Monday, December 2, 2013

Keadaan terkini Aceh selepas tragedi tsunami 2004


Keadaan terkini Aceh selepas tragedi tsunami 2004 | TRAGEDI tsunami 2004 yang mengorbankan kira-kira 286,000 orang di 14 buah negara, telah mengubah penerimaan dan tangapan penduduk dunia tentang bencana alam. Kini, hampir sembilan tahun bencana itu berlaku pada tanggal 26 Disember, namun tragedi itu masih meninggalkan 'parut kekal' dalam kalangan mangsanya, terutama di Aceh, lokasi yang paling teruk terjejas. Pasti ramai tidak dapat melupakan peristiwa tersebut yang berlaku sehari selepas sambutan Hari Krismas. Tsunami sebenarnya berasal daripada perkataan Jepun 'Tsu' bermaksud pelabuhan, manakala 'Nami' membawa maksud gelombang. Jika digabung, kedua-dua perkataan itu ia membawa maksud 'Gelombang Pelabuhan'. Sejak kurun ke-18, beberapa kejadian tsunami pernah menggegarkan dunia antaranya pada 1703 apabila kira-kira 10,000 orang terbunuh selepas ombak besar itu menghentam wilayah Kanto, Jepun.

 Pada 1755 pula, berlaku satu gempa bumi kuat berukuran 8.5 hingga 9 pada skala Richter, mencetuskan tsunami besar di Lisbon, selatan Portugal. Ombak raksasa itu kemudian melanda Perancis, Belanda, Belgium, Britain dan Ireland, sebelum mengganas menyeberangi Lautan Atlantik hingga ke Madeira, Azores, Antigua, Martinique dan Barbados. Di Aceh, tsunami melanda berikutan gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang berlaku pada kira-kira pukul 8.59 pagi waktu tempatan (9.59 pagi waktu Malaysia) dan memusnahkan beberapa negara lain, termasuk pantai barat semenanjung Malaysia, Thailand, pantai timur India, Sri Lanka, bahkan sampai ke pantai timur Afrika. Keadaan Aceh yang mempunyai seramai 4.6 juta penduduk pada ketika itu boleh ibaratkan seperti 'padang jarak padang tekukur' apabila semua struktur musnah ekoran dilanda ombak kuat setinggi sembilan meter yang 'menghentam' wilayah yang dihuni oleh majoriti penduduk Islam.

Selepas sembilan tahun kejadian tsunami itu berlalu, kini Aceh berubah dan kembali membangun menyaksikan penduduknya bangkit selepas menjadi pelarian di negara sendiri. Di Pantai Nias iaitu lokasi pertama ombak besar tsunami mengganas, misalnya, keadaan di situ kini kembali 'hidup' dan membangun. Menurut Agensi Pembangunan Aceh-Nias (BRR) Indonesia, pihak berkuasa memperuntukkan sebanyak AS$6.7 bilion (RM21.4 bilion) bagi tujuan pembangunan dan pemulihan. akibat tsunami di wilayah itu. Peruntukan tambahan sebanyak AS$7.2 bilion (RM23 bilion) pula diperolehi daripada tabung bantuan pinjaman untuk membina semula 125,000 buah rumah dan kemudahan asas lain, termasuk sekolah, jalan dan jambatan di wilayah Aceh. Melalui BRR, pelbagai pembangunan dan kemudahan asas dirancang hasil sumbangan badan bantuan tempatan dan antarabangsa untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tsunami juga telah mewujudkan hubungan baik antara Pergerakan Pembebasan Aceh (GAM) dan kerajaan Indonesia, sekali gus menamatkan peperangan selama tiga dekad yang menjejaskan kehidupan 15,000 orang penduduk di wilayah itu. Malaysia sendiri turut menghulukan bantuan dalam pembangunan di Aceh, seperti yang dilakukan Export-Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank) pada Julai lalu yang membiayai 80 peratus kos pembinaan projek janakuasa hidro di Aceh. Dalam projek itu, EXIM Bank membiayai sebahagian pembangunan jana kuasa di Sungai Bungin, daerah Enrekang di Sulawesi Selatan. Ternyata tsunami yang memberi cerita duka kepada penduduk yang terjejas, mampu mengubah wajah Aceh bukan sahaja daripada segi pembangunan fizikalnya malah kehidupan rakyatnya yang semakin membangun, dan tsunami memberi satu tanggapan baru kepada mereka yang terlibat. -AP





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!