Thursday, January 13, 2011

Bertukar warna


Seorang warga emas hairan apabila mendapati salah seekor daripada 30 ikan puyu yang dipeliharanya bertukar warna sejak sebulan lalu iaitu daripada kehitam-hitaman kepada warna putih. Leha Mat Nor, 70, dari Kampung Padang Lati di sini berkata, kejadian pelik itu disedari ketika dia membersihkan akuarium yang menempatkan ikan-ikan tersebut yang dipelihara sejak lima bulan lalu.

"Pada mulanya saya fikir ikan puyu putih itu ikan yang baru dipancing oleh anak, tetapi apabila saya bertanyakan, mereka semua memberitahu tidak pernah memancing ikan puyu putih," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun menyedari perubahan warna ikan itu yang kini diberi nama 'Putih' sebulan lalu, namun hanya memberitahu anak-anaknya baru-baru ini.

"Ini kali pertama saya tengok ikan puyu berwarna putih kerana ikan puyu selalunya berwarna kehitam-hitaman. Saya bimbang hendak beritahu anak-anak takut mereka terfikir perkara yang bukan-bukan," ujarnya.

Menurutnya, sejak memelihara ikan itu yang dipancing di Sungai Tambun Tulang, dia dan keluarga tidak pernah mengalami sebarang perkara ganjil.
Leha memberitahu, ikan puyu tersebut masih ditempatkan bersama ikan-ikan puyu lain dalam akuarium tersebut kerana ia tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Cuma ikan itu akan mengasingkan diri daripada ikan lain apabila diberi makan, malah ia hanya makan setelah saya beredar dari akuarium itu," katanya yang memberi makan roti kepada ikan-ikan tersebut.
Leha yang gemar memelihara ikan puyu mempunyai lebih 60 ekor ikan tersebut dalam pelbagai saiz yang ditempatkan dalam beberapa akuarium.

Kesemua ikan puyu peliharaannya itu merupakan ikan yang dipancing sendiri olehnya dan anak-anaknya.
Sementara itu, anaknya, Mardziah Kamis, 50, berkata, dia yakin ikan puyu putih itu adalah ikan yang dipancingnya di Sungai Tambun Tulang sebelum kejadian banjir pada November lalu.
Katanya, semua ikan puyu yang dipancing berwarna kehitam-hitaman dan ditempatkan dalam akuarium milik ibunya.

"Saya dan suami serta anak-anak memang gemar memancing ikan puyu di sungai berkenaan, terutama pada hujung minggu, namun selepas kejadian banjir ikan ini semakin berkurangan," katanya.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!