercayai terdapat lebih 1,000 buah dalam setandan pisang yang mengejutkan orang ramai. Peristiwa pelik itu berlaku di sebuah kampung di Dusun Glintung, Desa Kepatihan, Kecamatan Menganti, Gresik yang terletak di Jawa Timur, Indonesia. Pemilik pohon berkenaan iaitu pasangan suami isteri Muhajir, 42, dan Jumiati, 42, berkata, mereka menanam beberapa pokok pisang di belakang rumah kira-kira setahun lalu dan terkejut apabila salah satu daripadanya berbuah pelik. Jumiati berkata, semasa ditanam tiada berlaku pekara aneh sebaliknya ia membesar sepeti pokok pisang lain namun sejak sebulan lalu, mereka mula melihat sesuatu apabila tandannya semakin memanjang.


“Biasanya satu pohon itu kalau berbuah hanya 10 hingga 15 sikat pisang saja, tapi kemarin kami mengiranya ada 51 sikat, itu baru separuh. Mungkin sekarang jumlahnya ratusan sikat kalau sampai ke bawah, sebab ia terus berbuah,” jelas Jumiati kepada Kompas.com. Pokok pisang yang memiliki ketinggian 1.30 meter itu dikatakan terus berbuah dan tidak menunjukkan ia akan berhenti. Lantaran pokok pisang aneh itu menjadi bualan ramai, kediaman pasangan berkenaan menjadi tumpun penduduk setempat yang berhasrat untuk berswafoto. - KOMPAS




#pokokpisang #buahpisang





.

Saturday, August 18, 2018

Anak kambing lahir menyerupai manusia dan suaranya sama seperti tangisan bayi manusia baru lahir



Anak kambing lahir menyerupai manusia dan suaranya sama seperti tangisan bayi manusia baru lahir | Penduduk di kabupaten ini dalam wilayah Nusa Tenggara Barat gempar dengan kelahiran seekor anak kambing dengan satu mata tepat di atas dahinya selain mulut, dagu dan hidungnya didakwa menyerupai manusia. Keadaan luar biasa haiwan itu menyebabkan penduduk setempat tidak mahu melepaskan peluang melihat dan mengambil gambar anak kambing menyerupai manusia itu. Pemiliknya, Khaidir berkata, anak kambing itu dilahirkan kelmarin dan perkara paling mengejutkan adalah suaranya sama seperti tangisan bayi manusia baru lahir. "Saya baru menyedari tentang perkara itu selepas pulang dari masjid. Pada awalnya, isteri saya menyangka ada bayi dibuang berhampiran rumah kami. Setelah diperiksa, ia adalah suara anak kambing tersebut. Suaranya sama seperti bayi manusia," jelasnya.


Isteri Khaidir yang pada asalnya takut akhirnya memberikan susu botol kepada anak kambing tersebut. Difahamkan, ibu kambing tersebut melahirkan dua anak yang mana salah satunya adalah normal. Kejadian aneh itu turut menjadi tular di media sosial. - Kompas.com



#anakkambing #luarbiasa




.

Friday, August 17, 2018

Netizen heboh gumpalan misteri disangka makhluk asing



Netizen heboh gumpalan misteri disangka makhluk asing  | GUMPALAN misteri berwarna merah dan merah jambu menimbulkan spekulasi bahawa makhluk asing telah mendarat di kawasan pergunungan Scottish Highlands. Helen Dow, 50, memuat naik gambar misteri itu di laman Facebooknya minggu lalu sehingga mencetuskan perdebatan di kalangan netizen. Gumpalan itu dikesan dekat kawasan terpencil Loch Etchachan dengan ada netizen mendakwa ia sebagai makhluk asing atau serangan unicorn. Helen yang bekerja sebagai kakitangan sokongan dari Huntly, Aberdeenshire menerusi tulisannya di Facebook berkata:”Mohon bantuan pakar haiwan, sayuran atau mineral atau A.L.F? “Dikesan ketika menggembara di Cairngorms. Perlu zoom untuk meneliti lebih dekat tetapi masih keliru dan bingung,” tulisnya. Rata-rata netizen turut cuba meneka objek misteri itu.


Gilbert Allsop berkata:”Saki-baki serangan unicorn.” Lynn Valentine:”Ia adalah makhluk asing.” Gregor Logan membuat tekaan lebih logik apabila menyifatkan gumpalan itu sebagai Sphagnum Moss sejenis lumut kering yang hidup di kawasan pergunungan. “Sphagnum hijau bertukar putih dalam keadaan panas apabila semua kelembapan diwapkan,” katanya. -AP




#makhlukasing



.

Wednesday, August 8, 2018

Wanita akui mahu anak selapas sebelum ini mendakwa bercinta dengan 'hantu'



Wanita akui mahu anak selapas sebelum ini mendakwa bercinta dengan 'hantu' | SEORANG wanita yang mendakwa bahawa dia jatuh cinta dengan hantu kini mendedahkan mereka mahukan 'anak' bersama-sama. Amethyst Realm menjadi popular di Australia sejak tahun lalu selepas mendakwa dirinya ditiduri 15 hantu sejak berpisah dengan tunangnya, 12 tahun lalu. Wanita itu mendakwa dia sudah tidak ada keinginan terhadap lelaki normal dan mula jatuh cinta dengan hantu kerana dapat berkomunikasi, merasai dan melakukan hubungan seks dengan makhluk ghaib tersebut. Kini dia mendedahkan bahawa kekasih 'baharunya' mahukan anak bersama dengannya. "Satu hari ketika saya berjalan di dalam semak, menikmati keindahan alam, saya dapat merasai satu kuasa yang kuat. Saya tahu kekasih baharu saya sudah datang."


"Ia amat serius. Hakikatnya kami bercakap untuk memiliki anak bersama-sama. "Saya tahu ia bunyi seperti tidak masuk akal tetapi saya sedang berusaha ke arah itu," katanya. Amethyst turut mengakui hubungan seksnya dengan hantu sentiasa berakhir dengan kepuasan. Wanita berusia 29 tahun itu muncul dalam program This Morning pada Disember tahun lalu dan mengejutkan penyampai dengan pendedahannya bahawa dia bercinta dengan hantu. Malah, dia turut mendakwa melakukan hubungan seks dengan 15 hantu yang berlainan. -AP



#seksdenganhantu #bercintadenganhantu #cintaaneh



.

Tuesday, August 7, 2018

Ikuti kisah-kisah aneh yang pernah dilalui oleh seorang lelaki selama puluhan tahun menjadi penggali kubur



Ikuti kisah-kisah aneh yang pernah dilalui oleh seorang lelaki selama puluhan tahun menjadi penggali kubur | “PADA hari itu selepas siap menggali sebuah kubur, saya berehat sambil menunggu jenazah tiba. “Saya duduk berhampiran kubur sambil menunggu rakan sekerja saya balik membeli makanan, ketika itulah secara tiba-tiba dinding kubur yang digali itu mengeluarkan wap sejuk. “Perasaan saya ketika itu merasai sejuk wap itu seperti kita membuka peti sejuk. Begitu juga dengan kawasan persekitarannya,” demikian cerita seorang penggali kubur, Abu Ashari Bahroni. Abu Ashari, 50, menceritakan pengalamannya selama puluhan tahun bekerja separuh masa sebagai penggali kubur. Kejadian yang berlaku kira-kira empat tahun lalu itu adalah pertama kali disaksikannya dan dia mengakui memperoleh iktibar dan keinsafan. Beliau memiliki pengalaman puluhan tahun menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam di Selangor. Menurutnya, dia menyaksikan kejadian itu selepas menggali sebuah kubur bagi mengebumikan jenazah seorang penjawat awam berusia lingkungan 77 tahun.


“Ketika itu jam 12.30 tengahari, saya tengok sendiri pada bahagian dinding kubur arwah berwarna biru dan kelihatan bersalji. “Saya tak panik cuma terkejut kerana ia betul-betul nampak macam ais. Kemudian hilang sebaik sahaja jenazah tiba,” katanya. Abu Ashari menganggap kejadian disaksikan itu sebagai rezeki yang pastinya mempunyai hikmah untuknya. “Mungkin rezeki ALLAH nak tunjuk tentang sikap mulia arwah semasa hidupnya. “Arwah seorang yang rajin menyediakan air di mana-mana sahaja dia berada terutamanya di surau dan masjid,” katanya. Bagaimanapun Abu Ashari berharap kisah berkenaan tidak dianggap mistik oleh sesiapa pun sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran. Itu antara pengalaman Abu Ashari selama menggali kubur yang dianggapnya bukan satu kerja yang mudah.

 “Sejak kecil saya mengikut arwah datuk dan penduduk kampung menggali kubur. “Sampai sekarang saya masih bantu kariah kampung menggali kubur secara bergotong-royong,” katanya. Menurutnya, mungkin ini adalah salah satu daripada infak tenaga yang mampu dicurahkan untuk umat Islam. “Saya harap mudah-mudahan ia diterima ALLAH sebagai penyelamat saya bila saya tiada nanti. ”Saya tak berharap apa-apa, tanggungjawab ini adalah satu fardhu kifayah yang sepatutnya dilakukan semua umat Islam,” katanya. Katanya lagi, setiap penggali kubur mempunyai cerita dan kejadian masing-masing. “Cuma penerimaan orang ramai yang berbeza, saya nak masuk lubang kubur pun kaki jadi sejuk sebenarnya,” katanya. -SH




#kejadiananeh #penggalikubur #kisahsipenggalikubur #anehdanmistik



.

Wednesday, August 1, 2018

Derita selama 14 tahun dengan 'tubuh' tambahan yang tergantung di perut



Derita selama 14 tahun dengan 'tubuh' tambahan yang tergantung di perut | KEHIDUPAN seorang pelajar akan berubah tidak lama lagi selepas 14 tahun 'membawa' anggota badan berlebihan yang tergantung di perutnya. Veronica Cominguez, 14, dari Filipina dilahirkan dengan dua tangan tambahan bersama jari terbantut di perutnya, selepas pasangan kembarnya tidak berkembang dengan baik di dalam rahim. Veronica, yang tinggal di Bandar Iligan, Filipina, telah 'ditemani' dengan tangan anggota tambahan tersebut untuk seluruh hidupnya selama 14 tahun. Setiap hari dia membersihkan tangan pasangan kembarnya dan memotong kukunya apabila panjang. Terdapat juga pertumbuhan lain di bawah lengannya, yang dilaporkan mempunyai otot. "Masa saya masih kecil, saya fikir ia adalah kaki. Tetapi ketika saya membesar, ia menjadi lebih besar. "Ia berat, membataskan pergerakan saya. Ia tergantung dan berayun," katanya.


 Walaupun tidak mampu berjumpa doktor, ibu Veronica, Flora Cominguez, tahu dia mempunyai kembar ketika hamil tetapi ia tidak berkembang sepenuhnya.Malah, Flora telah memilih nama untuk kedua-dua bayi kembarnya, tetapi malangnya pasangan Veronica tidak berkembang seperti yang diharapkan sebaliknya meninggalkan anggota tambahan dibadan Veronica. Flora menjelaskan cecair sering keluar dari perut Veronica dan kadang-kadang terdapat darah dalam cecair tersebut. "Cecair yang keluar dari berbau busuk," katanya. Menurut GMA Network, keluarga gadis itu dinasihatkan untuk mengeluarkan anggota badan di badan Veronica, tetapi mereka tidak mampu melakukan pembedahan. Walau bagaimanapun, selepas permulaan kehidupannya yang luar biasa, gadis itu kini bersedia menjalani pembedahan untuk membuang anggota tambahan.

Penduduk tempatan mengumpul wang untuk Veronica bagi membolehkannya terbang ke Thailand untuk pembedahan. Gadis itu telah menerima pujian kerana sifat sabarnya dan keperibadiannya dan mereka sentiasa menyokongnya dengan berdoa pembedahannya berjaya dan dia sentiasa sihat. Menurut doktornya, Dr. Beda Espineda, pembedahan gadis itu tidak sepatutnya menjadi terlalu rumit. Doktor yang bekerja sebagai pakar bedah pediatrik di Pusat Perubatan Kanak-kanak Filipina itu berkata kebanyakan kes seperti ini boleh dikeluarkan kerana, biasanya, struktur badan yang terlibat tidak penting. -AFP



#kembar #misterianakkembar



.

Tuesday, July 31, 2018

Hidangan burger buaya bakar di Festival Makanan Kuching 2018 buat pengunjung tergamam


Hidangan burger buaya bakar di Festival Makanan Kuching 2018 buat pengunjung tergamam | MELINTAS sahaja gerai di Festival Makanan Kuching 2018 ini, semua pengunjung pasti tergamam melihat seekor buaya yang sedang dibakar. Namun, inilah hidangan yang paling unik dan menjadi tarikan di pesta makanan terbesar bandaraya Kuching pada tahun ini. Hidangan pelik ini dikenali sebagai Kompia Buaya (roti tradisional masyarakat Foochow berintikan daging buaya).Menurut penjualnya, Jackie Ling, sejak hari pertama Festival Makanan Kuching 2018 diadakan pada 27 Julai, semua pengunjung yang lalu di gerainya terkejut namun akan singgah sama ada untuk melihat menu 'rare' ini pada jarak dekat. Katanya, bagi pelanggan bukan Islam, ramai juga yang mencuba Kompia Buaya yang dijualnya pada harga RM10 untuk tiga keping. "Ada orang suka, ada juga yang takut sebab kali pertama melihat seekor buaya depan mata. "Tetapi, ramai juga yang teruja untuk mencubanya," katanya dalam satu temubual.



Jackie, 28, yang kali pertama menjual Kompia Buaya juga tidak menyangka ia menjadi rebutan pengunjung dengan 300 hingga 450 keping roti mampu dijual setiap hari. Jelasnya, Kompia Buaya adalah menu 'ala burger' tetapi daging buaya sedikit keras dan teksturnya seperti daging di bahagian dada ayam. "Semasa Festival Makanan Kuching tahun lepas, saya ada juga jual daging buaya tetapi ia digoreng. "Kali ini, saya cuba jual Kompia Buaya pula dan tidak sangka, begitu ramai orang menyukainya," katanya sambil memberitahu spesis buaya yang digunakan untuk hidangan ini adalah buaya air masin atau Crocodylus Porosus.


Bagaimanapun, timbul isu apabila sesetengah pihak mempersoalkan bagaimana Jackie boleh secara terbuka menjual daging buaya dan dari mana dia mendapatnya, sama ada secara sah atau sebaliknya. Menurut pegawai Jabatan Hutan Sarawak yang enggan mendedahkan identitinya, sesiapa yang menjual daging reptilia dilindungi sepenuhnya itu boleh didenda RM1,000 atau penjara satu tahun. Justeru, Jackie menjelaskan buaya yang diperolehinya adalah secara sah malah dia juga mempunyai lesen yang diluluskan oleh Jabatan Hutan Sarawak. -Mstar






#hidanganburgerbuaya #burgerbuayabakar #hidanganeksotik




.

Thursday, July 5, 2018

Wanita minta pakcik 'jemput' di pantai melalui mimpi selepas 18 bulan hilang ditelan ombak



Wanita minta pakcik 'jemput' di pantai melalui mimpi selepas 18 bulan hilang ditelan ombak | KECOH di Indonesia kisah seorang wanita yang ditemui di pantai selepas diisytiharkan meninggal dunia, satu setengah tahun lalu dipercayai akibat dihanyutkan ombak. Dia ditemui masih hidup tiga hari yang lalu, di pantai yang sama ketika dia hilang dan memakai pakaian yang sama seperti yang dipakai pada hari kehilangannya, lapor Trinun News.Nining Sunarsih, 52, sedang bercuti di Sukabumi, Jawa Barat, ketika gelombang kuat menariknya ke laut dalam kejadian di Pantai Citepus. Dia dilaporkan hilang pada 8 Januari 2017. Pada masa itu, saksi di tempat kejadian berkata mereka mendengar wanita itu menjerit dan tangannya terkapai-kapai meminta bantuan, tetapi tiada siapa yang berani terjun ke laut untuk menyelamatkannya.


Operasi mencari dan menyelamat tidak menemui sebarang petunjuk, sehinggalah seminggu selepas kejadian tragis itu, mayat ditemui di kawasan tersebut. Keluarga Nining diminta datang dan mengenal pasti mayatnya. Walaupun dilaporkan keadaan mayat itu agak teruk, saudara-saudaranya yakin ia bukan mayat Nining kerana tiada tanda lahir di bahagian perut selain bentuk kuku yang sangat berbeza. Disebabkan tiada petunjuk lain, pihak berkuasa mengarahkan ujian DNA dijalankan untuk mendapatkan kepastian. Mereka membandingkan DNA mayat itu dengan dengan anak lelaki Nining, Wanda dan mendapati ia tidak sepadan. Namun, disebabkan operasi mencari tidak memberikan sebarang petunjuk dan kemungkinan peluang Nining masih hidup setelah beberapa hari hilang di laut amat tipis, pihak berkuasa menghentikan pencarian itu dan mengumumkan kematiannya. Keluarga wanita itu tidak dapat menerima hakikat yang Nining sudah mati sebaliknya percaya bahawa dia masih hidup.
Perasaan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana dalam kes seperti ini setiap ahli keluarga akan terus berharap insan kesayangan mereka masih hidup selagi mayat tidak ditemui. Beberapa hari yang lalu, bapa saudara Nining mendakwa bermimpi tentang wanita itu yang meminta dia mencarinya di pantai di Palabuhanratu, berhampiran tempat dia hilang sejak lebih dari satu setengah tahun yang lalu. Dia tidak memberi perhatian pada mimpi itu pada mulanya, tetapi selepas mimpi itu hadir beberapa kali, dia akhirnya memberitahu ahi keluarganya tentang mimpi itu dan memutuskan untuk mencari Nining walaupun sudah lama hilang.

Keluarga Nining mula mencarinya pada malam Sabtu, 30 Jun. Kira-kira jam 12 tengah malam Ahad, mereka menemui Nining dalam keadaan terlentang menghadap ke darat dan diselaputi pasir. Nining masih memakai pakaian yang sama ketika dia dia hilang dan masih memakai sandalnya. "Sepanjang perjalanan pulang, Nining tak boleh bercakap. Kepalanya panas, kakinya sejuk," kata adik Nining, Elah, 35. Dia dibawa pulang ke rumah dan dibersihkan, tetapi kerana kelihatan sangat tidak sihat, mereka membawanya ke hospital. Dia kini berada di hospital tetapi doktor mengesahkan bahawa keadaannya stabil dan dia dijangka pulih sepenuhnya. -AP




#keshilang


.

Tuesday, July 3, 2018

Wanita disahkan maut dalam kemalangan rupanya masih hidup dalam peti sejuk rumah mayat



Wanita disahkan maut dalam kemalangan rupanya masih hidup dalam peti sejuk rumah mayat | WANITA Afrika Selatan yang disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik selepas kemalangan kereta, ditemui masih hidup dalam peti sejuk di rumah mayat, kata perkhidmatan kecemasan hari ini. Perkhidmatan ambulans, Distress Alert, mengesahkan wanita tidak dinamakan itu disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian di luar Carletonville, barat daya Johannesburg, pada awal pagi 24 Jun lalu. Juruteknik rumah mayat kemudian menemui beliau masih hidup dalam peti sejuk beberapa jam selepas kemalangan itu yang menyaksikan keretanya terbalik, menyebabkan semua tiga penumpang tercampak, dua daripadanya maut. “Kami mengikut prosedur, tidak tahu bagaimana ini terjadi.


“Krew amat tertekan, kami tidak akan mengisytiharkan orang yang masih hidup sudah meninggal dunia, kami dalam bidang memastikan orang selamat,” kata pengurus operasi Distress Alert, Gerrit Bradnick. Wanita itu, yang dibawa ke hospital Carletonville selepas didapati masih hidup, tidak menunjukkan tanda selamat apabila dirawat paramedik, tambah Bradnick. “Semua pemeriksaan dilakukan, pernafasan, nadi, jadi pesakit diisytiharkan sudah meninggal dunia,” katanya. Syarikat itu kini melancarkan siasatan berhubung perkara itu. “Paramedik dilatih menentukan kematian, bukan kami. Anda tidak akan menjangka membuka peti sejuk dan mendapat ada seseorang yang masih hidup di dalamnya. “Bayangkan jika kami sudah memulakan bedah siasat dan membunuhnya,” kata sumber di rumah mayat Carletonville kepada akhbar Sowetan.



#mautdalamkemalangan #kemalanganjalanraya #hidupsemula



.

Saturday, June 30, 2018

Doktor veterinar terkejut ketika menyambut kelahiran seekor anak lembu yang memiliki dua kepala di Poland



Doktor veterinar terkejut ketika menyambut kelahiran seekor anak lembu yang memiliki dua kepala di Poland | Seorang doktor veterinar terkejut ketika menyambut kelahiran seekor anak lembu mutan yang berkepala dua di sebuah ladang di sini baru-baru ini. Karolina Szarowska berkata, dia terkejut semasa membantu ibu lembu berkenaan untuk melahirkan anaknya di sebuah ladang di perkampungan Kowalewo Pomorskie. Dia kemudian memuat naik beberapa gambar mengenai haiwan luar biasa itu di media sosial. “Anak lembu jantan berkepala dua. Bagi membantu haiwan ini masih hidup, ia adalah satu tindakan ajaib. Ibunya selamat selepas mengharungi kelahiran sukar ini.


Kedua-dua kepala anak lembu itu dilihat mampu menghisap susu ibunya,” katanya. Bagaimanapun, menurut penternak haiwan itu yang enggan dikenali mengesahkan ia telah mati beberapa jam selepas dilahirkan. “Ia merupakan kelahiran keempat lembu itu dan ini bukan kali pertama lembu berkenaan mengalami masalah kecacatan kelahiran. “Anak pertamanya dilahirkan dengan organ dalaman di luar badan dan malangnya, ia telah mati. Saya amat berharap anak lembu ini hidup tetapi ia juga telah mati,” katanya. – Agensi



#lahirdenganduakepala #anaklembu



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!