Julia Gillard, perdana menteri Australia tersungkur | Perdana Menteri Australia, Julia Gillard tewas dalam pengundian menentukan kepemimpinan Parti Buruh, sekali gus mengembalikan seteru politiknya dan bekas pemimpin parti itu, Kevin Rudd mengetuai parti dan kerajaan. Rudd yang merupakan bekas Perdana Menteri Australia memperoleh 57 undi berbanding Gillard yang menerima 45 undi dalam pengundian usul undi tidak percaya berhubung 'kepemimpinan parti' tersebut. Kekalahan Gillard menyaksikan beliau gugur jawatan Perdana Menteri dan sebagai pemimpin Parti Buruh, dalam pendekatan parti untuk mengelak tewas pada pilihan raya umum akan datang.
Kemenangan Rudd itu juga, sekali gus menamatkan perebutan kuasa dalam parti pemerintah Australia itu yang berlaku sejak tiga tahun lalu, selepas Gillard dan Rudd masing-masing berikrar bahawa pihak yang kalah dalam pengundian kepimpinan parti itu, akan bersara daripada politik. Gillard yang menggulingkan Rudd sebelum tamat penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 2010, mengadakan undian tersebut bagi menyelesaikan persoalan tentang kepimpinan parti itu, sebelum Pilihan Raya Umum yang dijadual diadakan pada 14 September ini. Kemenangan Rudd tersebut bakal menyaksikan pilihan raya umum diadakan pada Ogos ini bagi memberi kelebihan kepadanya untuk menarik perhatian pengundi yang masih belum mempunyai sebarang pendirian tentang kepimpinan baru parti.
Perubahan kepemimpinan dalam Parti Buruh itu berlaku berikutan beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan kerajaan minoriti pimpinan Gillard mungkin kalah teruk, selain memberi peluang kepada parti pembangkang menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum akan datang Tinjauan pendapat juga menunjukkan Rudd lebih popular dalam kalangan pengundi dan kepemimpinannya sebagai Perdana Menteri, akan mengurangkan saiz kekalahan Parti Buruh.
Perubahan kepemimpinan itu dilihat tidak memberi kesan besar kepada polisi negara kerana Rudd dan Gillard menyokong kerjasama ketenteraan antara Australia dan Amerika Syarikat (AS) dan menyokong penuh peningkatan hubungan perdagangan dengan China. - REUTERS
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment